Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran beri amaran AS langgar gencatan senjata jika iringi kapal di Selat Hormuz
Iran beri amaran AS langgar gencatan senjata jika iringi kapal di Selat Hormuz
Menteri Luar Jerman tuntut selat dibuka semula
Iran beri amaran AS langgar gencatan senjata jika iringi kapal di Selat Hormuz
WASHINGTON: Iran memberi amaran pada 4 Mei bahawa ia akan menganggap sebarang percubaan Amerika Syarikat untuk campur tangan di Selat Hormuz sebagai pelanggaran gencatan senjata.
Amaran itu dikeluarkan ekoran kenyataan Presiden Donald Trump bahawa Amerika akan mula mengiringi kapal-kapal yang melalui laluan air yang disekat itu.
Rundingan antara kedua-dua negara telah menemui jalan buntu sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April, dan penguasaan Iran di selat strategik itu menyusuli serangan Amerika-Israel ke atas Teheran telah menjadi titik pertikaian utama.
Encik Trump menyatakan pada 3 Mei bahawa operasi maritim baru, yang digelarnya “Projek Kebebasan”, adalah isyarat “kemanusiaan” untuk kru di atas banyak kapal yang tersekat dan mungkin mengalami kekurangan makanan dan bekalan penting lain.
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan kapal dan anak kapal mereka dengan selamat dari selat tersebut.
“Dalam semua kes, mereka berkata mereka tidak akan kembali sehingga kawasan itu selamat untuk pelayaran,” kata Encik Trump dalam catatan Truth Social.
Beliau menyatakan bahawa operasi akan bermula pada 4 Mei.
Sebagai tindak balas, Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran berkata: “Sebarang campur tangan Amerika dalam rejim maritim baru Selat Hormuz akan dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata.”
Dengan menyekat Selat Hormuz, Iran telah menghentikan aliran utama minyak, gas dan baja kepada ekonomi dunia, manakala Amerika telah mengenakan sekatan balas ke atas pelabuhan Iran.
Encik Trump dalam catatannya berkata, beliau “sedar sepenuhnya bahawa wakil saya sedang mengadakan perbincangan yang sangat positif dengan Iran, dan perbincangan ini boleh membawa kepada sesuatu yang sangat positif untuk semua”.
Beliau tidak menyebut secara langsung tentang apakah yang disifatkan oleh Teheran sebagai pelan 14 perkara yang “menjadi tumpuan untuk menamatkan perang”.
Tentera Amerika berkata ia akan menggunakan kapal pemusnah peluru berpandu, lebih 100 pesawat, platform tanpa pemandu berbilang jenis dan 15,000 anggota perkhidmatan dalam gerakan di Selat Hormuz itu.
Setakat 29 April, lebih 900 kapal komersial berada di Teluk, ujar firma perisikan maritim AXSMarine.
Terdapat lebih 1,100 pada permulaan konflik.
Laman web berita, Axios, memetik dua sumber yang diberi taklimat mengenai cadangan itu.
Ia melaporkan bahawa Iran menetapkan “tarikh akhir satu bulan untuk rundingan mengenai perjanjian bagi membuka semula selat”, membubarkan sekatan tentera laut Amerika dan menamatkan perang.
Terdahulu pada 3 Mei, Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) cuba mengembalikan tanggungjawab itu kepada Encik Trump, dengan menyatakan beliau mesti memilih antara “operasi yang mustahil atau perjanjian yang buruk dengan Iran”.
Sekutu Amerika di Eropah bimbang semakin lama selat itu ditutup, semakin teruk ekonomi mereka akan terjejas.
Menteri Luar Jerman, Encik Johann Wadephul, menuntut agar ia dibuka semula.
Dalam satu panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran, Encik Abbas Araghchi, beliau menekankan bahawa Jerman menyokong penyelesaian yang dirundingkan, tetapi “Iran mesti meninggalkan sepenuhnya program senjata nuklear dan segera membuka Selat Hormuz”.
Harga minyak kini kira-kira 50 peratus melebihi paras prakonflik.
Encik Trump yang menghabiskan hujung minggu di pusat peranginan Mar-a-Lago di Florida, pada 4 Mei enggan menyatakan secara khusus apakah yang boleh mencetuskan tindakan ketenteraan Amerika yang baru ke atas Iran.
Namun dalam catatannya, beliau berkata, jika langkah mengiringi kapal diganggu, ia akan ditangani dengan tegas.” – AFP.
