Topik diikuti
Pergi ke BHkuJakarta siasat kaitan teksi elektrik dalam nahas kereta api Bekasi
Jakarta siasat kaitan teksi elektrik dalam nahas kereta api Bekasi
Indonesia sedia 4 trilion rupiah baik pulih 1,800 lintasan kereta api
Jakarta siasat kaitan teksi elektrik dalam nahas kereta api Bekasi
JAKARTA: Kementerian Pengangkutan Indonesia meminta penjelasan dari pengurusan syarikat teksi untuk disoal siasat berikutan laporan yang sebuah teksi terbabit dalam urutan kejadian yang membawa kepada perlanggaran kereta api di Stesen Bekasi Timur, Jawa Barat, yang mengorbankan 16 orang.
Ketua Pengarah Pengangkutan Darat, Encik Aan Suhanan, berkata kementerian itu sudah memanggil pengurusan Xanh SM, yang juga dikenali sebagai Green SM, untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden pada 27 April.
Beliau berkata satu pasukan khas turut dibentuk bagi menyiasat pembabitan pengendali teksi itu, termasuk aspek lesen, keperluan pentadbiran, piawaian keselamatan dan pematuhan operasi.
“Prinsip kami ialah mengutamakan keselamatan awam. Sebarang kemungkinan pelanggaran akan ditangani mengikut peraturan,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 April.
Menurut agensi berita Antara, perlanggaran itu berpunca daripada sebuah teksi yang berhenti di atau berhampiran lintasan kereta api, mengganggu pergerakan tren sebelum insiden berlaku pada malam 27 April.
Laporan itu menyatakan sebuah tren komuter terpaksa berhenti sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah tren jarak jauh di landasan yang sama.
Menurut Kementerian Pengangkutan, nahas itu bermula apabila sebuah teksi elektrik Green SM mengalami kerosakan dan terhenti di lintasan kereta api berhampiran Stesen Bekasi Timur.
Keadaan itu menyebabkan sebuah tren komuter atau KRL terpaksa berhenti bagi membolehkan proses pemindahan dilakukan.
Situasi tersebut kemudian mencetuskan kesesakan pergerakan tren, menyebabkan sebuah lagi tren komuter berhenti di Stesen Bekasi Timur.
Tren komuter yang berhenti itu kemudian dirempuh dari belakang oleh tren ekspres Argo Bromo Anggrek laluan Jakarta-Surabaya yang berada di landasan sama.
Berdasarkan data aplikasi Siprajab, teksi yang terbabit menggunakan nombor plat B 2864 SBX dan mempunyai kad pemeriksaan sah sehingga 28 Oktober.
“Kenderaan itu didaftarkan untuk menyediakan perkhidmatan teksi biasa di kawasan Jakarta Raya,” kata Encik Aan.
Bagaimanapun, beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan pengendali teksi itu mematuhi semua peraturan yang berkuat kuasa.
Menurut kementerian, syarikat berkenaan mempunyai sijil Sistem Pengurusan Keselamatan Syarikat Angkutan Awam (SMK PAU) yang sah selama lima tahun.
“Kami juga akan mengaudit piawaian pengurusan keselamatan yang wajib dipatuhi syarikat pengangkutan awam,” kata Encik Aan.
Kementerian Pengangkutan menegaskan tindakan akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran peraturan pengangkutan.
Hukuman yang boleh dikenakan termasuk surat amaran, penggantungan sementara permit, atau pembatalan lesen, bergantung kepada tahap kesalahan yang ditemukan.
Dalam kenyataan sama, kementerian turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa nahas tersebut.
“Kami mendoakan mereka yang terkorban diberikan tempat terbaik, dan mangsa yang cedera segera pulih,” kata Encik Aan.
Nahas itu menjadi perhatian nasional selepas 16 penumpang dilaporkan maut, manakala 84 yang lain cedera.
Insiden berlaku selepas tren komuter melanggar teksi Green SM di lintasan berhampiran Stesen Bekasi Timur, sebelum tren itu kemudian dirempuh dari belakang oleh Argo Bromo Anggrek di landasan yang sama.
Susulan tragedi itu, pemerintah Indonesia memperuntukkan 4 trilion rupiah ($312.5 juta) daripada belanjawan negara bagi meningkatkan keselamatan di 1,800 lintasan kereta api di seluruh Jawa.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, mengesahkan pada 28 April bahawa dana tersebut akan disalurkan terus daripada belanjawan negara.
Ketua Badan Usaha Milik Negara, Encik Dony Oskaria, berkata program itu menjadi sebahagian daripada rancangan kerja pemerintah bagi 2026 dan mempunyai kepentingan besar dari segi keselamatan awam.
Presiden Prabowo Subianto mengumumkan inisiatif tersebut selepas melawat mangsa nahas kereta api di Bekasi.
Beliau berkata banyak lintasan kereta api di Indonesia masih menggunakan prasarana lama peninggalan era penjajahan Belanda dan tidak menjalani penyelenggaraan menyeluruh selama berpuluh-puluh tahun.
“Kami anggarkan hampir 4 trilion rupiah. Untuk keselamatan,” kata Encik Prabowo.
Beliau berkata pemerintah sudah mengenal pasti banyak lintasan tanpa pengawasan yang menimbulkan risiko serius kepada orang awam.
Encik Prabowo mengarahkan pegawainya menyelesaikan isu itu melalui dua pendekatan, iaitu membina pos kawalan di lintasan berisiko atau membina jejambat bagi mengasingkan laluan jalan raya dan landasan kereta api.
Di Bekasi, Presiden turut meluluskan projek jejambat di bawah skim bantuan presiden bagi mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan. – Agensi berita.
