Topic followed successfully
Go to BHkuIran kemuka pelan 10 perkara tamatkan perang, tolak gencatan senjata
Iran kemuka pelan 10 perkara tamatkan perang, tolak gencatan senjata
Antara usul Teheran ialah pembukaan Selat Hormuz, namun akan tuntut bayaran AS$2j daripada setiap kapal yang melaluinya
Iran kemuka pelan 10 perkara tamatkan perang, tolak gencatan senjata
TEHERAN: Iran pada 6 April mengemukakan pelan 10 perkara untuk menamatkan perang dengan Amerika Syarikat dan Israel, menurut laporan media rasmi negara itu, ketika tekanan meningkat menjelang tarikh akhir baharu yang ditetapkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Pelan tersebut disampaikan melalui Pakistan, yang bertindak sebagai perantara utama dalam konflik itu, namun dilihat belum mampu menyelesaikan isu kritikal sebelum ancaman serangan baharu oleh Washington.
Dua pegawai kanan Iran, yang enggan dinamakan, berkata cadangan itu merangkumi jaminan Iran tidak akan diserang lagi, penamatan serangan Israel terhadap Hezbollah di Lebanon, serta penghapusan semua sekatan ekonomi.
Sebagai balasan, Iran bersedia menarik sekatan tidak rasmi terhadap laluan perkapalan penting di Selat Hormuz, yang menjadi nadi utama penghantaran minyak dan gas dunia.
Pelan itu turut mencadangkan bayaran sekitar AS$2 juta (S$2.57 juta) daripada setiap kapal yang melalui selat tersebut, yang hasilnya akan dikongsi bersama Oman.
Iran akan menggunakan bahagiannya daripada hasil itu untuk membina semula prasarana yang musnah akibat serangan Amerika dan Israel, tanpa menuntut pampasan secara langsung.
Namun, media rasmi Iran, Irna, melaporkan Teheran tetap menolak cadangan gencatan senjata, walaupun berdepan ancaman keras daripada Washington.
“Iran telah menyampaikan responsnya terhadap cadangan Amerika melalui Pakistan,” menurut laporan itu.
“Dalam respons tersebut yang mengandungi 10 perkara, Iran menolak gencatan senjata dan menegaskan keperluan untuk menamatkan konflik secara muktamad.”
Konflik yang kini memasuki hari ke-39 itu tercetus selepas serangan bersama Amerika dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari, yang kemudian dibalas Teheran dengan serangan peluru berpandu ke seluruh Asia Barat.
Beberapa negara kini berusaha mencari penyelesaian diplomatik bagi menamatkan perang tersebut.
Mengulas cadangan Iran itu, Encik Trump menyifatkannya sebagai satu perkembangan penting, namun belum memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Ia satu cadangan yang signifikan. Satu langkah besar,” katanya. “Ia masih belum cukup baik, tetapi ia satu langkah yang sangat penting.”
Di pihak Amerika, seorang pegawai Rumah Putih berkata cadangan gencatan senjata selama 45 hari antara Amerika dengan Iran merupakan “satu daripada banyak idea” yang sedang dibincangkan pada masa ini.
Encik Trump sebelum ini memberi amaran bahawa jika Iran tidak membenarkan laluan bebas di Selat Hormuz menjelang 8 malam, 7 April waktu Amerika, beliau akan mengarahkan serangan ke atas loji janakuasa dan jambatan di negara itu.
Pada sidang media di Rumah Putih, beliau mengulangi ancaman tersebut, dengan berkata serangan baharu akan “melumpuhkan Iran sepenuhnya”.
“Ia akan mengambil masa 100 tahun untuk mereka membina semula,” katanya.
Ancaman untuk menyerang prasarana awam seperti jambatan dan loji tenaga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar undang-undang antarabangsa, yang menyifatkan tindakan tersebut berpotensi dianggap sebagai jenayah perang.
Serangan sedemikian dijangka memberi kesan besar kepada kehidupan harian jutaan rakyat Iran.
Dalam masa yang sama, Iran dilihat cuba menunjukkan kedudukan tawar-menawar yang lebih kukuh dalam rundingan.
Media negara itu mendakwa Teheran kini mempunyai “kelebihan dalam perang”, menyusuli kejayaan menyekat sebahagian besar laluan perkapalan di Selat Hormuz serta menembak jatuh sebuah jet pejuang Amerika jenis F-15E, walaupun kedua-dua juruterbang berjaya diselamatkan.
Sebelum ini, pada 24 Mac, Amerika Syarikat telah mengemukakan pelan 15 perkara kepada Iran melalui Pakistan.
Cadangan itu ditolak oleh Teheran, yang kemudian mengemukakan beberapa cadangan balas, termasuk yang diulangi dalam pelan terbaharu itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, menyifatkan usul Amerika terdahulu sebagai “melampau, luar biasa dan tidak logik”.
Menurut laporan berkenaan, pihak perantara membincangkan syarat perjanjian dua fasa, dengan fasa pertama berpotensi menjadi gencatan senjata selama 45 hari, di mana perbincangan untuk menamatkan perang secara kekal akan dijalankan.
Fasa kedua pula adalah perjanjian rasmi untuk mengakhiri perang, menurut laporan itu.
Agensi berita Axios melaporkan, gencatan senjata itu boleh dilanjutkan sekiranya masa tambahan diperlukan untuk rundingan.
Sementara itu, Encik Trump turut mendakwa bahawa Amerika dan Israel telah berjaya mencapai perubahan kepimpinan di Iran selepas ramai pemimpin negara itu terbunuh dalam serangan terdahulu.
“Kita kini berurusan dengan individu yang berbeza,” katanya. “Mereka lebih bijak, lebih tajam, dan saya rasa mereka kini kurang radikal.” – Agensi berita.

