Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael lulus kemasukan pasukan antarabangsa ke Gaza
Israel lulus kemasukan pasukan antarabangsa ke Gaza
Rafah dipilih sebagai lokasi pertama penempatan pasukan penstabil dan pentadbiran Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza
Israel lulus kemasukan pasukan antarabangsa ke Gaza
TEL AVIV: Pemerintah Israel meluluskan kemasukan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) ke Gaza sebagai sebahagian daripada pelan damai 20 perkara yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan projek perintis untuk memulihkan perkhidmatan asas di wilayah itu.
Keputusan yang dipersetujui Kabinet Keselamatan Israel pada 26 Julai itu menandakan kali pertama Israel secara rasmi memberikan kebenaran kepada Lembaga Keamanan untuk memulakan operasi di Gaza, dengan bandar Rafah di selatan wilayah berkenaan dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaannya.
Langkah itu dibuat sehari sebelum Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berlepas ke Washington untuk mengadakan pertemuan dengan Encik Trump yang dijadualkan berlangsung pada 27 Julai.
Seorang pegawai Israel berkata, rangka kerja undang-undang yang diluluskan Kabinet Keselamatan membolehkan ISF memasuki kawasan Gaza yang tidak berada di bawah kawalan Israel bagi menyokong usaha pemulihan pascaperang.
Pasukan ISF pada peringkat awal akan dianggotai kira-kira 200 anggota daripada beberapa negara sahabat, termasuk Maghribi dan Uganda, dengan setiap kontinjen memerlukan kelulusan berasingan daripada Israel sebelum dibenarkan memasuki Gaza.
“Pelaksanaan akan dimulakan di Rafah sebagai projek perintis sebelum diperluaskan ke kawasan lain sekiranya berjaya,” katanya.
Kelulusan itu turut membolehkan Lembaga Keamanan memulakan program memulihkan bekalan air, elektrik, bantuan kemanusiaan, pembinaan penempatan sementara serta pembukaan semula institusi awam di kawasan yang tidak lagi dikuasai Hamas.
Di bawah pelan itu, kawasan perintis akan ditadbir oleh Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah pentadbiran teknokrat Palestin yang disokong masyarakat antarabangsa dan beroperasi dengan perlindungan ISF.
Utusan Lembaga Keamanan ke Gaza, Encik Nikolay Mladenov, menyifatkan keputusan Kabinet Israel itu sebagai perkembangan penting ke arah menstabilkan Gaza.
“Saya mengalu-alukan langkah Israel yang membolehkan penempatan ISF di Gaza selaras dengan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ia adalah komponen penting dalam rangka kerja yang dipersetujui bagi menstabilkan Gaza, menyokong proses nyahmilitarisasi serta membolehkan peralihan kepada pentadbiran Palestin yang berkesan di bawah NCAG,” katanya menerusi platform X.
Beliau berkata, tumpuan kini ialah memastikan pelaksanaan pelan damai 20 perkara dan pelan hala tuju yang dirangka oleh negara pengantara dapat diteruskan.
Pelan damai Trump menggariskan beberapa langkah utama termasuk peningkatan besar bantuan kemanusiaan, pentadbiran awam oleh teknokrat Palestin, pelucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel secara berperingkat dan penubuhan Lembaga Keamanan sebagai badan penyelaras utama.
Bagaimanapun, pelaksanaan pelan itu tertangguh sejak beberapa bulan lalu berikutan Hamas enggan melucutkan senjata, manakala NCAG masih belum dibenarkan memasuki Gaza untuk mengambil alih pentadbiran.
Menurut sumber di Gaza, NCAG yang kini berpangkalan di Mesir dijangka mengurus kehidupan harian penduduk, penyelarasan bantuan kemanusiaan, pemulihan prasarana serta pentadbiran institusi awam sebaik sahaja memasuki wilayah itu.
Pemerintah Hamas sebelum ini menyatakan kesediaan memberi laluan kepada pentadbiran teknokrat berkenaan, namun proses itu masih belum menunjukkan sebarang kemajuan.
Pelan perintis itu juga merangkumi pembinaan penempatan sementara untuk penduduk yang kehilangan kediaman akibat peperangan.
Bagaimanapun, setiap individu yang ingin menetap di kawasan Rafah akan melalui proses saringan keselamatan yang ketat bagi memastikan mereka tidak mempunyai hubungan dengan Hamas.
NCAG diketuai bekas pegawai Penguasa Palestin, Encik Ali Shaath, dan dianggotai 16 tokoh profesional dalam bidang pentadbiran, kesihatan, kehakiman, ekonomi, keselamatan, kejuruteraan serta pembangunan masyarakat.
Antara anggotanya ialah Presiden Universiti Palestin di Gaza, Encik Jaber al-Daour; Pengarah Persatuan Bantuan Perubatan Gaza, Encik Aed Yaghi; Pengarah Dewan Perniagaan Gaza, Encik Aed Abu Ramadan; serta peguam Cik Hanaa Tarazi yang juga wanita Kristian pertama menjadi peguam di Gaza.
Walaupun mendapat sokongan majoriti anggota Kabinet Keselamatan Israel, Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben-Gvir, menjadi satu-satunya menteri yang mengundi menolak pelan berkenaan.
“Hamas tidak memenuhi kewajipannya untuk melucutkan senjata dan menjalankan proses nyahmilitarisasi. Oleh itu, kita juga tidak terikat untuk melaksanakan pelan ini.
“Saya menentang pelan 20 perkara ini sejak awal lagi. Penyelesaian di Gaza ialah menggalakkan penghijrahan penduduk,” katanya.
Sebaliknya, Menteri Luar Israel, Encik Gideon Sa’ar, mempertahankan keputusan itu dengan menyatakan Israel tidak sepatutnya menjadi pihak yang menggagalkan inisiatif antarabangsa tersebut.
“Ini ialah pelan antarabangsa. Mungkin kita tidak akan berjaya, tetapi kita tidak sepatutnya menjadi pihak yang memusnahkannya,” katanya.
Menteri di Kementerian Kewangan Israel, Encik Ze’ev Elkin, yang juga anggota Kabinet Keselamatan, berkata Israel sebelum ini telah memutuskan untuk membawa masuk pasukan antarabangsa ke Gaza sekiranya syarat yang dipersetujui dipenuhi.
Sementara itu, Forum Otef Israel yang mewakili penduduk komuniti berhampiran sempadan Gaza mengkritik keputusan Kabinet dengan mendakwa pelaksanaan pelan itu terlalu awal.
Kumpulan itu memberi amaran bahawa usaha membina semula Gaza sebelum Hamas dilumpuhkan sepenuhnya berisiko mengukuhkan semula kedudukan kumpulan berkenaan.
“Pemulihan Gaza secara berperingkat sebelum Hamas dibubarkan hanya akan meningkatkan ancaman keselamatan kepada penduduk di kawasan sempadan Gaza,” menurut kenyataan forum itu.
Perang yang bermula susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 telah memusnahkan sebahagian besar Gaza.
Ketika ini, Israel dianggarkan menguasai kira-kira 64 peratus wilayah Gaza, manakala hampir dua juta penduduk Palestin tertumpu di kawasan pesisir pantai yang sempit, kebanyakannya tinggal di khemah sementara atau bangunan yang rosak.
Israel turut memberi amaran akan meluaskan kawalan sehingga 70 peratus wilayah Gaza sekiranya Hamas terus menolak pelucutan senjata, manakala serangan tentera Israel ke atas wilayah itu masih diteruskan hampir setiap hari. - Agensi berita