SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Iran ancam tindak balas selepas Trump tetapkan tarikh akhir buka Selat Hormuz

Iran ancam tindak balas selepas Trump tetapkan tarikh akhir buka Selat Hormuz

Iran diberi tambahan 24 jam pada 7 Apr untuk buka semula Selat Hormuz atau berdepan serangan ke atas prasarana
Apr 6, 2026 | 2:35 PM

Iran ancam tindak balas selepas Trump tetapkan tarikh akhir buka Selat Hormuz

selat hormuz
Penduduk Teheran berjalan melepasi papan iklan yang memaparkan ayat “Selat Hormuz kekal ditutup” di Dataran Enqelab, Teheran, pada 5 April. - Foto AFP

WASHINGTON: Iran melancarkan serangan baharu di seluruh Asia Barat pada 6 April dan memberi amaran akan bertindak balas secara “lebih dahsyat”.

Ini selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengugut untuk “menurunkan bencana neraka” ke atas Teheran jika ia enggan mencapai perjanjian dan membuka semula Selat Hormuz menjelang tarikh akhir 7 April yang ditetapkannya.

Israel, Kuwait dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron pada awal 6 April.

Serangan itu berlaku ketika Teheran memperhebat retoriknya terhadap Encik Trump, dengan markas tentera pusat Iran memberi amaran bahawa tindak balas yang “jauh lebih memusnahkan” akan dilancarkan jika pihak lawan menyerang sasaran awam.

Amaran itu muncul hanya beberapa jam selepas Encik Trump mengancam memusnahkan infrastruktur awam Iran dan mendesak Teheran akur kepada tuntutan Washington supaya laluan perkapalan di Teluk dibuka semula.

Encik Trump sebelum ini menetapkan Iran mesti membuka semula Selat Hormuz menjelang Selasa, 7 April, pada 8 malam waktu Timur Amerika.

Selat Hormuz kini menjadi titik paling kritikal dalam konflik ini.

Laluan perairan itu amat penting kepada perdagangan tenaga global, dan penutupannya telah menggoncang pasaran minyak dunia serta menaikkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga antarabangsa.

Reuters melaporkan harga minyak terus meningkat, dengan pasaran kekal gelisah susulan ancaman serangan baru dan gangguan berterusan terhadap aliran bekalan.

Encik Trump memberi amaran bahawa sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, Amerika akan menyasarkan loji jana kuasa dan jambatan utama di Iran, dalam apa yang digambarkannya sebagai “serangan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini”.

Sebagai tindak balas, pegawai kanan Iran menolak amaran tersebut dan menyifatkannya sebagai bukti kegagalan diplomasi Washington.

Iran dilaporkan melancarkan lebih 10 peluru berpandu ke arah Israel dalam tiga gelombang serangan terbaru, menurut laporan penyiar Channel 12 Israel.

Laporan itu menyatakan serangan berkenaan termasuk penggunaan sekurang-kurangnya sebuah kepala peledak berfragmentasi, dan telah mencetuskan bunyi siren amaran di beberapa kawasan di tengah Israel.

Menurut Agensi Berita Fars sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh selepas serangan udara yang didakwa dilancarkan oleh Amerika dan Israel mengenai dua unit kediaman di bandar Qaleh Mir, daerah Baharestan, pada 6 April.

Fars melaporkan serangan itu berlaku di kawasan berpenduduk padat di wilayah Teheran, menyebabkan kemusnahan besar pada bangunan kediaman yang menjadi sasaran.

Encik Trump pada masa sama memberi gambaran bahawa perjanjian masih mungkin dicapai.

Beliau berkata Iran “hampir” mencapai persetujuan, namun ancaman ketenteraan Washington tetap diteruskan.

Dalam laporan berasingan, Reuters memetik Axios bahawa Amerika, Iran dan beberapa pengantara serantau sedang membincangkan kemungkinan gencatan senjata selama 45 hari sebagai langkah awal ke arah penamatan perang secara kekal.

Di rantau Teluk, UAE menegaskan bahawa kebebasan penggunaan Selat Hormuz mesti dijamin dalam mana-mana perjanjian antara Amerika dengan dan Iran.

Penasihat presiden UAE, Encik Anwar Gargash, turut memberi amaran bahawa serangan Iran terhadap jiran Arabnya hanya akan mengukuhkan lagi peranan Amerika dan Israel di Teluk, bukannya mengurangkannya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg