Pemerintah Indonesia akan melakukan penambahbaikan besar terhadap sistem lintasan kereta api negara itu dan menyemak semula kedudukan gerabak khas wanita dalam tren komuter, selepas satu perlanggaran maut di Stesen Bekasi Timur mengorbankan 15 penumpang dan mencederakan 88 yang lain.

Gerabak khas wanita itu pada asalnya diwujudkan bagi melindungi penumpang wanita daripada gangguan seksual.

Namun, dalam nahas pada Isnin malam, gerabak yang terletak di bahagian belakang tren komuter itu menjadi bahagian paling teruk remuk selepas dirempuh sebuah tren jarak jauh.

Perlanggaran berlaku sekitar 8.55 malam apabila lokomotif tren jarak jauh Argo Bromo Anggrek, yang dalam perjalanan dari Jakarta ke Surabaya, Jawa Timur, merempuh kira-kira dua pertiga bahagian belakang tren komuter Greater Jakarta yang sedang berhenti di Stesen Bekasi Timur, di pinggir timur Jakarta.

Ketua Badan Nasional Mencari dan Menyelamat, Marsyal Udara Muhammad Syafii, berkata semua mangsa yang dipindahkan adalah wanita.

Beliau turut mengesahkan tiada kanak-kanak antara mangsa yang maut atau cedera. “100 peratus mangsa yang kami pindahkan adalah wanita,” katanya.

Operasi menyelamat yang berlangsung kurang daripada 12 jam itu termasuk usaha mengeluarkan lima jenazah yang tersepit dalam gerabak yang remuk.

“Jika dalam proses membersihkan bangkai tren kami menemui walaupun anggota tubuh paling kecil, sudah tentu kami akan menguruskannya mengikut prosedur,” katanya.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, yang melawat mangsa di Hospital Umum Bekasi pada pagi 28 April, berkata beliau telah mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu.

Menurut Encik Prabowo, pemerintah daerah Bekasi telah mencadangkan pembinaan jejambat bagi meningkatkan keselamatan lintasan rel di kawasan itu.

“Pemerintah daerah Bekasi telah mencadangkan pembinaan jejambat, memandangkan Bekasi padat penduduk dan keperluan keselamatan lintasan kereta api di sini sangat penting, sangat mendesak. Jadi saya telah meluluskan pembinaan segera jejambat itu,” katanya.

Beliau berkata terdapat kira-kira 1,800 lintasan kereta api seumpama itu di Pulau Jawa yang perlu dinaik taraf dari segi keselamatan, termasuk melalui pembinaan jejambat.

Menurutnya, pemerintah akan memperuntukkan empat trilion rupiah ($295.5 juta) bagi menaik taraf keselamatan lintasan kereta api tersebut.

Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak, Cik Arifah Fauzi, berkata beliau telah mencadangkan semakan semula terhadap kedudukan gerabak khas wanita yang kini diletakkan di bahagian hadapan dan belakang rangkaian tren.

Beliau meminta pengendali tren milik negara, PT Kereta Api Indonesia (KAI), mempertimbangkan pemindahan gerabak tersebut ke bahagian tengah tren.

Cadangan menyemak semula kedudukan gerabak wanita itu bukan perkara baharu.

Idea sama pernah dibangkitkan 13 tahun lalu selepas perlanggaran antara tren komuter dan trak tangki bahan api yang sarat muatan di lintasan rel di pinggir selatan Jakarta pada Disember 2013.

Dalam kejadian itu, kebanyakan mangsa juga wanita kerana hentaman berlaku pada gerabak khas wanita di bahagian hadapan tren.

Naib Presiden Setiausaha Korporat KAI Commuter, Cik Karina Amanda, berkata nahas maut di Bekasi Timur membabitkan tiga rangkaian tren yang berada di landasan sama dan bergerak ke arah timur.

Menurutnya, tren pertama yang menuju ke Cikarang, Bekasi, tersangkut di landasan selepas melanggar sebuah teksi elektrik yang tidak bergerak dan tersekat di lintasan aras berhampiran.

Insiden kedua pula membabitkan sebuah lagi tren komuter, juga menuju ke Cikarang di belakang tren pertama, yang sedang berhenti di stesen sebelum dirempuh dari belakang oleh Argo Bromo Anggrek.

Tren jarak jauh itu dilaporkan bergerak pada kelajuan sekitar 115 hingga 120 kilometer sejam dan membawa 240 penumpang dari Stesen Gambir di Jakarta Pusat.

“Masih dalam siasatan sama ada terdapat kaitan antara kedua-dua insiden itu,” kata Cik Karina.

Presiden Pengarah KAI, Encik Bobby Rasyidin, berkata lokomotif Argo Bromo Anggrek telah ditarik keluar dari gerabak tren komuter, namun beliau tidak mahu membuat andaian mengenai punca nahas.

Menteri Pengangkutan, Encik Dudy Purwagandhi, berkata siasatan lanjut diserahkan kepada Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan.

“Kami menyerahkan siasatan kepada Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan. Kami akan menunggu hasilnya,” katanya ketika ditanya mengapa Argo Bromo Anggrek berada di landasan yang sama dengan tren komuter.

Encik Bobby berkata dalam taklimat awal bahawa tren komuter itu dipercayai terlebih dahulu bertembung dengan sebuah teksi di atas landasan sebelum dirempuh dari belakang oleh tren jarak jauh.

Syarikat pengendali teksi, Green SM Indonesia, mengesahkan menerusi Instagram bahawa teksi yang terlibat dalam kemalangan itu adalah sebahagian daripada armadanya.