SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Seorang anggota pengaman Indonesia maut dalam serangan di Lebanon

Seorang anggota pengaman Indonesia maut dalam serangan di Lebanon

Tiga lagi cedera; Kementerian Luar Indonesia kutuk keras kejadian, gesa siasatan menyeluruh dilaksana
Mar 30, 2026 | 1:56 PM

Seorang anggota pengaman Indonesia maut dalam serangan di Lebanon

Lebanon, Qlayaa, Indonesia, Middle East conflict, West Asia, United States, Amerika Syarikat, Israel, Iran, Unifil, killed, injured
Seorang anggota tentera Lebanon berdiri di sebelah kenderaan Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) dan trak tentera Lebanon ketika ketegangan antara Israel dengan Hezbollah kian memuncak, di tengah konflik berterusan antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, di Qlayaa, selatan Lebanon, pada 27 Mac. - Foto REUTERS

JAKARTA: Indonesia mengesahkan seorang anggota pengaman negara itu terkorban, manakala tiga lagi cedera selepas serangan artileri secara tidak langsung mengenai kedudukan Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) di selatan negara itu.

Kementerian Luar Indonesia melahirkan rasa dukacita mendalam dan mengutuk keras kejadian berkenaan, sambil menggesa siasatan menyeluruh dan telus dijalankan.

“Kami amat berdukacita atas kehilangan ini. Kami memberi penghormatan tertinggi kepada anggota yang gugur atas jasa dan dedikasinya dalam menjaga keamanan antarabangsa,” ujar kenyataan kementerian pada 30 Mac.

Menurut kementerian, kejadian berlaku berhampiran Adchit al-Qusayr pada malam 29 Mac waktu tempatan, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara tentera Israel dengan kumpulan bersenjata di kawasan tersebut.

Unifil memaklumkan peluru telah mengenai salah satu pos mereka, namun punca serangan masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.

Media tempatan Lebanon melaporkan artileri Israel menyasar markas kontinjen Indonesia di kawasan tersebut, namun pengesahan rasmi masih belum diumumkan.

Kementerian Luar memaklumkan Indonesia kini bekerjasama dengan Unifil bagi mempercepat proses membawa pulang jenazah mangsa serta memastikan anggota yang cedera menerima rawatan terbaik.

Pihaknya menegaskan keselamatan anggota pengaman mesti dihormati sepenuhnya selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Sebarang serangan terhadap pasukan pengaman tidak boleh diterima dan menjejaskan usaha bersama mengekalkan keamanan dan kestabilan,” katanya.

Indonesia turut mengulangi kecaman terhadap serangan Israel di selatan Lebanon dan menggesa semua pihak menghormati kedaulatan negara itu, menghentikan serangan terhadap orang awam serta kembali berunding.

Indonesia merupakan antara penyumbang utama anggota pasukan pengaman kepada Unifil, dengan ratusan tenteranya ditempatkan di selatan Lebanon bagi membantu memantau gencatan senjata dan menjaga kestabilan di kawasan itu.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan bahawa serangan terhadap pasukan pengaman boleh dianggap sebagai pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Laporan berkenaan menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap anggota pengaman adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta bertentangan dengan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701.

Malah, tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai jenayah perang sekiranya terbukti dilakukan dengan sengaja.

Unifil telah melaporkan kedudukannya telah diserang lebih daripada sekali sejak bermulanya pertempuran terkini.

Adchit al-Qusayr terletak berhampiran sempadan selatan Lebanon dengan Israel, tempat tentera Israel bertempur dengan anggota Hezbollah selama hampir sebulan.

Pada 7 Mac, tiga anggota tentera Ghana cedera akibat tembakan di sebuah bandar sempadan di selatan Lebanon. 

Tentera Israel mengaku tembakan kereta kebalnya mengenai kedudukan PBB di selatan Lebanon pada hari kejadian.

Pertempuran di sempadan Lebanon-Israel berterusan sejak awal Mac, selepas gencatan senjata pada November 2024 tidak lagi bertahan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengarahkan tentera memperluas zon keselamatan di selatan Lebanon sebagai sebahagian daripada operasi darat yang diperluaskan.

Dalam perkembangan terkini, pihak berkuasa Lebanon melaporkan sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh dan 116 cedera dalam satu hari, menjadikan jumlah korban keseluruhan mencecah 1,238 orang sejak peningkatan konflik pada 2 Mac.

Lebih 136,000 penduduk kini berlindung di ratusan pusat perlindungan, menggambarkan skala krisis kemanusiaan yang kian meruncing. – Agensi berita.

“Kami amat berdukacita atas kehilangan ini. Kami memberi penghormatan tertinggi kepada anggota yang gugur atas jasa dan dedikasinya dalam menjaga keamanan antarabangsa.”
Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan pada 30 Mac.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg