Topic followed successfully
Go to BHkuAS selamatkan juruterbang jet F-15 yang ditembak jatuh di Iran
AS selamatkan juruterbang jet F-15 yang ditembak jatuh di Iran
Juruterbang alami kecederaan tapi dikatakan dalam keadaan baik
AS selamatkan juruterbang jet F-15 yang ditembak jatuh di Iran
WASHINGTON: Amerika Syarikat telah menyelamatkan seorang juruterbang yang terperangkap di wilayah musuh selepas Iran menembak jatuh jet pejuang F-15-nya, kata pemerintah pada 5 April, menyelesaikan krisis besar bagi Presiden Donald Trump dengan perang ke atas Iran masuk minggu keenam.
“Sepanjang beberapa jam yang lalu, Tentera Amerika telah melancarkan salah satu operasi mencari dan menyelamat paling berani dalam sejarah Amerika,” kata Encik Trump menerusi kenyataan yang disiarkan oleh Setiausaha Akhbar Rumah Putih Cik Karoline Leavitt di X.
Encik Trump berkata juruterbang berkenaan cedera tetapi “dalam keadaan baik belaka”.
Juruterbang berpangkat kolonel itu merupakan salah seorang daripada dua kru jet pejuang F-15 yang menurut Iran telah ditembak jatuh oleh pertahanan udaranya pada 3 April.
Reuters melaporkan pada 3 April bahawa kru pertama telah ditemui, mencetuskan pencarian berprofil tinggi untuk baki juruterbang oleh Iran dan Amerika.
Pegawai Iran meminta rakyat supaya membantu mencari juruterbang itu, dengan harapan dapat memanfaatkannya dalam perang yang dilancarkan oleh Encik Trump dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari.
Beliau telah mengancam untuk meningkatkan konflik dalam beberapa hari akan datang dengan serangan ke atas infrastruktur tenaga Iran.
Krisis tebusan mungkin telah mengubah persepsi awam Amerika tentang konflik yang, menurut tinjauan pendapat, kian sukar untuk memenangi sokongan rakyat.
Encik Trump tidak memberikan butiran mengenai operasi menyelamat itu, tetapi menyatakan ia adalah kali pertama dalam ingatannya dua juruterbang Amerika telah diselamatkan, secara berasingan, jauh di wilayah musuh.
Operasi menyelamat berisiko tinggi melibatkan berpuluh-puluh pesawat tentera, menghadapi tentangan hebat daripada tentera Iran.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran sebelum ini berkata ia sedang meninjau kawasan jet juruterbang itu terhempas, selepas ditembak jatuh di barat daya Iran, dan gabenor wilayah itu menjanjikan ganjaran bagi sesiapa yang menangkap atau membunuhnya.
Reuters melaporkan pada 3 April bahawa dua helikopter Black Hawk yang terlibat dalam pencarian itu terkena tembakan Iran tetapi berjaya keluar daripada ruang udara Iran.
Dalam insiden berasingan, sebuah pesawat tempur A-10 Warthog Amerika, telah diserang oleh pertahanan udara Iran di perairan selatan berhampiran Selat Hormuz, sebelum terhempas di Kuwait.
Juruterbang pesawat itu sempat keluar bagi menyelamatkan diri, kata para pegawai.
Tahap kecederaan yang dialami juruterbang masih tidak jelas.
Namun, Encik Trump merasakan ia merupakan satu kemenangan.
“Hakikat bahawa kita dapat melaksanakan kedua-dua operasi ini, tanpa seorang pun rakyat Amerika yang terbunuh, atau cedera, sekali lagi membuktikan bahawa kita telah mencapai dominasi dan keunggulan udara yang luar biasa di ruang udara Iran,” kata beliau dalam kenyataannya itu. – Reuters

