Selepas menunggu lebih sedekad, Encik Akhyar Rido bersama ibunya dan adik perempuannya dijadualkan berangkat menunaikan ibadah haji pada awal Mei ini, dengan rasa teruja kerana akhirnya berpeluang melalui pengalaman sekali seumur hidup itu.

Bagi beliau, ibadah haji merupakan masa untuk bermuhasabah diri dan memperbanyakkan doa di tempat suci seperti Masjid Nabawi dan Masjid Al-Haram, yang diyakini umat Islam sebagai lokasi doa lebih mudah dimakbulkan.

“Kemuncak musim haji akan menjadi paling mencabar, namun juga paling bermakna. Bagi saya, ini adalah tentang menjadi versi terbaik diri sendiri dan memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah,” kata pensyarah sastera Inggeris berusia 43 tahun itu kepada Berita Harian.

Encik Rido bersama ibunya yang berusia 69 tahun dan adiknya yang berusia 40 tahun telah menunggu selama 13 tahun sejak mendaftar dalam program haji biasa pada 2014.

Ketika itu, mereka dimaklumkan tempoh menunggu kurang daripada 10 tahun, namun pandemik Covid-19 menyebabkan tempoh tersebut menjadi lebih panjang.

Mereka menerima pengesahan pada Disember lalu bahawa giliran mereka telah tiba, sesuatu yang mengejutkan kerana kedudukan mereka berada di bahagian bawah senarai menunggu bagi musim haji 2026.

“Saya melihat semakin ramai orang mendaftar, menyebabkan tempoh menunggu terus memanjang. Selain itu, perubahan sistem kuota turut menyebabkan ada kawasan yang mendapat giliran lebih cepat walaupun mendaftar pada tahun yang sama,” katanya.

Beliau menambah bahawa mereka terkejut kerana semasa membuat semakan pada November, mereka dijangka hanya mendapat giliran pada 2027.

“Apabila dimaklumkan bahawa giliran kami telah tiba, kami benar-benar terkejut. Malah adik saya sempat bertanya sama ada kami patut teruskan atau tidak, namun akhirnya kami memutuskan untuk meneruskannya,” katanya.

Selepas pengesahan, mereka menjalani pemeriksaan kesihatan dan membayar baki kos haji pada Januari.

Bagi Encik Rido dan keluarganya, mereka perlu membayar baki sebanyak 30.9 juta rupiah ($2,284) setiap seorang.

Secara keseluruhan, kos haji bagi setiap jemaah dalam program biasa bagi 2026 dianggarkan sekitar 56 juta rupiah bagi jemaah dari wilayah Bandar Lampung, dengan jumlah sebenar berbeza mengikut wilayah pendaftaran.

Rakyat Indonesia yang mendaftar haji perlu membayar deposit sebanyak 25 juta rupiah untuk dimasukkan dalam senarai menunggu, manakala baki bayaran dibuat selepas mereka disahkan terpilih.

Ketiga-tiga mereka adalah sebahagian daripada 221,000 anggota jemaah Indonesia yang akan berangkat pada 2026 dalam 525 kumpulan penerbangan.

Kumpulan pertama telah berlepas pada 22 April dari pelbagai lokasi di Indonesia dan proses itu akan berterusan sehingga kumpulan terakhir berlepas pada 21 Mei.

Musim haji 2026 juga merupakan yang pertama diuruskan oleh Kementerian Haji dan Umrah yang baharu ditubuhkan pada 26 Ogos 2025, hasil penyusunan semula daripada Direktorat Jeneral Haji dan Umrah di bawah Kementerian Agama.

Menteri Haji dan Umrah, Encik Mochamad Irfan Yusuf, telah menyempurnakan pelepasan kumpulan pertama seramai 391 jemaah dari Jakarta Timur di pusat berlepas Pondok Gede sebelum mereka dibawa ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

Kumpulan tersebut bersama dua kumpulan lain dari Medan dan Yogyakarta menjadi antara kumpulan pertama yang tiba di Madinah pada 22 April, dengan menggunakan perkhidmatan Laluan Makkah yang mempercepatkan proses ketibaan jemaah.

Perkhidmatan Laluan Makkah merupakan kerjasama antara pihak imigresen Indonesia dengan Arab Saudi yang membolehkan semua proses imigresen diselesaikan di lapangan terbang di Indonesia.

Ini membolehkan jemaah terus ke bas sebaik tiba di Arab Saudi tanpa perlu beratur panjang.

Duta Indonesia ke Arab Saudi, Encik Abdul Aziz Ahmad, berkata skim tersebut memudahkan kemasukan jemaah ke negara itu.

“Kami amat bersyukur dengan skim ini dan menghargai kerajaan Arab Saudi kerana membolehkan proses imigresen berjalan lancar melalui laluan pantas ini,” katanya.

Pada masa sama, keluarga di tanah air turut membuat persiapan dengan mendapatkan buah tangan untuk diberikan kepada saudara-mara.

Permintaan terhadap barangan haji juga dilaporkan meningkat, dengan kedai di Jakarta Selatan menerima lebih banyak tempahan, termasuk melalui platform dalam talian.

“Kami menerima peningkatan tempahan barangan haji dan cenderamata seperti kurma, kismis, badam, pistasio, tasbih serta air zamzam dalam botol kecil,” kata seorang pekerja kedai, Cik Larasati.

Bagi Encik Rido dan keluarganya, persiapan kesihatan menjadi keutamaan memandangkan suhu dijangka mencecah sekitar 37 darjah Celsius.

“Cuaca akan sangat panas. Kami dinasihatkan minum banyak air dan membawa payung. Tetapi saya sangat teruja selepas menunggu lama, terutama untuk melalui ibadah ini bersama ibu dan adik saya,” katanya.