Topic followed successfully
Go to BHkuDua lagi anggota pengaman PBB dari Indonesia terkorban di Lebanon
Dua lagi anggota pengaman PBB dari Indonesia terkorban di Lebanon
Indonesia gesa semua pihak reda ketegangan, kembali ke meja rundingan
Dua lagi anggota pengaman PBB dari Indonesia terkorban di Lebanon
BEIRUT: Tiga anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Indonesia terbunuh dalam dua kejadian berasingan di selatan Lebanon ketika konflik antara Israel dengan kumpulan bersenjata Hezbollah semakin memuncak.
Menurut Pasukan Pendamai PBB di Lebanon (Unifil), dua anggota pengaman maut pada 30 Mac selepas satu letupan memusnahkan kenderaan mereka berhampiran Bani Hayyan.
Dua lagi anggota dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.
Menurut Unifil, siasatan segera sedang dijalankan berhubung kejadian terkini itu, yang berlaku hanya sehari selepas seorang lagi anggota pengaman Indonesia terbunuh dan tiga cedera akibat peluru yang tidak diketahui asalnya.
Sebelum itu, seorang anggota pengaman Indonesia terbunuh dalam satu letupan berasingan berhampiran kedudukan pasukan PBB di kawasan Adchit al-Qusayr.
Jurucakap Unifil, Cik Kandice Ardiel, berkata kedua-dua kejadian itu sedang disiasat secara berasingan.
“Ini adalah dua insiden berasingan dan kami sedang menyiasatnya secara terperinci,” katanya.
Kementerian Luar Indonesia mengesahkan mangsa yang terkorban ialah warganya dan beberapa anggota lain turut cedera akibat tembakan artileri tidak secara langsung.
Menteri Luar, Encik Sugiono, menegaskan bahawa Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya kejadian tersebut dan menyifatkan sebarang serangan terhadap pasukan pengaman sebagai tidak boleh diterima.
“Kami mengecam insiden ini dan menegaskan bahawa sebarang ancaman terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedutaan Indonesia di Beirut telah diarah agar memantau keadaan anggota yang cedera serta mengurus proses penghantaran pulang jenazah.
Selain itu, Indonesia juga akan mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan PBB bagi menuntut siasatan menyeluruh terhadap kejadian tersebut.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, menyifatkan serangan terhadap pasukan pengaman sebagai pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran berat dan boleh dianggap sebagai jenayah perang,” katanya.
Ketua Operasi Pengaman PBB, Encik Jean-Pierre Lacroix, turut mengecam kejadian tersebut dan memberi amaran mengenai peningkatan ancaman terhadap anggota misi.
“Kami mengutuk insiden ini. Pasukan pengaman tidak sepatutnya menjadi sasaran,” katanya.
Penyelaras Khas PBB untuk Lebanon, Cik Jeanine Hennis-Plasschaert, pula menggesa gencatan senjata segera bagi menghentikan kemusnahan dan korban nyawa yang berterusan
Lebanon semakin terheret dalam konflik serantau selepas Hezbollah melancarkan serangan roket ke atas Israel sebagai tanda perpaduan terhadap Iran.
Serangan itu mencetuskan tindak balas ketenteraan Israel melalui operasi darat dan udara.
Sejak awal Mac, lebih 1,240 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel di Lebanon termasuk wanita, kanak-kanak dan petugas perubatan.
Dalam tempoh sama, ratusan anggota Hezbollah turut terkorban, manakala tentera Israel terus melancarkan operasi ketenteraan di kawasan sempadan.
Serangan udara baharu turut dilaporkan melanda beberapa bandar di selatan Lebanon serta pinggir Beirut, dengan sasaran dikatakan melibatkan komander yang menyelaras operasi antara Hezbollah dengan kumpulan Palestin.
Kementerian Kesihatan Lebanon melaporkan sekurang-kurangnya 10 petugas perubatan terbunuh dalam serangan hujung minggu lalu, selain tiga wartawan yang maut dalam serangan ke atas kenderaan mereka.
Israel bagaimanapun mendakwa sebahagian petugas dan wartawan tersebut mempunyai kaitan dengan Hezbollah, namun tidak mengemukakan bukti secara terbuka.
Pihak berkuasa Lebanon menolak dakwaan itu dan menegaskan bahawa semua mangsa adalah orang awam yang menjalankan tugas profesional.
Di Indonesia, kejadian itu mencetuskan reaksi keras, termasuk daripada tokoh politik, Encik Anies Baswedan, yang secara terbuka menyalahkan Israel.
“Indonesia telah melakukan lebih daripada sepatutnya. Namun, balasan yang diterima adalah serangan terhadap pasukan kita,” katanya.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai disengajakan dan menyeru tindakan tegas daripada masyarakat antarabangsa.
Indonesia merupakan antara penyumbang terbesar anggota Unifil, dengan lebih 1,000 anggota ditempatkan di kawasan sempadan sensitif antara Lebanon dengan Israel.
Misi tersebut bertujuan memantau gencatan senjata dan mengelakkan konflik daripada terus merebak.
Namun, dengan peningkatan serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, keselamatan pasukan pengaman semakin terancam.
Encik Sugiono menegaskan bahawa Indonesia terus menyeru semua pihak supaya meredakan ketegangan dan kembali ke meja rundingan.
“Konflik ini telah memberi kesan besar kepada kestabilan serantau. Semua pihak perlu kembali berdialog,” katanya.
Perancis, anggota tetap Majlis Keselamatan PBB kini berusaha mengadakan mesyuarat tergempar badan itu bagi membincangkan perkembangan di Lebanon.
Sepanyol turut mengecam keras serangan yang meragut nyawa anggota pengaman.
Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, dalam panggilan telefon kepada komander Unifil, mengecam serangan yang disifatkan sebagai tindakan yang menyasarkan pasukan keamanan antarabangsa.
Pejabat Presiden turut memaklumkan bahawa Lebanon akan mengadakan rundingan dengan beberapa negara bagi mencari jalan meredakan ketegangan dengan Israel. – Agensi berita.

