SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Indonesia semadi pegawai pengaman terkorban di Lebanon

Indonesia semadi pegawai pengaman terkorban di Lebanon

Tentera: Setiap anggota yang terkorban akan terima pampasan sebagai pengiktirafan
Apr 5, 2026 | 3:59 PM

Indonesia semadi pegawai pengaman terkorban di Lebanon

pegawai pengaman indonesia
Ahli keluarga anggota tentera Indonesia, Encik Farizal Rhomadhon, meratapi pemergiannya di sisi keranda di kediamannya di Kulon Progo, Yogyakarta, pada 4 April. - Foto AFP

BANDUNG: Tiga pegawai pengaman Indonesia yang terkorban dalam dua letupan berasingan di selatan Lebanon pada minggu lalu telah selamat dikebumikan di kampung halaman masing-masing pada 5 April.

Pegawai pengaman, Encik Farizal Rhomadhon, 28 tahun, maut apabila projektil meletup pada 29 Mac di selatan Lebanon, kawasan di mana Israel dan Hezbollah sedang bertempur sejak Lebanon terlibat dengan peperangan di Timur Tengah.

Dua lagi anggota ‘blue helmets’, Encik Zulmi Aditya Iskandar, 33 tahun, dan Encik Muhammad Nur Ichwan, 26 tahun, maut sehari kemudian apabila satu letupan terkena konvoi logistik Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil), juga di selatan Lebanon.

Insiden yang menyebabkan maut tersebut telah mencetuskan gesaan daripada pihak berkuasa Indonesia agar siasatan dijalankan dan jaminan keselamatan diberikan kepada pegawai pengaman.

Kesemua perajurit tersebut dikebumikan pada 5 April dalam keranda yang dibalut dengan bendera Indonesia melalui istiadat pengebumian tentera lengkap dengan tembakan hormat.

Ahli keluarga yang dalam kesedihan dilihat menabur kelopak bunga di atas pusara mereka.

Encik Zulmi dikebumikan di tanah perkuburan tentera di kampung halamannya di Bandung, Jawa Barat, manakala Encik Ichwan dan Encik Farizal pula disemadikan di kampung halaman masing-masing di Jawa Tengah dan Yogyakarta.

“Saya mengikhlaskan pemergiannya dengan penuh bangga.

“Saya reda, walaupun ia bukanlah apa yang saya harapkan sebagai seorang bapa,” kata bapa Encik Zulmi, Encik Iskandarudin, kepada wartawan selepas pengebumian tersebut.

“Saya yakin beliau sedang menunggu saya di syurga,” tambahnya.

Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto, berkongsi dengan wartawan bahawa setiap perajurit yang terkorban akan menerima pampasan sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan mereka.

“Kami telah menyediakan segala hak dan kelayakan yang mesti diberikan kepada perajurit yang gugur.

“Antaranya termasuk pampasan daripada PBB,” kata Jeneral Agus selepas menghadiri pengebumian Encik Zulmi.

Jenazah ketiga pegawai pengaman itu tiba di Jakarta pada 4 April dan disambut dengan penuh penghormatan dalam satu upacara yang dihadiri oleh Presiden Prabowo Subianto.

Melalui hantaran di Instagram, Encik Prabowo menyatakan bahawa rakyat Indonesia “mengutuk keras setiap tindakan kejam yang menggugat keamanan dan menyebabkan kematian perajurit negara kita”.

Kurang seminggu selepas letupan yang meragut nyawa tiga pegawai pengaman tersebut, satu lagi letupan berlaku di sebuah kemudahan PBB berhampiran El Adeisse pada 3 April, yang mengakibatkan kecederaan kepada tiga lagi anggota ‘blue helmets’ Indonesia.

Kementerian Luar Negeri Indonesia menyifatkan serangan tersebut sebagai “sesuatu yang tidak boleh diterima” dan menggesa Majlis Keselamatan PBB agar “segera mengadakan mesyuarat bersama negara-negara yang menyumbang tentera kepada Unifil untuk menjalankan semakan serta mengambil langkah bagi meningkatkan perlindungan kakitangan yang berkhidmat dengan Unifil”.

Menteri Luar, Encik Sugiono, memberitahu wartawan pada 4 April bahawa Indonesia ingin siasatan menyeluruh oleh pihak PBB, dan menuntut jaminan keselamatan yang lebih baik untuk perajurit pasukan pengaman. – AFP.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg