Topic followed successfully
Go to BHkuIndonesia hargai tiga anggota pengaman terkorban dalam misi kemanusiaan di Lebanon
Indonesia hargai tiga anggota pengaman terkorban dalam misi kemanusiaan di Lebanon
Gesa Majlis Keselamatan PBB jalan siasatan segera, telus agar pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan
Indonesia hargai tiga anggota pengaman terkorban dalam misi kemanusiaan di Lebanon
Tiga anggota pengaman Indonesia yang terkorban dalam serangan Israel ke atas konvoi logistik mereka di selatan Lebanon telah dianugerahkan kenaikan pangkat luar biasa secara anumerta serta pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Indonesia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB agar menjalankan siasatan segera, telus dan menyeluruh terhadap serangan tersebut serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Ketua Tentera Nasional Indonesia, Jeneral Agus Subianto, berkata selain pampasan kewangan, ketiga-tiga anggota itu turut menerima kenaikan pangkat luar biasa bagi operasi ketenteraan selain perang serta Pingat Dag Hammarskjold.
Beliau turut menegaskan bahawa pemerintah akan memastikan pendidikan anak-anak anggota yang terkorban terus terjamin.
Kapten Infantri Zulmi Aditya Iskandar, 33 tahun; dan Sarjan Satu Muhammad Nur Ichwan, 25 tahun; terkorban dalam serangan ke atas konvoi mereka ketika menjalankan sokongan logistik di Bani Haiyyan pada 30 Mac.
Seorang lagi anggota, Prebet Farizal Rhomadon, 27 tahun, maut akibat serangan artileri secara tidak langsung berhampiran Adchit Al Qusayr pada 29 Mac, ketika konflik di selatan Lebanon kian memuncak.
Presiden Prabowo Subianto turut menyampaikan ucapan takziah melalui akaun Instagram rasmi beliau.
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada Kapten Zulmi Aditya Iskandar, Sarjan Muhammad Nur Ichwan dan Prebet Farizal Rhomadon, yang gugur ketika menjalankan misi pengaman di Timur Tengah,” katanya.
Beliau menambah bahawa pengorbanan mereka mencerminkan dedikasi dan keberanian dalam menjaga keamanan dunia serta mengangkat nama Indonesia di peringkat antarabangsa.
Serangan tersebut berlaku ketika Indonesia sedang mempertimbangkan peranannya dalam menyumbang sehingga 8,000 anggota tentera kepada Pasukan Penstabilan Antarabangsa di bawah Lembaga Keamanan yang dipimpin Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di Gaza.
Bagaimanapun, pada 16 Mac lalu pemerintah memaklumkan rancangan tersebut ditangguhkan susulan peningkatan ketegangan di Timur Tengah selepas serangan Israel yang disokong Amerika ke atas Iran sejak akhir Februari.
Indonesia turut menegaskan bahawa serangan ke atas pasukan pengaman itu merupakan satu ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa serta berpotensi menjadi jenayah perang.
Wakil Tetap Indonesia ke PBB di New York, Encik Umar Hadi, berkata serangan berulang terhadap pasukan pengaman bukan sekadar kejadian terpencil.
“Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap pasukan pengaman yang berkhidmat di bawah Unifil,” katanya dalam sidang khas Majlis Keselamatan PBB pada 31 Mac.
“Kami menuntut siasatan oleh PBB, bukan sekadar penjelasan daripada Israel. Kami juga menuntut supaya pelaku dibawa ke muka pengadilan,” tambah beliau.
Selain tiga anggota yang terkorban, lima lagi anggota pengaman Indonesia dilaporkan cedera dalam serangan tersebut.
Encik Umar turut menegaskan bahawa pasukan pengaman itu menjadi mangsa ketika melaksanakan mandat yang diberikan oleh Majlis Keselamatan PBB.
Beliau juga mempersoalkan punca sebenar zon konflik itu, sambil menyatakan bahawa ketegangan semasa tidak berlaku secara kebetulan tetapi berpunca daripada pencerobohan berulang tentera Israel ke wilayah Lebanon.
Menurut data PBB pada 2024, Indonesia menyumbang 2,715 anggota pengaman, termasuk 183 anggota wanita yang masih aktif bertugas, menjadikannya penyumbang keenam terbesar di dunia. Indonesia telah menghantar pasukan pengaman sejak 1957 ketika menyertai Pasukan Kecemasan PBB di Sinai, Mesir.
Dalam perkembangan berkaitan, organisasi kemanusiaan MER-C Indonesia memaklumkan akan menghantar misi bantuan ke Lebanon bagi membantu sektor kesihatan yang terjejas akibat konflik.
Pengerusinya, Dr Hadiki Habib, berkata bantuan akan melibatkan penghantaran petugas perubatan serta bekalan ubat-ubatan.
“Ini penting kerana konflik berterusan menyebabkan ramai orang awam kehilangan tempat tinggal dan memerlukan rawatan perubatan,” katanya.
Beliau menambah bahawa sekitar enam petugas akan bersiap sedia untuk memasuki Lebanon atau menyalurkan bantuan melalui rakan tempatan sekiranya keadaan keselamatan tidak mengizinkan.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 2 April sebulat suara mengutuk kejadian yang mengorbankan tiga anggota pengaman Indonesia daripada pasukan Unifil itu.
Dalam satu kenyataan bersama, kesemua 15 anggota majlis itu menzahirkan kekesalan terhadap siri serangan di selatan Lebanon yang berlaku ketika pertempuran di sepanjang ‘Garisan Biru’ semakin memuncak.
Majlis berkenaan turut memberi penghormatan di atas dedikasi dan pengorbanan semua anggota pengaman PBB yang mempertaruhkan nyawa demi mengekalkan keamanan antarabangsa.
Kenyataan tersebut turut menegaskan sokongan penuh Majlis Keselamatan terhadap peranan Unifil serta komitmen berterusan mereka terhadap kedaulatan, kemerdekaan, kewibawaan wilayah dan perpaduan Lebanon.
Selain merakamkan ucapan takziah, ahli majlis termasuk Amerika turut mendoakan kesembuhan segera anggota yang cedera dalam kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan rasmi itu tidak menamakan mana-mana pihak sebagai bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, selain tidak menyebut penglibatan Israel atau Hezbollah yang terlibat dalam pertempuran di kawasan berkenaan.

