Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekasi susun semula lintasan kereta api tidak rasmi selepas nahas maut
Bekasi susun semula lintasan kereta api tidak rasmi selepas nahas maut
Langkah bagi tingkat keselamatan pengangkutan dan lindungi penduduk yang guna laluan berhampiran rel setiap hari
Bekasi susun semula lintasan kereta api tidak rasmi selepas nahas maut
BEKASI: Pemerintah Kota Bekasi, Jawa Barat, mula menyusun semula kawasan lintasan kereta api, dengan tumpuan pada laluan tidak rasmi yang dianggap berisiko tinggi, susulan nahas maut di Bekasi Timur yang mengorbankan 16 orang.
Wali Kota Bekasi, Encik Tri Adhianto Tjahyono, berkata langkah itu sebahagian daripada usaha berterusan pemerintah daerah untuk meningkatkan keselamatan pengangkutan dan melindungi penduduk yang menggunakan laluan berhampiran rel setiap hari.
“Ini sebahagian daripada usaha yang terus kita lakukan untuk memastikan keselamatan warga semakin terjaga.
“Lintasan sebidang, terutama yang tidak rasmi, memang memerlukan penanganan secara bertahap dan terukur,” kata Encik Tri di Bekasi pada 29 April.
Encik Tri bersama pegawai pemerintah daerah meninjau lintasan kereta api Bulak Kapal, bagi melihat sendiri keadaan lintasan tidak rasmi yang dinilai berisiko tinggi berlaku kemalangan, khususnya di pintu rel Ampera dan kawasan sekitar makam pahlawan.
Hasil tinjauan itu, Pemerintah Kota Bekasi memutuskan untuk menambah bilangan petugas daripada Jabatan Perhubungan Kota Bekasi bagi mengatur lalu lintas dan meningkatkan pengawasan di titik berisiko.
Langkah itu dianggap penting kerana beberapa lintasan masih digunakan orang ramai walaupun belum mempunyai palang rasmi atau sistem keselamatan yang mencukupi.
Pemerintah Kota Bekasi turut menyiapkan sistem amaran awal berasaskan bunyi.
Encik Tri berkata Jabatan Perhubungan sudah diarah merancang sistem mudah dalam bentuk amaran bersepadu.
“Saya sudah perintahkan untuk membuat sistem peringatan bersuara. Jadi bukan palang pintu manual, tetapi akan ada isyarat bunyi dari jarak sekitar 500 meter sebelum kereta melintas hingga ke titik perlintasan. Ini akan terhubung ke toa yang memberikan alarm peringatan kepada masyarakat,” jelasnya.
Menurut Encik Tri, sistem itu akan menjadi penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan risiko kemalangan sementara menunggu prasarana kekal disiapkan.
Pemerintah Kota Bekasi juga merancang pemasangan sensor automatik yang boleh mengesan kedatangan kereta api.
Sistem berkenaan dijangka berfungsi seperti amaran awal banjir yang sudah digunakan di Jatiasih dan Kali Lengkak, dengan memberi pemberitahuan awal kepada penduduk sekitar sebelum bahaya berlaku.
Encik Tri turut menegaskan bahawa pengurusan lintasan akan dilakukan secara tegas oleh pemerintah daerah.
Beliau menolak tanggapan pengurusan pintu rel selama ini dikuasai pihak tertentu di luar kawalan pemerintah.
“Kita pastikan ini dikelola pemerintah. Tidak ada cerita pemerintah takut atau kalah dengan pihak mana pun. Ini demi keselamatan warga,” katanya.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Perhubungan segera memasang pembatas di titik lintasan yang belum mempunyai palang rasmi.
Pemasangan itu akan menjadi langkah sementara sehingga pembinaan Flyover Bulak Kapal dapat direalisasikan.
Di Jakarta, Timbalan Gabenor Encik Rano Karno turut menggesa pemantauan lebih ketat di lintasan kereta api selepas tragedi tersebut.
Beliau berkata pengawasan di lapangan penting bagi mencegah kemalangan sama, terutama kerana beberapa lintasan di ibu kota masih belum ditutup sepenuhnya.
“Di Jakarta, masih ada beberapa lintasan kereta api yang belum ditutup sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya kini sudah ada petugas yang berjaga,” kata Encik Rano di Cengkareng, Jakarta Barat.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan pembaikan dibuat secara menyeluruh.
“Ini sesuatu yang perlu terus kita nilai,” katanya.
Penemuan awal menunjukkan nahas bermula di lintasan tanpa jejambat kawasan Bulak Kapal.
Menurut jurucakap keretapi nasional Indonesia KAI Jakarta, Encik Franoto Wibowo, sebuah teksi melanggar kereta api komuter atau KRL menuju Jakarta, menyebabkan tren itu berhenti di landasan.
Sebuah lagi tren menuju Cikampek turut berhenti bersebelahan.
Tidak lama kemudian, kereta api antara bandar Argo Bromo Anggrek merempuh dari belakang tren komuter arah Cikampek.
Nahas itu mencetuskan perhatian nasional selepas jumlah korban meningkat kepada 16 orang.
Pegawai hospital berkata 22 mangsa cedera masih dirawat di Hospital Chasbullah Abdulmadjid, termasuk tiga di unit rawatan rapi.
Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi, berkata pemerintah wilayah akan menanggung semua kos rawatan mangsa.
Pentadbirannya juga memperuntukkan dana rangsangan 20 bilion rupiah ($1.45 juta), bagi menambah baik kemudahan hospital yang merawat mangsa. – Agensi berita.
