KAHIRAH/GAZA: Hamas memulakan rundingan baharu di Kaherah pada 28 Julai bagi mempercepat pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza dengan mengemukakan beberapa cadangan kompromi, termasuk mengenai masa depan senjata kumpulan itu dan kedudukan kakitangan awam yang berkhidmat di wilayah berkenaan.

Delegasi Hamas dijadual mengadakan pertemuan dengan pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkey, selain mengadakan rundingan berasingan dengan pegawai Mesir serta wakil pelbagai puak Palestin bagi membincangkan hala tuju pentadbiran Gaza selepas perang.

Menurut kenyataan Hamas, perbincangan akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan gencatan senjata, memastikan semua syarat perjanjian dipatuhi serta membuka laluan kepada pelaksanaan fasa kedua yang tertangguh sejak beberapa bulan lalu.

Rundingan itu berlangsung ketika Israel terus didakwa melanggar syarat gencatan senjata menerusi serangan berterusan, sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dan kelewatan melaksanakan beberapa komitmen yang dipersetujui.

Dua sumber Hamas dan dua wakil puak Palestin yang terbabit dalam rundingan berkata, Hamas telah menyediakan cadangan baharu bagi dua perkara paling sensitif dalam rundingan, iaitu isu senjata kumpulan Palestin dan status ribuan kakitangan awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran Hamas di Gaza.

Bagi isu kakitangan awam, Hamas mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa perundangan yang akan menentukan masa depan mereka mengikut undang-undang Palestin sambil menjamin hak pekerjaan serta kebajikan mereka.

Sementara itu, bagi isu senjata, Hamas dilaporkan bersetuju memasukkan istilah “infrastruktur” dalam draf baharu, sesuatu yang sebelum ini ditolak oleh pergerakan itu.

Menurut sumber kepada agensi Asharq Al-Awsat, Hamas penggunaan istilah “infrastruktur” itu bakal membuka ruang kepada pemantauan penuh terhadap senjata oleh pengantara, Lembaga Keamanan serta Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), yang akan memainkan peranan utama dalam proses berkenaan.

Skop dan tafsiran istilah tersebut akan dirundingkan bersama pengantara di Kaherah.

Sumber Hamas berkata, delegasi perunding diberi mandat penuh untuk menerima sebarang persetujuan yang dicapai bersama pengantara berhubung kedua-dua perkara itu.

Bagaimanapun, Hamas menegaskan pelaksanaan fasa kedua hanya boleh diteruskan selepas semua syarat dalam fasa pertama dipenuhi sepenuhnya.

Seorang lagi sumber daripada puak Palestin berkata, terdapat perkembangan positif dalam rundingan kali ini dengan Hamas dijangka menunjukkan sikap lebih terbuka terhadap cadangan yang dikemukakan pengantara berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, kepimpinan Hamas turut memberi taklimat kepada puak-puak Palestin mengenai hasil perbincangan yang diadakan di Istanbul, Turkey, khususnya berkaitan isu senjata.

Menurut sumber itu, pemerintah Turkey memberi tekanan kepada pemimpin Hamas ketika mereka menghadiri pemilihan dalaman pergerakan itu di Istanbul supaya mempercepat pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada 10 Oktober 2025.

Turkey juga menekankan kepentingan memperbaiki kehidupan rakyat Palestin, mempercepat usaha pembinaan semula Gaza serta memenuhi keperluan kemanusiaan yang semakin mendesak ketika operasi ketenteraan Israel terus diperluaskan.

Namun begitu, seorang pegawai kanan Hamas mengingatkan supaya semua pihak tidak terlalu optimistik.

Beliau berkata, walaupun terdapat kesepakatan dalam Hamas untuk membuat konsesi yang diperlukan bagi memastikan rundingan berjaya, Israel masih boleh menolak cadangan berkenaan atas faktor politik domestik, termasuk pilihan raya yang bakal diadakan.

“Semua pihak, termasuk pengantara, memahami bahawa Israel mungkin menolak sebarang cadangan yang dipersetujui kerana pertimbangan politik dalaman,” katanya.

Perkembangan itu berlaku selepas Israel pada dasarnya bersetuju membenarkan Lembaga Keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) memasuki Gaza, bermula di Rafah.

Rafah dijangka menjadi lokasi projek perintis penempatan sementara bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal, sebagai sebahagian daripada pelan pembinaan semula Gaza.

Pelan itu adalah sebahagian daripada kerangka perjanjian yang dirangka bersama pengantara, yang menghubungkan penyerahan senjata Hamas secara berperingkat dengan pelaksanaan penuh perjanjian damai.

Bagaimanapun, sehingga kini Hamas belum memberikan sokongan atau bantahan secara terbuka terhadap keputusan Israel membenarkan kemasukan Lembaga Keamanan dan ISF ke Gaza.

Sumber Hamas berkata, pengantara meminta pergerakan itu mengekalkan pendirian berdiam diri buat sementara waktu bagi mengelakkan kenyataan awam menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Proses Damai Asia Barat, Encik Ramiz Alakbarov, memberi amaran bahawa proses pemulihan Gaza masih terlalu perlahan walaupun keadaan kemanusiaan menunjukkan sedikit peningkatan.

Beliau memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa penduduk Gaza masih berdepan perpindahan berterusan, kemusnahan meluas, kesesakan penempatan sementara dan korban hampir setiap hari akibat operasi ketenteraan Israel.

“Gaza masih hanya boleh menggunakan kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan wilayahnya, manakala operasi ketenteraan dan serangan udara terus berlaku. Keadaan ini menjadikan Gaza masih berbahaya untuk operasi bantuan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata ketegangan yang semakin memuncak di Tebing Barat yang diduduki boleh membawa kepada konflik yang lebih besar di seluruh wilayah Palestin yang diduduki sekiranya keadaan tidak segera dikawal.

Encik Alakbarov turut menggesa Israel mengambil langkah berkesan bagi mengekang keganasan peneroka haram Yahudi terhadap komuniti Palestin serta memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. - Agensi berita