JAKARTA: Tragedi pertembungan kereta api di Bekasi Timur bukan sekadar membuka semula persoalan keselamatan sistem rel di kawasan Jabodetabek (Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi) atau turut disebut sebagai Greater Jakarta.

Ia juga menonjolkan satu hakikat yang lebih menyayat hati.

Semua korban yang maut dalam tragedi itu ialah wanita, dan nahas berlaku pada gerabak khas perempuan yang asalnya diwujudkan untuk memberi perlindungan daripada gangguan seksual dalam tren sesak.

Antara mangsa ialah Cik Harum Anjarsari, 30 tahun, ibu dua anak berusia tiga dan sembilan tahun.

Ketika suaminya akhirnya berjaya menghubungi telefon bimbitnya, suara Cik Harum tidak kedengaran.

Sebaliknya, panggilan itu dijawab petugas penyelamat yang menemukan telefon tersebut di celah runtuhan gerabak yang remuk.

Hanya sehari kemudian, Cik Harum disahkan antara 16 mangsa yang terkorban dalam gerabak perempuan itu.

“Beliau jelas tulang belakang ekonomi keluarga,” kata adiknya, Cik Aldyansah, 25 tahun, yang menyifatkan Cik Harum sebagai ibu yang bekerja keras sebagai jurujual kosmetik di sebuah pusat beli-belah mewah di Jakarta.

“Beliau banyak membantu keluarga dan memang seorang yang sangat rajin,” katanya kepada agensi berita, Reuters, ketika suami Cik Harum terlalu sedih untuk bercakap.

Kisah Cik Harum mewakili ribuan wanita lain yang setiap hari menaiki Kereta Rel Listrik (KRL) untuk bekerja, mencari rezeki dan pulang kepada keluarga.

Laluan komuter yang menghubungkan Jakarta dengan bandar satelit seperti Bekasi, merupakan antara sistem pengangkutan awam paling sibuk di Indonesia, dengan purata lebih 1.1 juta penumpang sehari.

Bagi ramai wanita, KRL bukan pilihan selesa, tetapi pilihan yang perlu.

Ia murah, pantas dan lebih andal berbanding terperangkap dalam kesesakan jalan raya Jakarta yang terkenal melelahkan.

Cik Nur Aisyah, 31 tahun, yang bekerja di bangunan pejabat di Jakarta Pusat dan berulang-alik ke Bekasi setiap hari, berkata keadaan dalam tren pada waktu puncak kadangkala begitu sesak sehingga terasa menyesakkan nafas.

“Tetapi mengapa saya masih menaikinya?” katanya, sebelum menjawab sendiri: “Saya terpaksa, kerana saya perlu mencari rezeki.”

Kenyataan itu menggambarkan dilema besar pekerja wanita di bandar besar.

Mereka memerlukan pengangkutan awam yang murah dan selamat, tetapi pada masa sama terdedah kepada risiko kesesakan, gangguan seksual dan kini, persoalan kedudukan gerabak yang mungkin lebih berbahaya ketika kemalangan berlaku.

Gerabak khas perempuan dalam KRL lazimnya ditempatkan di bahagian paling depan dan paling belakang rangkaian tren.

Dari sudut perkhidmatan, kedudukan itu bertujuan memudahkan akses keluar masuk dan mengelakkan penumpukan penumpang.

Dari sudut sosial pula, gerabak khas itu memberi rasa lebih selamat kepada penumpang wanita, terutama dalam keadaan sesak.

Namun, tragedi Bekasi Timur menimbulkan persoalan baharu.

Adakah keselamatan fizikal gerabak turut diambil kira secukupnya?

Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Anak (PPPA), Cik Arifah Fauzi, meminta kedudukan gerabak khas perempuan dinilai semula.

Beliau mencadangkan agar gerabak perempuan pada masa depan ditempatkan di bahagian tengah rangkaian tren.

“Kami mengusulkan agar ke depan gerabak perempuan ditempatkan di bahagian tengah rangkaian kereta, sementara gerabak laki-laki berada di bahagian depan dan belakang,” kata Cik Arifah, di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Chasbullah Abdul Madjid, Bekasi, pada 28 April.

Cadangan itu mencetuskan perbincangan awam.

Sebahagian netizen menilai pemindahan gerabak bukan penyelesaian utama, kerana isu pokok ialah keselamatan lintasan, sistem amaran, pengurusan trafik rel dan keupayaan mencegah nahas.

Namun, persoalan kedudukan gerabak tetap wajar dibincangkan kerana dalam beberapa jenis kemalangan, gerabak paling depan atau paling belakang boleh menerima hentaman paling kuat.

Dalam nahas Bekasi Timur, tragedi itu berlaku apabila gerabak perempuan menjadi bahagian yang paling teruk terjejas.

Sebab itulah saranan menempatkan gerabak perempuan di bahagian tengah perlu dilihat bukan sebagai penyelesaian tunggal, tetapi sebagai sebahagian daripada penilaian keselamatan menyeluruh.

Pengalaman penumpang wanita menunjukkan kebimbangan itu nyata.

Cik Dian Afridianti, 34 tahun, penduduk Bekasi yang bekerja dalam sektor pembersihan di Jakarta, berkata kejadian itu masih menghantui fikirannya.

“Sehingga sekarang, ia masih bermain dalam fikiran saya,” katanya. “Saya terfikir, bagaimana jika saya berada di situ?”

Beliau berkata gerabak perempuan pada waktu pagi juga sering terlalu padat.

“Orang saling berhimpit sehingga pintu tidak boleh ditutup. Kita benar-benar perlu menolak untuk masuk,” katanya.

Penganalisis pengangkutan, Cik Hafida Fahmiasari, berkata lebih ramai wanita bergantung kepada pengangkutan awam kerana ia lebih mampu dibayar.

Dalam banyak keluarga, katanya, lelaki lebih kerap menguasai aset pengangkutan seperti motosikal atau kereta.

Beliau berpandangan tragedi itu akan memberi kesan psikologi kepada penumpang wanita, walaupun mungkin untuk jangka pendek.

“Ini akan menjejas wanita tetapi hanya dalam jangka pendek,” katanya. “Hidup mesti diteruskan.” – Agensi berita.