Topik diikuti
Pergi ke BHkuImigresen Indonesia tahan 13 individu cuba tunai haji secara tidak sah
Imigresen Indonesia tahan 13 individu cuba tunai haji secara tidak sah
Mereka cuba tunaikan ibadah gunakan visa kerja
Imigresen Indonesia tahan 13 individu cuba tunai haji secara tidak sah
JAKARTA: Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menggagalkan cubaan 13 warga Indonesia mahu menunaikan ibadah haji melalui saluran tidak sah menggunakan visa kerja, sehari sebelum kumpulan pertama jemaah berlepas ke Tanah Suci.
Ketua Pejabat Imigresen Kelas I Khas lapangan terbang itu, Encik Galih P Kartika Perdhana berkata tindakan itu diambil selepas pemeriksaan intensif dijalankan di Terminal 3 pada 18 dan 19 April 2026.
“Selepas pemeriksaan lanjut, individu terbabit mengakui tujuan sebenar mereka adalah untuk menunaikan haji tanpa melalui prosedur rasmi,” katanya dalam kenyataan pada 21 April.
Menurut Encik Galih, lapan individu pertama dikesan cuba berlepas ke Jeddah menggunakan visa kerja. Siasatan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai dokumen sokongan sebagai pekerja.
Pada hari yang sama, empat lagi warga Indonesia turut dikesan menggunakan taktik serupa. Seorang lagi individu ditahan keesokan harinya selepas sistem imigresen mengesan beliau pernah cuba melakukan perkara sama sebelum ini.
“Kami tidak mahu rakyat Indonesia berangkat melalui saluran tidak sah dan berdepan masalah undang-undang di negara destinasi,” katanya.
Pihak berkuasa menyifatkan penggunaan visa kerja sebagai “jalan pintas” yang berisiko tinggi, bukan sahaja melanggar peraturan tetapi turut mendedahkan jemaah kepada ancaman keselamatan.
Imigresen kini bekerjasama dengan unit risikan dan penguatkuasaan untuk menyiasat rangkaian yang mungkin terlibat dalam pengaturan perjalanan tidak sah ini.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran pakej haji tidak rasmi yang menjanjikan proses mudah.
Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Mochamad Irfan Yusuf menegaskan bahawa visa haji adalah syarat wajib untuk menunaikan ibadah tersebut di Arab Saudi. “Jika mereka tidak menggunakan visa haji, walaupun berjaya sampai ke sana, mereka tidak akan dapat menunaikan haji,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan memasuki Arab Saudi tanpa visa haji bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menghalang jemaah daripada menyertai keseluruhan ibadah.
Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan senarai hukuman termasuk denda hingga 100,000 riyal Saudi ($33,935) terhadap individu yang melanggar peraturan berkaitan permit haji bagi musim haji 2026.
Menurut kenyataan kementerian itu yang dipetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA), denda sehingga 20,000 riyal akan dikenakan ke atas individu yang didapati menunaikan atau cuba menunaikan haji tanpa permit dan kepada pemegang visa lawatan yang cuba memasuki atau berada di Makkah dan kawasan tanah suci bermula 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah 1447H.
Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Encik Hendarsam Marantoko berkata pengawasan kini diperketat di semua lapangan terbang sebagai langkah pencegahan.
Beliau menambah bahawa sistem pemantauan imigresen yang bersepadu membolehkan kes seperti ini dikesan lebih awal.
Bagi memperkukuh kawalan, pihak imigresen turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah melalui penubuhan pasukan khas.
Selain itu, program Laluan Makkah terus diperkasakan bagi memudahkan proses pemeriksaan imigresen dilakukan di Indonesia sebelum jemaah berlepas. Kemudahan ini tersedia di beberapa lapangan terbang utama termasuk Soekarno-Hatta, Solo, Surabaya dan Makassar, sekali gus membolehkan jemaah tidak perlu menjalani pemeriksaan semula sebaik tiba di Arab Saudi.
Pemerintah menegaskan bahawa penggunaan visa bukan haji boleh membawa implikasi serius. Menurut Encik Hendarsam kes sebelum ini menunjukkan wujudnya ancaman keselamatan termasuk risiko kehilangan nyawa dalam perjalanan tidak sah.
Insiden pada 2025 menjadi bukti nyata risiko tersebut apabila seorang rakyat Indonesia berusia 42 tahun maut akibat dehidrasi di kawasan padang pasir Jumum, Arab Saudi. Mangsa, dikenali sebagai SM, ditinggalkan oleh pemandu teksi tidak berlesen ketika cuba memasuki Makkah tanpa visa haji sah bersama dua lagi individu.
Pemandu itu dilaporkan melarikan diri bagi mengelak pemeriksaan keselamatan, meninggalkan mereka terkandas di padang pasir. Mangsa ditemui melalui dron rondaan, namun gagal diselamatkan.
Pada musim haji 2025, kira-kira 1,000 individu ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana tidak memiliki visa haji sah, termasuk rakyat Indonesia.
Dalam tempoh sama, pihak imigresen Indonesia berjaya menghalang sekitar 1,250 rakyatnya daripada berlepas melalui saluran tidak sah.
Bagi musim haji tahun ini, Indonesia menerima kuota sebanyak 221,000 jemaah daripada Arab Saudi.
Jumlah itu merangkumi 203,320 jemaah haji biasa dan 17,680 jemaah haji khas yang akan berlepas dalam 525 kumpulan penerbangan dari seluruh negara. – Agensi berita.
