SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pakistan, Saudi, Turkey, Mesir usaha penyelesaian kekal konflik As-Israel-Iran

Pakistan, Saudi, Turkey, Mesir usaha penyelesaian kekal konflik As-Israel-Iran

Mar 30, 2026 | 11:16 AM

Pakistan, Saudi, Turkey, Mesir usaha penyelesaian kekal konflik As-Israel-Iran

Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Luar Pakistan menunjukkan Menteri Luar Turkey Hakan Fidan; Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan Al Saud, Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty serta Timbalan Perdana Menteri Pakistan Ishaq Dar menghadiri pertemuan di Islamabad, Pakistan pada 29 Mac 2026.
Pertemuan ini menghimpunkan pemain utama serantau dalam usaha diplomatik berterusan untuk meredakan ketegangan susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, dengan perbincangan tertumpu kepada de-eskalasi dan kestabilan serantau.
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Luar Pakistan menunjukkan Menteri Luar Turkey Hakan Fidan; Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan Al Saud, Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty serta Timbalan Perdana Menteri Pakistan Ishaq Dar menghadiri pertemuan di Islamabad, Pakistan pada 29 Mac 2026. Pertemuan ini menghimpunkan pemain utama serantau dalam usaha diplomatik berterusan untuk meredakan ketegangan susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, dengan perbincangan tertumpu kepada de-eskalasi dan kestabilan serantau. - Foto EPA

ISLAMABAD: Pakistan bersama Arab Saudi, Turkey dan Mesir membincangkan langkah bagi menamatkan konflik di Asia Barat dengan segera dan berkekalan dalam satu pertemuan di Islamabad, menurut Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar.

Pertemuan itu dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran, dengan Pakistan memainkan peranan sebagai pengantara utama. Encik Dar berkata semua pihak menyatakan keyakinan terhadap peranan Islamabad, manakala China turut menyokong usaha untuk menjadi tuan rumah rundingan antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar Pakistan memaklumkan mesyuarat tersebut menilai perkembangan semasa di rantau itu serta isu berkepentingan bersama.

Menteri Luar Mesir Encik Badr Abdelatty dan Menteri Luar Turkey Encik Hakan Fidan tiba lebih awal di Islamabad, diikuti Menteri Luar Arab Saudi Encik Faisal bin Farhan Al Saud.

Encik Dar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan setiap rakan sejawatnya. Pakistan kini bersedia menjadi tuan rumah kepada rundingan yang disifatkan sebagai “bermakna” dalam tempoh terdekat, walaupun belum jelas sama ada Washington dan Teheran akan menyertainya.

“Pakistan berbesar hati untuk menjadi tuan rumah dan memudahkan rundingan bagi mencapai penyelesaian menyeluruh dan berkekalan,” kata Encik Dar.

Pakistan terus memainkan peranan penting sebagai penghubung antara Washington dan Teheran. Perdana Menteri Shehbaz Sharif dilaporkan berbincang dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian mengenai usaha diplomatik yang sedang dijalankan.

Teheran menafikan rundingan langsung dengan Amerika Syarikat, namun mengesahkan telah memberi maklum balas terhadap cadangan gencatan senjata 15 perkara yang dikemukakan Presiden AS Donald Trump melalui perantara.

Sebagai langkah membina keyakinan, Iran membenarkan 20 kapal berbendera Pakistan melalui Selat Hormuz.

Namun, usaha ini berdepan cabaran besar susulan pendirian keras yang diambil oleh Amerika Syarikat, Israel dan Iran mengenai syarat menamatkan konflik.

Speaker Parlimen Iran Encik Mohammad Baqer Qalibaf menuduh Washington menghantar isyarat rundingan sambil merancang serangan darat. “Selagi Amerika Syarikat mahu Iran menyerah, kami tidak akan menerima penghinaan,” katanya.

Sumber turut mendedahkan perbincangan awal antara empat negara itu termasuk cadangan membuka semula Selat Hormuz, laluan penting minyak dan gas dunia yang kini terjejas akibat sekatan Iran.

Ketika perang memasuki bulan kedua, situasi di lapangan terus memuncak. Israel melancarkan lebih 140 serangan udara ke atas Iran dalam tempoh 24 jam, menyasarkan pelancar peluru berpandu dan kemudahan simpanan.

Serangan turut merebak ke kawasan lain. Sebuah loji kimia di selatan Israel berhampiran Beer Sheva dilaporkan terkena serpihan peluru berpandu, manakala satu lagi serangan mencederakan 11 orang awam.

Di Lebanon, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia World Health Organization memaklumkan seorang lagi petugas kesihatan terbunuh, menjadikan jumlah korban dalam kalangan tenaga perubatan meningkat.
Israel mendakwa kumpulan Hezbollah menggunakan kemudahan perubatan sebagai perlindungan, dakwaan yang dinafikan pihak tersebut.

Konflik ini turut memberi kesan ekonomi besar apabila kemudahan industri di Bahrain dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) rosak akibat serangan udara. UAE kini menuntut pampasan daripada Iran serta jaminan keselamatan masa depan.

Pada masa sama, kumpulan Houthi di Yaman turut menyertai konflik dengan melancarkan serangan ke atas Israel, meningkatkan risiko gangguan di Selat Bab el-Mandeb, satu lagi laluan perdagangan penting dunia.

Amerika Syarikat telah menghantar ribuan anggota marin ke Asia Barat sebagai persediaan kemungkinan operasi darat. Laporan menyebut Pentagon sedang menilai pilihan ketenteraan termasuk penggunaan tentera darat.

Encik Trump kini berdepan pilihan sukar antara mencari penyelesaian diplomatik atau meningkatkan tindakan ketenteraan yang berisiko memanjangkan konflik dan menjejaskan sokongan politik domestik.

Gelombang kemarahan rakyat Amerika Syarikat terhadap Presiden Trump semakin memuncak apabila jutaan membanjiri jalanan di seluruh negara pada Sabtu, 28 Mac untuk membantah pentadbiran autoritarian, dasar imigrasi yang keras serta peperangan dengan Iran.

Penganjur perhimpunan mendakwa sekurang-kurangnya lapan juta peserta berkumpul di lebih 3,300 acara meliputi 50 negeri, merangkumi kawasan bandar besar hingga ke pelosok pekan kecil, meskipun pihak berkuasa persekutuan tidak mendedahkan sebarang anggaran rasmi jumlah kehadiran.

Gerakan besar-besaran ini menandakan kali ketiga rakyat Amerika turun ke jalanan dalam tempoh kurang setahun di bawah gerakan ‘No Kings’.

Di dalam negara, bantahan terhadap perang semakin meningkat. Ahli politik Parti Demokrat seperti Encik Cory Booker mengkritik strategi semasa sebagai tidak berkesan. Penganalisis tenaga Daniel Yergin pula memberi amaran bahawa konflik berpanjangan akan memberi tekanan kepada ekonomi global, khususnya Amerika Syarikat.

Walaupun usaha diplomatik dipergiat, Israel menegaskan akan terus melancarkan serangan ke atas sasaran ketenteraan di Iran tanpa pengurangan operasi. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg