Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelat Hormuz mungkin dibuka semula, tetapi laluan belum tentu segera dianggap selamat
Selat Hormuz mungkin dibuka semula, tetapi laluan belum tentu segera dianggap selamat
Selat Hormuz mungkin dibuka semula, tetapi laluan belum tentu segera dianggap selamat
TEHERAN: Selat Hormuz mungkin boleh dibuka semula kepada kapal perdagangan jika rundingan diplomatik antara Amerika Syarikat dan Iran mencapai kemajuan. Namun, persoalan yang lebih besar ialah bila laluan strategik itu benar-benar akan dianggap selamat oleh syarikat insurans maritim dan pengendali kapal.
Sejak perang Amerika dan Israel terhadap Iran bermula sembilan minggu lalu, Selat Hormuz berubah daripada laluan tenaga paling penting dunia kepada titik paling rapuh dalam ekonomi global.
Laluan sempit yang menghubungkan negara pengeluar minyak dan gas di Teluk dengan laut terbuka itu biasanya membawa kira-kira 20 peratus minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia pada waktu aman.
Kini, sekitar 2,000 kapal dilaporkan masih terkandas di Teluk, menunggu kebenaran untuk melalui selat tersebut.
Walaupun laluan itu dibuka semula, ancaman periuk api laut, sekatan tentera laut dan risiko serangan masih boleh menyebabkan kapal dagang enggan melaluinya.
Isu utama bukan sekadar pembukaan fizikal Selat Hormuz, tetapi keyakinan pasaran bahawa laluan itu stabil, boleh diramal dan tidak akan ditutup semula secara tiba-tiba.
Ancaman periuk api dan Hormuz sebagai tekanan strategik
Amerika berkata proses membersihkan periuk api yang dipercayai diletakkan Iran di kawasan selat itu boleh mengambil masa sehingga enam bulan.
Faktor inilah antara sebab utama syarikat insurans maritim membatalkan perlindungan “risiko perang” bagi kapal tangki yang melalui Selat Hormuz sejak Mac lalu.
Bagi syarikat insurans, pembukaan semula laluan tidak mencukupi jika ancaman periuk api masih wujud.
Kapal yang membawa minyak, gas atau kargo bernilai tinggi perlu dilindungi daripada risiko serangan, rampasan atau letupan.
Jika risiko itu tidak boleh diukur dengan jelas, perlindungan insurans menjadi terlalu mahal atau tidak ditawarkan langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif NSI Insurance Group, Encik Oscar Seikaly, menjelaskan bahawa pasaran insurans boleh menerima risiko, tetapi bukan ketidakpastian yang terlalu besar.
“Jika keadaan berubah setiap jam, risiko menjadi hampir mustahil untuk dinilai secara bertanggungjawab,” katanya.
“Pasaran boleh menginsuranskan ketidaktentuan, tetapi sukar untuk menginsuranskan ketidakpastian.”
Menurut beliau, syarikat insurans risiko perang tidak semestinya menunggu keadaan bebas risiko sepenuhnya. Apa yang mereka perlukan ialah risiko yang boleh dikira, ditetapkan harga dan dikongsi merentasi kapasiti pasaran.
“Penanggung insurans risiko perang tidak mencari persekitaran tanpa risiko. Mereka mencari risiko yang boleh dikira, dinilai dan diagihkan,” katanya.
Bagi Teheran, Selat Hormuz menjadi alat tekanan paling kuat dalam rundingan dengan Washington. Iran pada awalnya masih membenarkan kapal dari negara yang dianggap “mesra” atau yang membayar tol untuk melalui selat itu, termasuk kapal dari India, Pakistan, Turkey dan China.
Namun, selepas Amerika mengumumkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran dan laluan Hormuz, Teheran menutup laluan itu kepada semua kapal berbendera asing sehingga sekatan ditarik balik.
Washington pula berkata sekatan itu bertujuan menekan ekonomi Iran.
Kapal berkait dengan Iran dilaporkan ditahan atau dihalang, termasuk di Teluk dan kawasan Indo-Pasifik.
Teheran menyifatkan tindakan itu sebagai “lanun”.
Pada masa sama, Iran menerbitkan peta yang menunjukkan kawasan tertentu di selat itu didakwa telah dipasang periuk api, selain mencadangkan laluan alternatif bagi kapal yang diluluskan.
Laluan baharu itu membawa kapal lebih dekat ke pantai Iran berbanding laluan biasa yang lebih hampir ke Oman.
Iran berkata langkah itu bertujuan membantu kapal mengelak bahaya periuk api. Namun, bagi syarikat perkapalan dan insurans, keadaan tersebut menambah persoalan tentang siapa sebenarnya mengawal keselamatan laluan tersebut.
Tentera Amerika berkata operasi membersihkan periuk api telah bermula pada 11 April, termasuk menggunakan kapal pemusnah berpandu dan dron bawah air untuk mengesan bahan letupan.
Namun, pegawai Pentagon memaklumkan bahawa operasi menyeluruh mungkin mengambil masa enam bulan dan kemungkinan besar hanya dapat dilakukan sepenuhnya selepas perang tamat.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, berkata Washington yakin dengan keupayaannya membersihkan periuk api yang dikenal pasti. “Kami yakin dengan kemampuan kami, dalam tempoh yang sesuai, untuk membersihkan mana-mana periuk api yang kami kenal pasti,” katanya.
Namun, penganalisis memberi amaran bahawa memastikan Selat Hormuz benar-benar bebas periuk api adalah tugas yang amat sukar. Satu periuk api yang tidak dikesan sudah cukup untuk mengekalkan risiko tinggi dan menghalang kapal daripada kembali dalam jumlah biasa.
Ketua keselamatan maritim BIMCO, Encik Jakob Larsen, berkata ancaman periuk api akan terus menjadi perhatian utama walaupun keamanan dicapai. “Memandangkan terdapat petunjuk Iran bahawa periuk api telah diletakkan di sebahagian Selat Hormuz, usaha pembersihan periuk api kemungkinan besar diperlukan untuk membuka semula selat itu sepenuhnya,” katanya.
Beliau menambah bahawa kapal mungkin terpaksa menggunakan laluan sempit berhampiran Iran dan Oman. Laluan seperti itu tidak mampu menampung jumlah trafik biasa Selat Hormuz dengan selamat.
Insurans perlukan bukti kestabilan, kos insurans boleh melonjak tinggi
Bagi pasaran insurans, gencatan senjata sementara sahaja tidak cukup.
Mereka memerlukan bukti bahawa ancaman benar-benar stabil dan peraturan pelayaran jelas.
Pengarah strategi dan operasi marin Vessel Protect, Encik Munro Anderson, berkata semua pihak perlu memberi komitmen jelas terhadap kebebasan pelayaran.
“Mesti ada komitmen jelas daripada semua pihak untuk menguatkuasakan kebebasan pelayaran melalui laluan perkapalan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata perlindungan insurans mungkin boleh dipertimbangkan jika perjalanan kapal diluluskan pihak Iran. Namun, risiko baki tetap wujud. “Setakat mana risiko itu boleh diterima bergantung kepada selera risiko setiap penanggung insurans,” katanya.
Masalah lain ialah kebimbangan terhadap kekurangan kawalan arahan dalam pasukan Iran.
Encik Anderson merujuk insiden kapal tangki Sanmar Herald berbendera India pada 18 April, apabila kapal itu dilaporkan diserang walaupun sudah mendapat kebenaran melalui kawasan tersebut.
Dalam rakaman audio insiden itu, kapten kapal kedengaran berkata: “Anda sudah memberi saya kebenaran untuk pergi. Nama saya nombor dua dalam senarai anda. Anda memberi saya kebenaran untuk pergi. Sekarang anda menembak!”
Insiden seperti itu menyebabkan syarikat insurans sukar yakin bahawa kebenaran rasmi benar-benar menjamin keselamatan kapal.
Sebelum perang, premium risiko perang bagi kapal melalui Hormuz biasanya kurang daripada 0.25 peratus nilai badan kapal. Kini, walaupun selat dibuka semula, premium boleh meningkat antara satu hingga lima peratus, bergantung kepada kapal, kargo, bendera dan pemilik.
Encik Seikaly berkata bagi kapal bernilai AS$100 juta ($127 juta), kos insurans satu transit boleh meningkat daripada kira-kira AS$250,000 sebelum perang kepada AS$5 juta.
“Jika serangan, rampasan, kebimbangan periuk api atau kesilapan ketenteraan berterusan, premium boleh meningkat dengan mendadak,” katanya.
Namun, jika wujud gencatan senjata tahan lama dan pergerakan kapal beriringan yang konsisten, harga mungkin stabil. Tetapi ia tidak akan kembali segera ke paras sebelum konflik.
Selat Hormuz mungkin boleh dibuka secara rasmi lebih awal.
Namun, untuk dianggap benar-benar selamat oleh industri perkapalan dan insurans, dunia perlu melihat beberapa perkara berlaku serentak: periuk api dibersihkan, serangan dihentikan, kebebasan pelayaran dijamin, tiada rampasan kapal baharu, dan pergerakan kapal kembali normal untuk satu tempoh yang berterusan.
Dalam erti kata lain, keselamatan Hormuz bukan hanya ditentukan oleh kenyataan politik atau operasi tentera laut. Ia ditentukan oleh keyakinan pasaran bahawa satu insiden kecil tidak lagi mampu menutup semula laluan tenaga paling penting dunia. – Agensi berita.
