Topic followed successfully
Go to BHkuIndonesia perangi skim haji haram, perketat tindakan terhadap tawaran palsu
Indonesia perangi skim haji haram, perketat tindakan terhadap tawaran palsu
Lebih 5.7j rakyat Indonesia tunggu giliran haji, tempoh tunggu cecah 26 tahun
Indonesia perangi skim haji haram, perketat tindakan terhadap tawaran palsu
JAKARTA: Kementerian Haji dan Umrah Indonesia memberi amaran Arab Saudi tidak mengeluarkan visa haji ‘furada’ bagi musim haji 2026 sambil menasihatkan bakal jemaah supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pemergian “tanpa giliran”.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, menegaskan hanya visa haji rasmi dibenarkan untuk menunaikan ibadah tersebut.
“Tiada visa seperti itu tahun ini (2026). Arab Saudi tidak mengeluarkan visa haji furada. Satu-satunya dokumen yang sah ialah visa haji rasmi,” katanya kepada wartawan di Jakarta pada 9 April.
Menurut Encik Dahnil, peningkatan tawaran di media sosial yang mempromosikan haji tanpa giliran perlu dipandang serius kerana ia berpotensi melibatkan penipuan atau perjalanan tidak sah.
“Tiada haji tanpa menunggu. Haji sentiasa melibatkan giliran,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa tawaran yang dikenali sebagai ‘Haji Tenol’ atau ‘haji segera’ adalah petunjuk jelas melibatkan kegiatan tidak sah yang harus orang ramai elakkan.
Bagi membendung isu itu, kementerian dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (Polri) akan menubuhkan Pasukan Petugas Pencegahan Haji Tidak Sah.
Pasukan itu akan bertindak membanteras skim pemergian haji tanpa prosedur serta melindungi jemaah daripada penipuan.
“Itulah yang mahu kita cegah. Jika amalan ini berterusan, pihak polis akan mengambil tindakan jenayah,” kata Encik Dahnil.
Beliau menegaskan hanya dua saluran rasmi untuk menunaikan haji, iaitu program haji biasa dan program haji khas.
Sebarang tawaran di luar saluran tersebut tidak mematuhi peraturan.
Menurut Encik Dahnil, usaha membanteras haji tidak sah turut diperkukuh susulan arahan Presiden Prabowo Subianto, untuk meningkatkan perlindungan jemaah.
“Tahun ini (2026), kita mesti mencegah amalan haji tidak sah, termasuk melalui langkah pencegahan di lapangan terbang dengan kerjasama polis dan imigresen,” katanya.
Pada 2025, kira-kira 1,200 individu berjaya dihalang daripada berlepas menggunakan visa bukan haji.
Pada 2026, pemantauan akan dipertingkatkan lagi di semua pintu keluar negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Polis Negara, Encik Dedi Prasetyo, berkata pasukan petugas itu akan beroperasi dari peringkat pusat hingga ke daerah dengan penglibatan pelbagai agensi.
“Kami akan mengutamakan langkah pencegahan supaya orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan, di samping mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan jenayah,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang 2026, polis telah mengendalikan 42 kes penipuan berkaitan haji dan umrah, dengan satu kes telah memasuki peringkat pendakwaan.
Jumlah kerugian dianggar mencecah 92.64 bilion rupiah ($6.8 juta).
Dalam musim haji 2025 pula, seramai 1,243 individu dihalang daripada berlepas kerana disyaki menggunakan saluran tidak sah.
Kementerian menggesa orang ramai supaya hanya mendaftar melalui saluran sah bagi mengelakkan kerugian kewangan dan masalah undang-undang.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang tidak mengikut prosedur rasmi,” kata Encik Dahnil.
Pasukan petugas itu tambah beliau, akan turut memperkukuh kerjasama antarabangsa termasuk dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta menyediakan talian khas bagi mengendalikan kes secara bersepadu.
Dalam masa yang sama, Encik Dahnil memaklumkan tempoh menunggu bagi program haji biasa kini sekitar 26 tahun, manakala program haji khas sekitar enam tahun.
Indonesia menerima kuota tahunan kira-kira 220,000 anggota jemaah daripada Arab Saudi, menjadikannya penerima kuota terbesar di dunia.
Namun, jumlah pendaftar telah mencecah sekitar 5.7 juta orang, menyebabkan tempoh menunggu terus panjang.
Menurut beliau, sistem pembiayaan sedia ada yang membolehkan pendaftaran awal dengan bayaran deposit turut menyumbang kepada panjangnya senarai menunggu.
Pemerintah kini meneliti kemungkinan memperkenalkan sistem lebih fleksibel bagi membolehkan sebahagian jemaah menunaikan haji tanpa menunggu terlalu lama, bergantung kepada kekosongan kuota.
“Sebagai contoh, jika kita diberi kuota 200,000, kita boleh tetapkan harga, dan mereka yang mampu membuat tempahan serta bayaran segera boleh berangkat tanpa menunggu,” katanya. – Agensi berita.

