Topic followed successfully
Go to BHkuIndonesia beralih kerja dari rumah, persekolahan hibrid bagi jimat tenaga
Indonesia beralih kerja dari rumah, persekolahan hibrid bagi jimat tenaga
Dasar turut diperkenal bagi tentera ketika harga minyak sejagat naik
Indonesia beralih kerja dari rumah, persekolahan hibrid bagi jimat tenaga
JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang merangka strategi penjimatan tenaga secara besar-besaran yang berpotensi mengubah corak pembelajaran dan pekerjaan.
Ia termasuk cadangan pembelajaran hibrid di sekolah serta dasar bekerja dari rumah (WFH) untuk penjawat awam sekali seminggu bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Langkah itu diperkenalkan susulan arahan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto untuk meningkatkan kecekapan tenaga negara ketika harga minyak sejagat terus meningkat akibat ketidaktentuan geopolitik.
Ketua Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Pratikno berkata, pemerintah sedang mempertimbangkan gabungan pembelajaran dalam talian dan bersemuka bagi mengurangkan pergerakan harian pelajar.
“Penyesuaian kaedah pembelajaran dalam talian dan luar talian akan disesuaikan mengikut ciri setiap subjek,” katanya.
Beliau turut berkata kelas praktikal dan makmal tetap dijalankan secara fizikal bagi memastikan kualiti pendidikan terpelihara.
Menurut beliau, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha antara kementerian untuk mengurangkan penggunaan tenaga dalam sektor awam, khususnya dengan mengehadkan pergerakan dan kegiatan pengangkutan harian.
Namun, pemerintah turut meneliti cabaran utama termasuk akses Internet dan kesinambungan program makanan berkhasiat percuma untuk pelajar.
“Standard pendidikan tetap menjadi keutamaan,” tegas Encik Pratikno.
Dalam masa sama, pemerintah sedang meneroka kaedah pembiayaan alternatif bagi menyokong akses Internet sekiranya pembelajaran dalam talian diperluaskan.
Program makanan percuma juga mungkin perlu disesuaikan bergantung kepada kehadiran pelajar di sekolah.
Encik Pratikno berkata, reka bentuk dasar itu akan mengambil pengajaran daripada pengalaman sekatan pergerakan ketika pandemik Covid-19.
“Langkah kecekapan tenaga perlu disusun secara teliti berdasarkan data penggunaan dan tahap mobiliti sektor, supaya tidak memberi kesan negatif berlebihan kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah memperkenalkan dasar bekerja dari rumah sekali seminggu sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan penggunaan bahan api.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral Rico Ricardo Sirait, berkata dasar itu selaras dengan arahan Presiden Prabowo untuk memperkukuh kecekapan pengurusan sumber strategik.
“Langkah ini merangkumi penggunaan sumber secara lebih berkesan dan berasaskan keutamaan, termasuk dalam operasi sistem persenjataan dan mobiliti rasmi,” katanya di Jakarta.
Antara komponen utama dasar itu ialah pelarasan jadual kerja, termasuk pengurangan hari bekerja di pejabat daripada lima hari kepada empat hari bagi fungsi tertentu, dengan satu hari diperuntukkan untuk WFH.
Selain itu, penggunaan aset pertahanan akan diberi keutamaan mengikut keperluan operasi, manakala penggunaan kenderaan rasmi turut diperketat, termasuk perkhidmatan pengangkutan kakitangan.
BG Rico menegaskan langkah itu bukan tindak balas kecemasan, sebaliknya mencerminkan pengurusan sumber yang lebih berdisiplin, dengan rizab tenaga negara masih berada pada tahap selamat.
Langkah penjimatan itu turut selari dengan usaha pemerintah mengekalkan defisit belanjawan 2026 di bawah had undang-undang sebanyak 3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa berkata pemerintah kini memberi tumpuan kepada pengurangan perbelanjaan tidak penting.
“Mesyuarat atau dasar yang tidak perlu dan mempunyai kesan ekonomi yang minimum boleh ditangguhkan,” katanya.
Walaupun defisit diunjurkan sekitar 2.68 peratus daripada KDNK, pemerintah mengambil langkah berjaga-jaga susulan kemungkinan kenaikan harga minyak sejagat.
Secara berasingan, Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, berkata pelaksanaan WFH berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api domestik sehingga 20 peratus.
“Pengurangan perjalanan harian melalui WFH boleh memberi penjimatan besar dalam situasi tekanan sejagat ketika ini,” katanya.
Pemerintah dijangka memuktamadkan rangka dasar tersebut dalam masa terdekat sebelum dikemukakan kepada Presiden Prabowo untuk kelulusan. – Agensi berita.

