Topik diikuti
Pergi ke BHkuDoktor dari Manila jual 6,000 sabun di TikTok demi tunai impian ibu ke Makkah
Doktor dari Manila jual 6,000 sabun di TikTok demi tunai impian ibu ke Makkah
Doktor dari Manila jual 6,000 sabun di TikTok demi tunai impian ibu ke Makkah
MANILA: Seorang doktor muda di Filipina sanggup bersiaran langsung di TikTok selama empat jam setiap malam selama enam bulan demi mengumpul wang untuk menghantar ibunya menunaikan haji di Makkah.
Dr Fatima Al-Zahra Ditti, yang lebih dikenali di media sosial sebagai ‘Doc Kulot’, berjaya menjual lebih 6,000 sabun menerusi TikTok Live dan memperoleh komisen sekitar 57 peso ($1.18) bagi setiap unit yang dijual.
Usaha itu akhirnya membolehkan beliau mengumpul sekitar 350,000 peso ($7,261) bagi membiayai sepenuhnya kos perjalanan haji ibunya, Cik Mimbung, 61 tahun, yang berlepas ke Arab Saudi pada 4 Mei lalu.
Bagi Dr Fatima, perjalanan itu bukan sekadar memenuhi impian seorang ibu, tetapi janji yang pernah dibuat kepada keluarganya selepas kematian bapanya pada 2017.
“Saya pernah berjanji akan menghantar ibu menunaikan haji, cuma saya tidak tahu bagaimana caranya ketika itu,” katanya lapor Arab News.
Sebagai doktor generasi pertama dalam keluarga dan anak sulung lima beradik, Dr Fatima berkata beliau memikul tanggungjawab besar untuk menyara keluarga selepas bapanya meninggal dunia.
Beliau membantu membiayai persekolahan adik-adiknya sambil melunaskan hutang pengajian dan mengurus kehidupan harian dengan hanya satu sumber pendapatan.
“Orang selalu fikir apabila anda seorang doktor, anda pasti sudah kaya. Tetapi dalam kes kami, kami benar-benar bermula dari bawah,” katanya.
Menurut Dr Fatima, pada 2025, beliau berada dalam keadaan tertekan kerana dibebani hutang dan tidak tahu bagaimana mahu mengumpulkan wang bagi membolehkan ibunya menunaikan haji.
Dalam satu sesi siaran langsung TikTok, beliau berkongsi kebimbangannya sambil menangis di hadapan pengikutnya.
“Saya berkata, saya sangat mahu tunaikan impian ibu saya, tetapi kosnya terlalu mahal. Namun, saya akan cari jalan,” katanya.
Ketika itulah seorang pengikut mencadangkan beliau mencuba ciri jualan langsung di TikTok.
Dr Fatima memandang serius cetusan idea itu.
Sejak akhir Mei 2025, setiap malam selepas tamat syif sebagai pakar perubatan keluarga, beliau akan bersiaran langsung dari 8 malam hingga tengah malam untuk menjual sabun bernilai 380 peso seunit.
Setiap unit yang dijual memberinya komisen sebanyak 57 peso.
“TikTok Live memerlukan kita berada dalam talian sekitar empat jam.
“Saya lakukannya setiap malam selepas pulang bekerja kerana saya nampak potensinya apabila semakin ramai mula mengikuti siaran saya,” katanya.
Usahanya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya mencapai sasaran 350,000 peso pada November 2025.
Fatima berkata sokongan awal banyak datang daripada kalangan pengikutnya di TikTok yang dikenali sebagai ‘Kulotism’.
Beliau mula aktif di TikTok sejak 2021 dengan berkongsi kehidupan sebagai doktor pelatih sebelum mula membuka cerita tentang latar belakang keluarganya.
“Saya mula berkongsi perjalanan hidup sebagai doktor generasi pertama dan pencari nafkah keluarga. Dari situ ramai mula berasa dekat dengan saya,” katanya.
Beliau berasal dari Simunul di wilayah Tawi-Tawi, sebuah kawasan kecil di selatan Filipina.
Dr Fatima berkata beliau berjaya melanjutkan pelajaran menerusi biasiswa sejak sekolah rendah hingga ke sekolah perubatan.
Ramai pengikut, terutama golongan ibu, katanya, dapat memahami perjuangan hidupnya kerana mereka juga mengimpikan masa depan lebih baik untuk anak-anak.
“Sebagai sebuah keluarga, kami benar-benar berusaha keras untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan,” katanya.
Selepas berjaya mengumpulkan wang bagi membolehkan ibunya menunaikan haji, Dr Fatima terus melakukan siaran langsung bagi mendapatkan wang tambahan sebagai perbelanjaan ibunya di Tanah Suci.
“Saya berjanji kepada diri sendiri bahawa saya akan menjaga ibu saya, dan itulah yang sedang saya lakukan,” katanya.
“Jauh di sudut hati, saya hanya mahu memberikan kehidupan yang selesa kepada ibu saya.”
Pada 4 Mei lalu, ibunya akhirnya berlepas ke Arab Saudi bersama ratusan ribu umat Islam lain untuk menunaikan haji.
Menurut Dr Fatima, ibunya tidak pernah menyangka jualan sabun di TikTok akhirnya membuka jalan untuk beliau menjejakkan kaki ke Makkah.
“Bagi setiap Muslim, menunaikan haji adalah satu impian besar,” katanya.
“Ibu sangat gembira kerana beliau tidak pernah membayangkan menjual sabun akhirnya membawanya ke haji.”
Dr Fatima berkata pengalaman itu mengubah pandangannya tentang kuasa sokongan masyarakat dan media sosial.
“Saya sedar apabila niat kita ikhlas dan baik, orang benar-benar akan membantu sepanjang perjalanan kita,” katanya. – Agensi berita.
