Topik diikuti
Pergi ke BHkuHantavirus di kapal persiaran cetus trauma era Covid, pakar cuba bendung panik awam
Hantavirus di kapal persiaran cetus trauma era Covid, pakar cuba bendung panik awam
Hantavirus di kapal persiaran cetus trauma era Covid, pakar cuba bendung panik awam
LONDON: Penularan hantavirus jenis Andes di sebuah kapal persiaran mewah di Lautan Atlantik mencetuskan kebimbangan dalam talian dan menghidupkan kembali trauma era Covid-19, sekali gus meletakkan pihak kesihatan awam dalam dilema untuk menyampaikan maklumat tanpa mencetuskan panik.
Wabak itu melibatkan kapal persiaran MV Hondius, dengan tiga kematian direkodkan daripada 11 kes hantavirus setakat 14 Mei. Puluhan lagi penumpang kini dipantau selepas pulang ke kira-kira 20 negara.
Walaupun hantavirus bukan virus baharu dan dianggap berisiko rendah untuk mencetuskan pandemik global, gabungan faktor seperti kematian, kuarantin kapal persiaran dan penyebaran maklumat palsu di media sosial menyebabkan ramai mula membandingkannya dengan Covid-19.
Pegawai kesihatan di beberapa negara berkata mereka cuba mengambil pengajaran daripada pandemik Covid dengan menyampaikan maklumat secara lebih jelas, telus dan empati.
“Kami menghabiskan separuh masa kami membincangkan bagaimana cara untuk berkomunikasi,” kata Ketua Kecemasan di Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC), Gianfranco Spiteri.
Menurut beliau, pihak kesihatan perlu menjelaskan bahawa wabak itu serius dan perlu dipantau, tetapi pada masa sama menenangkan orang ramai bahawa risiko kepada masyarakat umum masih rendah.
“Ada pihak mengatakan kami bertindak keterlaluan, manakala ada juga yang mendakwa kami tidak melakukan secukupnya,” katanya. “Kami sentiasa menyampaikan mesej berdasarkan bukti yang kami ada.”
Hantavirus ialah virus bawaan tikus yang boleh menyebabkan masalah pernafasan serius. Strain Andes telah lama dikesan di beberapa kawasan di Argentina dan Chile.
Pegawai kesihatan berkata virus pada kapal persiaran itu tidak menunjukkan perubahan besar berbanding strain yang telah lama beredar di rantau tersebut.
Namun, suasana di media sosial menunjukkan ramai masih panik dan bimbang dunia akan kembali melalui tempoh sekatan pergerakan, penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka seperti ketika Covid-19.
Profesor di Sekolah Perubatan Icahn, Mount Sinai, Amerika Syarikat, Gustavo Palacios, berkata masyarakat kini mudah hilang perspektif apabila berdepan wabak penyakit. “Kita seakan sudah hilang perspektif,” katanya. “Sesuatu wabak boleh menjadi isu kesihatan awam yang besar dan memerlukan tindakan, tetapi itu tidak bermakna ia akan menjadi pandemik.”
Beliau turut memberi amaran mengenai penyebaran maklumat palsu di Internet, termasuk dakwaan kononnya hantavirus lebih berbahaya daripada Covid-19.
Terdapat juga dakwaan tidak berasas yang mempromosikan penggunaan ubat antiparasit ivermectin, vitamin D dan zink sebagai perlindungan, walaupun tiada bukti saintifik kukuh menyokong dakwaan itu.
Teori konspirasi turut mula tersebar, termasuk dakwaan bahawa hantavirus berpunca daripada vaksin Pfizer atau sekadar rekaan untuk menguntungkan syarikat farmaseutikal.
Pakar psikologi dan penyelidik maklumat palsu dari Universiti Cambridge, Sander van der Linden, berkata masyarakat memerlukan bantuan untuk memahami dan menilai maklumat yang diterima. “Kita perlu melakukan lebih banyak usaha persediaan untuk membina daya tahan masyarakat,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula bertindak pantas dengan mengadakan sidang media berkala, mengeluarkan amaran dan menjawab salah faham di media sosial sejak wabak itu diumumkan pada 3 Mei lalu.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, turut mengambil langkah luar biasa dengan menulis surat terbuka kepada penduduk Tenerife di Sepanyol, lokasi kapal MV Hondius berlabuh.
“Namun saya mahu anda dengar dengan jelas: ini bukan satu lagi Covid,” tulis beliau.
“Risiko kesihatan awam akibat hantavirus ketika ini masih rendah. Saya dan rakan-rakan telah menyatakannya dengan jelas, dan saya ulang sekali lagi.”
Bekas Ketua Komunikasi WHO, Gabby Stern, berkata komuniti kesihatan awam kini menunjukkan peningkatan dalam cara mereka mengurus komunikasi krisis.
“Saya memang melihat banyak penambahbaikan, khususnya dalam berkongsi apa yang diketahui sebaik sahaja maklumat diperoleh,” katanya. “Komuniti kesihatan awam nampaknya telah mengambil pengajaran penting, walaupun belum semuanya.”
Bagaimanapun, sesetengah pihak dilihat lambat bertindak. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika (CDC) hanya mengeluarkan maklumat pertama mengenai wabak itu pada 8 Mei, lima hari selepas berita penularan tersebar.
Pakar penyakit berjangkit Universiti Minnesota, Michael Osterholm, berkata cara komunikasi memainkan peranan penting dalam situasi seperti ini. “Salah satu perkara yang wabak ini ajarkan kepada kita ialah pengajaran yang sepatutnya kita pelajari sejak Covid: apa yang kita katakan amat penting,” katanya.
Ramai juga mengaitkan situasi kapal persiaran itu dengan insiden kapal Diamond Princess di Jepun pada awal pandemik Covid-19 pada 2020, apabila 14 orang maut dan hampir suku daripada 3,000 penumpang serta kru dijangkiti virus tersebut.
Profesor Perubatan di Universiti Texas Southwestern Medical Center, Krutika Kuppalli, berkata imej kapal persiaran yang dikuarantin membangkitkan semula memori lama masyarakat.
“Isu kapal persiaran ini adalah memori yang sangat kuat dari permulaan Covid,” katanya. “Ada reaksi emosi yang mula timbul dalam kalangan orang ramai.”
Penduduk Tenerife, Laura Millán, 40 tahun, berkata kehadiran Dr Tedros bersama pegawai Sepanyol di pulau itu membuatkan beliau kembali teringat suasana pandemik. “Ia memberi gambaran bahawa ini bukan sekadar selesema biasa. Jika tidak, semua pihak ini tidak akan datang,” katanya.
Namun, beliau berkata penglibatan WHO dan pihak berkuasa juga memberi keyakinan bahawa langkah kawalan yang betul sedang diambil. - Reuters
