SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Harga minyak jatuh turun AS$100 setong didorong rundingan gencatan senjata AS-Iran

Harga minyak jatuh turun AS$100 setong didorong rundingan gencatan senjata AS-Iran

Apr 8, 2026 | 5:03 PM

Harga minyak jatuh turun AS$100 setong didorong rundingan gencatan senjata AS-Iran

harga minyak mentah jatuh, Iran buka Selat Hormuz, konflik Timur Tengah, Dhaka
Penunggang motosikal menunggu di luar stesen minyak apabila ia ditutup pada waktu petang, di Dhaka, Bangladesh, pada 6 April 2026, susulan kebimbangan meningkat mengenai bekalan bahan api menyusuli konflik antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran. - Foto REUTERS

Harga minyak sejagat menjunam ke bawah paras AS$100 ($127) setong selepas Amerika Syarikat dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu.

Ia dijangka meredakan ketegangan serta membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Minyak mentah Brent, penanda aras sejagat, turun lebih 13 peratus kepada sekitar AS$94 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) merosot hampir 15 peratus kepada sekitar AS$96 setong.

Penurunan mendadak itu berlaku menyusuli jangkaan pembukaan semula Selat Hormuz akan memulihkan aliran bekalan tenaga sejagat selepas beberapa minggu gangguan akibat konflik di Timur Tengah.

Kesan positif turut dilihat di pasaran saham Asia, dengan indeks Nikkei Jepun melonjak lebih 5 peratus; Kospi Korea Selatan meningkat hampir 7 peratus; dan Hang Seng Hong Kong naik lebih 3 peratus.

Di Singapura, Indeks Straits Times turut mencatat kenaikan 0.8 peratus dan berakhir 4,996.05, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keadaan geopolitik yang lebih stabil.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata gencatan senjata itu tertakluk kepada persetujuan Iran untuk membuka Selat Hormuz, sekali gus membolehkan rundingan damai dimuktamadkan.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, mengesahkan laluan selamat bagi kapal akan dibenarkan selama dua minggu melalui penyelarasan dengan angkatan tenteranya.

Langkah itu dilihat sebagai titik perubahan penting selepas konflik yang menyebabkan laluan strategik itu hampir lumpuh, sekali gus menjejaskan pasaran tenaga sejagat.

Walaupun harga minyak menurun, penganalisis memberi amaran penurunan tersebut mungkin tidak berkekalan.

Penganalisis Commonwealth Bank of Australia, Encik Vivek Dhar, berkata pasaran masih menilai butiran perjanjian gencatan senjata itu.

“Harga minyak boleh turun lagi jika maklumat lanjut perjanjian itu diumumkan, namun, tahap penurunan bergantung kepada sejauh manakah Iran mengukuhkan kedudukannya,” katanya.

Penganalisis di wadah buat pelabur, eToro, Encik Josh Gilbert, pula menyifatkan penurunan harga itu sebagai reaksi segera pasaran terhadap berita positif.

“Pasaran sebelum ini kekurangan berita baik. Penurunan mendadak ini menunjukkan risiko geopolitik yang tinggi sebelum ini kini mula berkurang apabila terdapat laluan ke arah meredakan ketegangan,” katanya.

Walaupun keadaan semakin reda, gangguan terhadap bekalan masih memberi kesan kepada pasaran.

Gangguan di Selat Hormuz sebelum ini telah menyebabkan lebih sembilan juta tong minyak sehari terjejas, berdasarkan anggaran pemerintah Amerika.

Selain itu, konflik itu turut berpotensi menyebabkan kerosakan prasarana tenaga yang mengambil masa berbulan-bulan untuk dipulihkan.

Rakan Pengurusan, SPI Asset Management, Encik Stephen Innes, berkata penurunan harga minyak ketika ini lebih mencerminkan pengurangan risiko jangka pendek berbanding perubahan struktur sebenar pasaran.

“Apa yang kita lihat bukan perubahan struktur, tetapi pengurangan premium risiko geopolitik yang sebelum ini diambil kira,” katanya.

Beliau menambah bahawa harga minyak mungkin kekal di bawah AS$100 dalam jangka pendek, namun, risiko kenaikan semula masih tinggi jika ketegangan kembali memuncak.

Menurut Encik Innes, pembukaan berterusan Selat Hormuz kepada kapal komersial akan menjadi faktor utama dalam menentukan hala tuju harga minyak.

“Jika ketegangan benar-benar mereda, harga sekitar AS$90 setong adalah munasabah. Namun, semua ini bergantung kepada kesinambungan usaha diplomatik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberi amaran kegagalan rundingan atau gangguan semula laluan perkapalan boleh menyebabkan harga minyak melonjak kembali dengan cepat.

Penurunan harga minyak di bawah AS$100 memberikan kelegaan sementara kepada pasaran sejagat selepas tempoh ketidaktentuan yang panjang.

Namun, dengan gencatan senjata yang masih bersifat sementara dan banyak isu utama belum diselesaikan, kestabilan pasaran tenaga kekal bergantung kepada perkembangan rundingan antara Amerika dengan Iran dalam tempoh dua minggu akan datang. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg