SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Laporan: Negara Teluk hampir sertai perang ke atas Iran

Laporan: Negara Teluk hampir sertai perang ke atas Iran

Saudi, UAE dilapor di ambang sertai konflik susulan serangan berterusan Iran yang menjejas ekonomi, keselamatan tenaga
Mar 25, 2026 | 11:49 AM

Laporan: Negara Teluk hampir sertai perang ke atas Iran

Timur Tengah, Amerika, Iran, UAE
Asap tebal kelihatan berkepul dari Pelabuhan Jebel Ali di Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyusuli serangan Iran selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Teheran, pada 1 Mac 2026. Sekutu Washington di Asia Barat dilapor berada di ambang menyertai perang menentang Iran. - Foto REUTERS

DUBAI/RIYADH: Sekutu Amerika Syarikat di Asia Barat dilaporkan kian hampir menyertai perang menentang Iran, ketika tekanan meningkat menyusuli serangan berterusan Teheran yang menjejas ekonomi negara Teluk dan kestabilan rantau itu.

Menurut laporan, The Wall Street Journal, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) kini bergerak ke arah kerjasama lebih erat dengan Amerika dan Israel, termasuk membenarkan penggunaan kemudahan ketenteraan serta mengambil langkah ekonomi terhadap kepentingan Iran.

Walaupun kedua-dua negara belum bersedia untuk terlibat secara langsung dalam peperangan itu, perkembangan terkini dilihat membuka laluan baharu kepada Washington untuk meningkatkan tekanan ke atas Iran, khususnya melalui serangan udara dan sekatan terhadap sumber kewangan Teheran.

Arab Saudi dilaporkan telah membenarkan tentera Amerika menggunakan Pangkalan Udara Raja Fahd, satu perubahan ketara selepas sebelum ini menolak penggunaan ruang udara atau kemudahannya untuk menyerang Iran.

Langkah itu berlaku ketika Riyadh berdepan serangan peluru berpandu dan dron Iran yang menyasarkan ibu negara itu serta kemudahan tenaganya.

“Kesabaran Arab Saudi terhadap serangan Iran ada batasnya,” kata Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, sebelum ini.

“Sebarang tanggapan bahawa negara Teluk tidak mampu bertindak balas adalah satu kesilapan.”

Sumber turut memaklumkan bahawa Putera Mahkota Mohammed bin Salman kini semakin hampir membuat keputusan untuk menyertai serangan itu, dengan seorang pegawai menyatakan bahawa “hanya menunggu masa sebelum kerajaan itu terlibat dalam perang”.

Di UAE, pihak berkuasa mula bertindak tegas terhadap aset berkait Iran, termasuk menutup Hospital Iran dan Kelab Iran, sebuah kelab masyarakat, di Dubai.

Kerajaan UAE memaklumkan langkah itu diambil terhadap institusi yang didakwa digunakan untuk kepentingan yang tidak selari dengan undang-undang negara itu.

UAE juga memberi amaran ia boleh membekukan berbilion dolar aset Iran, satu langkah yang berpotensi menjejas akses Teheran kepada mata wang asing dan rangkaian perdagangan sejagat, sekali gus memburukkan lagi tekanan ekonomi ke atas Iran akibat sekatan antarabangsa.

Dalam masa yang sama, serangan ke atas kemudahan tenaga di Arab Saudi, Kuwait, UAE dan Qatar telah mendorong negara Teluk supaya menyatukan pendirian terhadap Iran.

Qatar menyifatkan serangan tersebut sebagai peningkatan berbahaya dan ancaman langsung kepada keselamatan negara itu.

Pegawai serantau berkata komunikasi antara negara Teluk dan pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, kini semakin kerap, ketika kedua-dua pihak menilai langkah seterusnya dalam konflik tersebut.

Penganalisis memberi amaran jika Iran terus melancarkan serangan, negara Teluk mungkin tidak mempunyai pilihan selain menyertai peperangan itu secara langsung.

Di sebalik perkembangan itu, wujud perbezaan pandangan mengenai hasil yang diinginkan daripada konflik terebut.

Israel dilihat mahu melemahkan Iran sehingga tidak lagi menjadi ancaman, manakala Arab Saudi bimbang kejatuhan Iran sebagai sebuah negara boleh mencetuskan ketidakstabilan lebih besar dan ancaman keselamatan langsung kepada rantau itu.

Pegawai kanan Amerika dan Arab Saudi turut bimbang konflik yang berpanjangan boleh menyebabkan serangan Iran semakin agresif terhadap kemudahan minyak Arab Saudi, selain berisiko mengheret Washington ke dalam perang berlarutan.

Encik Trump pula dilihat mengubah pendirian secara tidak menentu, antaranya dengan menyatakan perang itu mungkin berakhir dalam masa terdekat, namun memberi isyarat ia boleh diperluaskan.

Pada 23 Mac, beliau mendakwa telah berlaku “perbincangan produktif” dengan Iran, namun dakwaan itu dinafikan oleh Teheran.

Dari sudut ekonomi, kesan konflik tersebut amat besar kepada Arab Saudi.

Serangan balas Iran telah mengganggu pasaran minyak sejagat, termasuk menjejas aliran tenaga melalui Selat Hormuz, laluan utama eksport minyak bagi negara Teluk.

Walaupun Arab Saudi dan UAE mempunyai saluran paip alternatif, laluan tersebut turut menjadi sasaran serangan, sekali gus meningkatkan risiko gangguan berpanjangan.

Penganalisis berkata, walaupun Arab Saudi pada awalnya cuba mengelak konflik, kebimbangan kini tertumpu kepada kemungkinan Iran menjadi lebih berani jika operasi ketenteraan dihentikan separuh jalan.

“Arab Saudi mahu perang ini berakhir, tetapi cara ia berakhir adalah penting,” kata Dr Yasmine Farouk daripada International Crisis Group, sebuah pertubuhan bebas yang berusaha membentuk dasar bagi dunia yang lebih aman.

Beliau merujuk kepada serangan pada 2019 ke atas kemudahan minyak Saudi yang memaksa Riyadh menilai semula pendekatan konfrontasi terhadap Iran, sebelum kedua-dua negara itu memulihkan hubungan diplomatik pada 2023.

Namun, konflik semasa dilihat telah menghancurkan kepercayaan yang dibina sebelum ini.

“Apa sahaja kepercayaan yang wujud sebelum ini kini telah musnah sepenuhnya,” kata Putera Faisal.

Arab Saudi menegaskan bahawa keutamaannya adalah mempertahankan rakyat dan prasarana awam daripada serangan harian Iran.

“Kami akan menggunakan setiap saluran – politik, ekonomi dan diplomatik – untuk menghentikan serangan ini,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg