Topik diikuti
Pergi ke BHkuHamas dilapor hampir capai persetujuan serah senjata di bawah pelan baru Gaza
Hamas dilapor hampir capai persetujuan serah senjata di bawah pelan baru Gaza
Hamas dilapor hampir capai persetujuan serah senjata di bawah pelan baru Gaza
KAHIRAH: Hamas dilaporkan semakin hampir mencapai persetujuan untuk menyerahkan senjatanya kepada pasukan keselamatan Palestin, yang bakal ditubuhkan di bawah pentadbiran baru Gaza selepas perang.
Ia sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata dengan Israel.
Akhbar milik Arab Saudi, Asharq Al-Awsat, pada 30 Julai melaporkan rundingan yang berlangsung di Kahirah antara Hamas dengan negara pengantara, iaitu Mesir, Qatar dan Turkey, menunjukkan perkembangan positif dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut laporan itu, perbincangan tertumpu kepada cadangan yang dikemukakan mantan Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Proses Keamanan Asia Barat, Encik Nikolay Mladenov, berhubung pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata.
Sumber yang dipetik akhbar itu berkata semua pihak kini hampir mencapai kata sepakat mengenai isu paling sensitif dalam rundingan, iaitu pengurusan senjata Hamas serta kumpulan bersenjata lain di Gaza.
Berbeza dengan cadangan sebelum ini, yang menuntut Hamas melucutkan senjata sepenuhnya, formula baru itu membenarkan senjata berkenaan dikekalkan, tetapi dipindahkan kepada pasukan keselamatan Palestin yang akan beroperasi di bawah Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah badan teknokrat yang dijangka mengambil alih pentadbiran Gaza selepas perang.
Menurut laporan itu, persetujuan rasmi dijangka dapat diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi sekiranya semua pihak menerima teks akhir perjanjian.
Selain pemindahan senjata, cadangan itu turut merangkumi kemasukan NCAG ke Gaza bagi mengambil alih pentadbiran awam serta penempatan pasukan keselamatan antarabangsa, untuk membantu menstabilkan keadaan di wilayah berkenaan.
Israel, Hamas dan negara pengantara telah berunding selama beberapa bulan bagi memuktamadkan fasa seterusnya gencatan senjata.
Laporan sebelum ini menyatakan Hamas menolak cadangan Encik Mladenov kerana mengandungi syarat yang dianggap sebagai pelucutan senjata secara langsung.
Bagaimanapun, perkembangan terbaru menunjukkan Hamas bersedia mempertimbangkan mekanisme baru yang membolehkan senjata itu kekal berada di bawah kawalan Palestin, tanpa diserahkan kepada Israel atau dimusnahkan.
Walaupun begitu, pelaksanaan perjanjian berkenaan masih berdepan pelbagai cabaran.
Selama ini, Hamas berulang kali menegaskan ia tidak akan melepaskan senjatanya selagi sebuah negara Palestin yang merdeka belum diwujudkan.
Pemimpin kumpulan itu juga secara tekal menyifatkan senjata mereka sebagai aset utama bagi mempertahankan rakyat Palestin daripada serangan Israel.
Terdahulu, Hamas mengesahkan delegasinya telah berlepas ke Kahirah pada 28 Julai bagi menyambung rundingan berhubung pelaksanaan fasa berikutnya gencatan senjata.
Dalam kenyataan menerusi Telegram, Hamas memaklumkan delegasi itu mengadakan pertemuan dengan wakil Mesir, Qatar dan Turkey, selain pegawai pemerintah Mesir serta beberapa kumpulan Palestin lain.
Rundingan tersebut diadakan susulan pertemuan pegawai kanan tentera Israel dan Mesir di Kahirah awal bulan Julai, bagi membincangkan perkembangan pelan pembinaan semula Gaza yang disokong Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Menurut laporan penyiar awam Israel, KAN News, pertemuan itu merupakan sebahagian daripada dialog strategik yang memberi tumpuan kepada kepentingan keselamatan bersama di rantau berkenaan.
Laporan itu turut menyatakan Mesir mengambil pendirian lebih tegas terhadap Hamas berbanding Qatar dan Turkey.
Kahirah dilaporkan bersedia menerima dan menyimpan senjata Hamas, sekiranya kumpulan itu bersetuju menyerahkannya sebagai sebahagian daripada penyelesaian politik.
Pada masa sama, pegawai pertahanan Israel dilaporkan lebih selesa berurusan dengan Mesir kerana menganggap negara itu memainkan peranan lebih pragmatik dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik di Gaza.
Sumber KAN News turut menyifatkan hubungan antara pegawai tentera Israel dengan Mesir berada dalam keadaan baik walaupun kedua-dua negara mempunyai perbezaan pandangan mengenai beberapa isu berkaitan Gaza.
Sekiranya persetujuan mengenai pemindahan senjata dapat dimeterai, ia akan menjadi perubahan paling besar dalam pendirian Hamas sejak konflik di Gaza bermula, serta membuka laluan kepada pembentukan pentadbiran baru yang disokong masyarakat antarabangsa.
Perkembangan itu juga berpotensi mempercepat usaha pembinaan semula Gaza, penempatan pasukan keselamatan antarabangsa dan pemulihan pentadbiran awam, sekali gus menjadi asas kepada proses damai yang lebih menyeluruh di wilayah Palestin. – Agensi berita.