Topic followed successfully
Go to BHkuIndonesia timbang kerja dari rumah pada Rabu atau Jumaat untuk jimat bahan api
Indonesia timbang kerja dari rumah pada Rabu atau Jumaat untuk jimat bahan api
Indonesia timbang kerja dari rumah pada Rabu atau Jumaat untuk jimat bahan api
JAKARTA: Indonesia sedang menimbangkan hari bekerja dari rumah (WFH) mingguan wajib – sama ada Rabu atau Jumaat – untuk kakitangan pemerintah pusat bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Dasar ini merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk mengurangkan penggunaan tenaga, kata Menteri Kewangan Encik Purbaya Yudhi Sadewa.
Menurutnya, langkah itu boleh mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 20 peratus daripada paras biasa.
Encik Purbaya berkata hari Jumaat sedang dipertimbangkan sebagai hari WFH pilihan, dengan alasan waktu kerja yang lebih pendek disebabkan oleh rehat tengah hari yang dilanjutkan untuk solat Jumaat.
“Hari Jumaat mempunyai waktu kerja yang paling singkat, jadi potensi kehilangan produktiviti dianggap minimum,” katanya pada 25 Mac.
Rancangan tersebut dijangka diperkenalkan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri untuk kakitangan pemerintah pusat, dengan kemungkinan diluaskan kepada pekerja sektor swasta dan pemerintah wilayah.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Encik Tito Karnavian, berkata pemerintah wilayah sudah biasa dengan pengaturan yang serupa dan boleh melaksanakan dasar tersebut sambil mengekalkan perkhidmatan penting.
“Tiada masalah. Pentadbiran serantau mempunyai pengalaman, tetapi kami akan menyediakan panduan lanjut, terutamanya untuk pemimpin yang baru dipilih. Perkhidmatan penting seperti pengangkutan, perkhidmatan kecemasan, hospital dan sanitasi mesti diteruskan,” kata Encik Tito di Jakarta.
Beliau menambah bahawa keputusan muktamad mengenai hari WFH akan diumumkan selepas perbincangan lanjut dan kelulusan presiden.
Penggubal undang-undang telah membangkitkan kebimbangan mengenai pilihan hari Jumaat.
Encik Ahmad Irawan, anggota Suruhanjaya Dewan II, mencadangkan WHF pada hari Rabu akan membantu mengekalkan produktiviti dan mengehadkan cuti tambahan yang diambil sebelum atau selepas hari bekerja.
Pemerintah wilayah Jawa Timur telah memilih untuk melaksanakan WFH setiap Rabu bermula awal April 2026 – selaras dengan inisiatif penjimatan tenaga pemerintah pusat.
Di Surabaya, Gabenor Khofifah Indar Parawansa berkata: “Bermula minggu depan, WFH akan dilaksanakan pada setiap Rabu. Pekerja akan bekerja di lokasi pada Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat.”
Beliau menekankan bahawa WFH bukanlah kelonggaran peraturan kerja tetapi pengaturan fleksibel yang memerlukan disiplin dan produktiviti.
Menurutnya, hari Jumaat sering dilihat sebagai permulaan hujung minggu yang panjang dan berpotensi meningkatkan perjalanan dan penggunaan bahan api.
Secara purata, penjawat awam di Jawa Timur berulang-alik kira-kira 14 kilometer setiap hala.
Oleh itu, dasar WFH mingguan dijangka dapat meningkatkan kecekapan tenaga dengan ketara. – Agensi berita.

