Topic followed successfully
Go to BHkuIndonesia berjimat, had bahan api, ubah budaya kerja tangani krisis tenaga
Indonesia berjimat, had bahan api, ubah budaya kerja tangani krisis tenaga
Laksana dasar kerja dari rumah, kurangkan perjalanan mulai 1 Apr
Indonesia berjimat, had bahan api, ubah budaya kerja tangani krisis tenaga
JAKARTA: Pemerintah Indonesia memperkenalkan langkah penjimatan berskala besar bagi menangani tekanan ekonomi akibat lonjakan harga minyak global, dengan tumpuan utama kepada kawalan penggunaan bahan api, perubahan budaya kerja, serta perlindungan terhadap golongan berpendapatan rendah.
Indonesia akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) satu hari setiap minggu bagi penjawat awam mulai 1 April, bertujuan meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kesan tekanan ekonomi global.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, berkata dasar itu mewajibkan penjawat awam di peringkat pusat dan wilayah bekerja dari rumah setiap Jumaat, sebagai sebahagian daripada lapan inisiatif transformasi budaya kerja nasional untuk menggalakkan amalan lebih cekap, produktif dan berteraskan digital.
Langkah itu dijangka menjimatkan sehingga 243.4 trilion rupiah ($18.52 bilion) dalam perbelanjaan negara.
Beliau berkata pengaturan itu dijangka menjana penjimatan langsung kira-kira 6.2 trilion rupiah dalam pampasan bahan api, selain mengurangkan perbelanjaan bahan api awam sehingga 59 trilion rupiah melalui pengurangan mobiliti.
Encik Airlangga, berkata dasar itu merupakan tindak balas langsung terhadap krisis tenaga global yang semakin meruncing.
“Pemerintah bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan, tetapi turut mengubah cara penggunaan tenaga di semua peringkat,” katanya.
Bagi sektor swasta, Encik Airlangga berkata pelaksanaan WFH akan dipandu melalui pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Kerja dengan mengambil kira keperluan khusus setiap industri sambil menggalakkan amalan penjimatan tenaga.
Beliau menambah, beberapa sektor akan dikecualikan dan terus beroperasi secara fizikal, termasuk perkhidmatan awam penting seperti kesihatan, keselamatan dan kebersihan, serta sektor strategik seperti tenaga, bekalan makanan, pengangkutan, logistik dan kewangan.
Selain dasar WFH, pemerintah akan mengurangkan penggunaan kenderaan rasmi sehingga 50 peratus dan mengehadkan perjalanan rasmi, dengan perjalanan domestik dikurangkan sehingga 50 peratus dan perjalanan ke luar negara sehingga 70 peratus, di samping menyusun semula keutamaan perbelanjaan.
Encik Airlangga berkata pemotongan bajet dibuat daripada perbelanjaan kurang keutamaan seperti perjalanan rasmi, mesyuarat, perbelanjaan bukan operasi dan kegiatan istiadat, dan disalurkan semula kepada perbelanjaan lebih produktif yang memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk pemulihan dan pembinaan semula pascabencana di Sumatera.
“Pemerintah akan terus mempercepat dan memperkemas perbelanjaan kementerian serta agensi melalui pengoptimuman bajet.
“Potensi penjimatan dan penyusanan semula bajet dianggarkan antara 121.2 trilion rupiah hingga 130.2 trilion rupiah,” katanya.
Encik Airlangga menegaskan sekolah akan terus melaksanakan pembelajaran bersemuka lima hari seminggu, manakala institusi pengajian tinggi akan mengamalkan pengaturan fleksibel bagi pelajar tahun akhir selaras dengan garis panduan kementerian.
Bagi meningkatkan kemandirian dan kecekapan tenaga, beliau berkata pemerintah akan melaksanakan dasar B50 mulai 1 Julai 2026, yang berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api fosil sebanyak 4 juta kiloliter serta menjimatkan anggaran 48 trilion rupiah dalam subsidi.
Beliau menambah, pembelian bahan api akan dikawal melalui sistem kod bar MyPertamina dengan had 50 liter bagi setiap kenderaan, kecuali pengangkutan awam.
Bagi petrol RON-90 (Pertalite), had maksimum ditetapkan sebanyak 50 liter sehari bagi setiap kenderaan persendirian.
Untuk diesel bersubsidi (Solar), had juga dikenakan kepada kenderaan persendirian, namun lebih tinggi bagi pengangkutan awam dan kenderaan berat.
“Had 50 liter ini adalah bagi setiap kereta persendirian. Ia tidak terpakai kepada lori dan pengangkutan awam yang memerlukan penggunaan lebih tinggi,’’ katanya.
Dalam masa yang sama, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Encik Bahlil Lahadalia, menegaskan setiap dasar yang diambil tetap berpaksikan kebajikan rakyat.
“Presiden sentiasa memberi perhatian kepada kepentingan rakyat, terutama golongan kurang bernasib baik. Ini menjadi asas dalam setiap keputusan dasar supaya semuanya dapat berjalan dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, di sebalik ketidaktentuan geopolitik global, pemerintah berusaha memastikan sektor tenaga negara kekal stabil dan berpihak kepada rakyat.
Langkah ini bertujuan mengawal penggunaan berlebihan serta mengelakkan aktiviti penimbunan bahan api bersubsidi.
Namun, pembelian melebihi had tersebut akan dikenakan harga tidak bersubsidi, sekali gus mengurangkan insentif untuk penyalahgunaan.
Menurut Encik Rizal Taufikurahman dari Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (INDEF), langkah ini penting dalam mengawal tekanan jangka pendek.
“Had harian dan sistem pemantauan boleh mengurangkan pembelian berulang.
“Tetapi isu sebenar masih terletak pada jurang harga antara bahan api bersubsidi dan tidak bersubsidi,” katanya.
Walaupun harga minyak global melonjak, pemerintah menegaskan harga bahan api bersubsidi akan kekal.
Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata keputusan itu dibuat bagi melindungi kuasa beli rakyat.
“Tiada pelarasan harga bahan api bersubsidi. Harga kekal seperti sedia ada,” katanya.
Encik Bahlil turut mengesahkan perkara sama. “Keputusan pemerintah adalah jelas, tiada kenaikan harga bahan api bersubsidi. Ia kekal pada harga semasa,” katanya.
Namun, bagi bahan api tidak bersubsidi, pemerintah masih dalam perbincangan dengan Pertamina dan pengendali stesen minyak swasta. “Untuk bahan api tidak bersubsidi, kita masih berbincang dengan pihak Pertamina dan stesen minyak swasta,” tambahnya.
Di tengah kebimbangan bekalan global, pemerintah memberi jaminan bahawa stok bahan api negara berada pada tahap selamat.
“Rizab bahan api minyak dan LPG (gas petroleum cecair) kita berada di atas standard minimum nasional,” kata Encik Bahlil.
Beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan program biodiesel B50, iaitu campuran 50 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dengan diesel, dijangka membantu meningkatkan bekalan domestik.
“Program B50 ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada import, malah boleh mewujudkan lebihan stok diesel dalam negara,” katanya. – Agensi berita.

