SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Sumber: AS, Iran dan perantara runding gencatan senjata 45 hari

Sumber: AS, Iran dan perantara runding gencatan senjata 45 hari

Apr 6, 2026 | 2:03 PM

Sumber: AS, Iran dan perantara runding gencatan senjata 45 hari

gencatan senjata, iran
Orang ramai bersenam dan beriadah di Taman Pardisan di Teheran pada 5 April walaupun konflik susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran masih berterusan. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat, Iran dan beberapa negara pengantara serantau kini dilaporkan sedang membincangkan syarat bagi satu gencatan senjata selama 45 hari yang berpotensi membuka jalan kepada penamatan perang secara kekal, lapor Axios.

Agensi berita itu memetik empat sumber dari Amerika, Israel dan negara serantau yang mengetahui perbincangan itu.

Namun, setakat ini Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu dengan segera.

Rumah Putih dan Jabatan Negara Amerika juga tidak memberikan respons segera terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Menurut laporan Axios, rundingan itu melibatkan cadangan perjanjian dua fasa.

Fasa pertama ialah pelaksanaan gencatan senjata selama 45 hari dengan perbincangan untuk menamatkan perang secara kekal akan dijalankan.

Fasa kedua pula adalah perjanjian rasmi untuk mengakhiri perang, menurut laporan itu.

Axios melaporkan, gencatan senjata itu boleh dilanjutkan sekiranya masa tambahan diperlukan untuk rundingan.

Bagaimanapun, peluang untuk mencapai walaupun perjanjian separa dalam tempoh terdekat dilaporkan masih tipis.

Sumber yang dipetik Axios berkata usaha diplomatik itu kini menjadi peluang terakhir untuk mengelakkan peningkatan konflik yang lebih besar, termasuk kemungkinan serangan besar-besaran terhadap infrastruktur awam di Iran dan tindak balas ke atas kemudahan tenaga serta air di negara Teluk.

Presiden Amerika Donald Trump pula memberi tekanan tambahan apabila menetapkan tarikh akhir baru kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz.

Reuters melaporkan Encik Trump berkata Iran perlu berbuat demikian menjelang Selasa, 7 April, pada 8 malam waktu Timur Amerika, atau berdepan serangan ke atas infrastruktur kritikalnya.

Menurut sumber yang dipetik Axios, rundingan itu dijalankan menerusi peranan pengantara Pakistan, Mesir dan Turkey, selain komunikasi secara pesanan teks antara utusan khas Encik Trump, Encik Steve Witkoff, dan Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi.

Sebelum ini, Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, menggesa agar konflik di Asia Barat dihentikan” sambil berjanji membantu gencatan senjata antara Amerika, Israel dan Iran diadakan.

Encik Trump juga dilaporkan berkata Washington sedang terlibat dalam rundingan yang “mendalam” dengan Iran dan masih percaya satu perjanjian boleh dicapai sebelum tarikh akhir itu tamat.

Pada masa yang sama, beliau turut memberi amaran keras bahawa jika persetujuan gagal dicapai, tindakan ketenteraan lebih besar akan diambil.

Antara isu paling rumit dalam rundingan ialah pembukaan semula Selat Hormuz dan masa depan simpanan uranium diperkaya tahap tinggi milik Iran, sama ada dikeluarkan dari negara itu atau dicairkan.

Laporan itu menyebut kedua-dua isu tersebut dianggap kad tawar-menawar utama Teheran, sekali gus menyukarkan sebarang persetujuan segera hanya sebagai balasan kepada gencatan senjata sementara.

Pengantara kini cuba mencari langkah membina keyakinan yang boleh diambil pada fasa pertama, sambil mendapatkan jaminan bahawa gencatan senjata itu bukan sekadar jeda sementara sebelum serangan disambung semula.

Namun setakat ini, isyarat awam daripada Teheran masih keras, manakala ancaman Washington terus meningkat, menjadikan 48 jam akan datang antara tempoh paling genting dalam konflik ini. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg