BEKASI: Tren komuter yang sedang berhenti untuk menurunkan penumpang tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh tren jarak jauh, mencetuskan dentuman kuat yang menggegarkan Stesen Bekasi Timur – terletak 25 kilometer dari Jakarta – pada malam 27 April.

Kejadian itu menyebabkan penumpang bertindih sesama sendiri dalam gerabak khas wanita.

Dalam sekelip mata, suasana bertukar menjadi kacau-bilau apabila lokomotif tren Argo Bromo Anggrek merempuh gerabak terakhir, menghancurkan struktur dalaman dan memerangkap penumpang di celah besi serta tempat duduk.

Sekurang-kurangnya 15 maut dan 88 lagi cedera selepas dua kereta api tersebut bertembung pada 8.24 malam.

Seorang saksi, Encik Wijaya, 40 tahun, berkata kejadian berlaku tanpa sebarang amaran ketika tren komuter (KRL) sedang dalam keadaan tidak bergerak di landasan.

“KRL sedang menurunkan penumpang. Tiba-tiba dari belakang datang tren Argo dan merempuh gerabak terakhir.

“Dentumannya sangat kuat, terasa seperti letupan. Seluruh badan saya bergegar,” katanya.

Menurutnya, kesan perlanggaran begitu dahsyat sehingga lokomotif menembusi terus ke dalam gerabak wanita, menyebabkan penumpang tertindih antara satu sama lain dalam ruang sempit.

Seorang mangsa yang terselamat menggambarkan detik-detik mengerikan selepas sebuah kereta api jarak jauh merempuh tren komuter yang sedang berhenti, menyebabkan penumpang terperangkap dalam gerabak yang remuk.

“Kondisinya sangat menyayat hati. Lokomotif masuk ke dalam gerabak, penumpang bertindih dan tidak dapat bergerak.

“Saya fikir saya akan mati,” kata Cik Sausan Sarifah, 29 tahun, dari katilnya di Hospital RSUD Bekasi, di mana beliau dirawat akibat patah tangan dan luka dalam di paha.

Beliau menggambarkan mangsa tersepit dalam keadaan yang amat kritikal.

“Ada yang kepalanya tersepit pada besi, ada juga yang tubuhnya terhimpit antara kerusi dan lantai. Mereka tidak dapat keluar,” katanya.

Beliau berkata beliau dalam perjalanan pulang dari tempat kerja apabila tren yang dinaikinya berhenti di Stesen Bekasi Timur.

“Semuanya berlaku terlalu pantas, dalam sekelip mata. Ada dua pengumuman dari tren komuter. Semua orang sudah bersedia untuk turun, kemudian tiba-tiba kedengaran bunyi lokomotif yang sangat kuat.

“Tiada masa untuk keluar dan semua orang tertindih di dalam tren, bertindih antara satu sama lain. Saya tidak tahu keadaan orang di bawah saya.

“Saya bimbang akan mati akibat lemas dalam kesesakan manusia dan risau ada yang terperangkap di bawah mungkin tidak terselamat.

“Syukur saya berada di atas, jadi saya dapat diselamatkan dengan cepat,” katanya.

Jeritan meminta tolong bergema di lokasi kejadian apabila penumpang cuba menyelamatkan diri di tengah kekacauan.

“Semua panik, ramai yang menjerit dan menangis. Ada yang meminta tolong dalam keadaan histeria,” kata seorang lagi penumpang yang selamat, Cik Irdawati Selamat.

Dalam keadaan serba kekurangan, penumpang dan orang awam segera berganding bahu memulakan usaha menyelamat.

“Kami cuba membantu setakat yang mampu. Kami longgarkan kerusi yang menghimpit mangsa dan keluarkan mereka satu demi satu,” kata Cik Irdawati.

Menurutnya, ramai mangsa mengalami kecederaan serius akibat hentaman kuat, dengan mereka yang paling kritikal diberi keutamaan.

“Ramai yang cedera parah. Kami dahulukan yang keadaannya paling teruk,” katanya.

Namun, terdapat mangsa yang terperangkap terlalu dalam sehingga tidak dapat dikeluarkan tanpa bantuan peralatan khas.

“Ada yang tidak dapat diselamatkan tanpa alat pemotong. Keadaannya sangat sukar,” katanya.

Menurut jurucakap syarikat kereta api milik pemerintah, KAI, Encik Franoto Wibowo, sebuah teksi dipercayai melanggar tren komuter di salah satu lintasan, menyebabkan tren itu berhenti di landasan sebelum dilanggar kereta api lain.

Di stesen berkenaan, keadaan menjadi kelam-kabut selepas kejadian, dengan petugas penyelamat menjerit meminta silinder oksigen ketika ambulans beratur panjang dengan lampu berkelip. – Agensi berita.