SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

‘Letupan tepi jalan’ di selatan Lebanon, 2 pegawai pengaman Indonesia maut

‘Letupan tepi jalan’ di selatan Lebanon, 2 pegawai pengaman Indonesia maut

PBB: Sumber letupan tidak diketahui; Israel nafi bertanggungjawab
Apr 1, 2026 | 1:01 PM

‘Letupan tepi jalan’ di selatan Lebanon, 2 pegawai pengaman Indonesia maut

unifil, pasukan pengaman
Cik Supinah (kiri), ibu kepada anggota tentera Indonesia Ketua Prebet Farizal Rhomadhon, anggota Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) yang terbunuh dalam serangan artileri di Lebanon, ditenangkan sehari selepas kematian anaknya di kediamannya di Kulon Progo, Yogyakarta, pada 31 Mac. - Foto AFP

BEIRUT: Dua anggota Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil) dari Indonesia terbunuh pada 30 Mac akibat “letupan tepi jalan” di selatan Lebanon, kata Ketua Pengaman PBB, Encik Jean-Pierre Lacroix, memetik penemuan siasatan awal.

Dalam satu kenyataan berasingan, Unifil berkata letupan itu “tidak diketahui asal usulnya” dan “memusnahkan” kenderaan anggota pengaman berhampiran Bani Hayyan.

Seorang anggota pegawai pengaman ketiga “cedera parah” dalam letupan itu, dan seorang lagi cedera, kata Unifil.

Ia merupakan kejadian maut kedua dalam tempoh 24 jam.

Seorang lagi anggota pegawai pengaman – yang juga warga Indonesia – terbunuh pada 29 Mac apabila satu peluru berpandu yang juga tidak diketahui asal usulnya, meletup di Adchit Al Qusayr, selatan Lebanon.

Unifil berkata ia telah melancarkan siasatan untuk menentukan apa yang berlaku dalam kedua-dua kejadia tersebut.

Penemuan siasatan “awal” terhadap insiden pada 30 Mac “menunjukkan konvoi terkena letupan di tepi jalan, kata Encik Lacroix kepada Majlis Keselamatan PBB sebelum ini.

Kematian mereka “kemungkinan besar” disebabkan oleh alat letupan buatan sendiri, kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Encik Stephane Dujarric.

Bercakap mengenai insiden pada 29 Mac, Encik Dujarric berkata ia mungkin disebabkan oleh “alat letupan yang meletup di tempat anggota Unifil dari Indonesia itu berada”.

Kematian itu berlaku sejurus selepas tentera Israel mengumumkan ia akan meningkatkan serangan darat dan udara terhadap kumpulan Hezbollah.

Hezbollah, sebuah kumpulan militia yang disokong Iran serta sebuah parti politik, telah melancarkan roket ke Israel sebagai tindak balas atas serangan Amerika Syarikat-Israel yang berterusan ke atas Iran.

Dalam satu kenyataan di Telegram, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata semakannya sendiri telah membuat kesimpulan bahawa letupan Bani Hayyan “tidak disebabkan oleh kegiatan IDF”.

Ia menyambung: “Pemeriksaan operasi yang menyeluruh menunjukkan bahawa tiada alat letupan diletakkan di kawasan itu oleh tentera IDF, dan tiada tentera IDF yang hadir di kawasan itu sama sekali.”

Secara berasingan, IDF berkata pada 31 Mac empat askarnya telah terbunuh dalam pertempuran di selatan Lebanon.

Seorang lagi askar cedera parah dan seorang anggota simpanan cedera ringan, kata IDF.

Encik Dujarric berkata pasukan pengaman di Lebanon adalah “askar yang dihantar ke sana bagi pihak masyarakat... dan semua orang perlu memastikan mereka dilindungi dan tidak pernah disasarkan”.

Beliau menggesa Lebanon dan Israel agar menggunakan mekanisme Unifil untuk dialog, dengan mengatakan “intinya adalah kedaulatan dan kewibawaan wilayah Lebanon perlu dihormati”.

Askar yang terbunuh pada 29 Mac dikenal pasti sebagai Ketua Prebet Farizal Rhomadhon.

Dua askar yang terbunuh pada 30 Mac pula ialah Kapten Zulmi Aditya Iskandar dan Sarjan Pertama Muhammad Nur Ichwan.

Duta Indonesia ke Majlis Keselamatan, Encik Umar Hadi, berkata negaranya berasa sedih, marah dan kecewa susulan kematian tiga anggota pengaman serta kecederaan lima lagi.

Beliau memaklumkan bahawa anggota yang terkorban berusia sekitar 20-an.

“Anggota pengaman ini gugur dan cedera ketika melaksanakan mandat yang diberikan oleh Majlis ini sendiri,” katanya.

Encik Umar turut menyalahkan Israel atas kejadian tersebut, dengan menyatakan bahawa ketegangan di selatan Lebanon berpunca daripada “pencerobohan berulang oleh tentera Israel ke atas wilayah Lebanon”.

Dalam satu kenyataan, Unifil berkata: “Kami mengucapkan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga, rakan-rakan dan teman sekerja pasukan pengaman yang sanggup mengorbankan nyawa mereka untuk berkhidmat untuk keamanan.”

Kira-kira 339 pengaman telah terbunuh sejak misi itu ditubuhkan pada 1978. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg