WASHINGTON/TEHERAN: Tentera Amerika Syarikat sekali lagi melancarkan serangan udara ke atas sasaran di selatan Iran dalam tempoh tiga hari, ketika ketegangan di Selat Hormuz terus memuncak dan usaha diplomatik untuk menamatkan konflik Asia Barat kembali menemui jalan buntu.

Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali berkata pada 27 Mei bahawa serangan terkini itu dilakukan atas alasan ‘pertahanan diri’ selepas Iran didakwa melancarkan dron serangan sehala ke arah kawasan strategik berhampiran Selat Hormuz.

Menurut pegawai itu, tentera Amerika berjaya menembak jatuh empat dron Iran yang dikatakan mengancam pasukan tentera Amerika serta trafik perdagangan maritim yang masih melalui laluan perairan penting itu.

“Dron berkenaan mengancam pasukan kami di rantau ini dan kapal perdagangan yang masih menggunakan Selat Hormuz,” katanya.

Beliau berkata tentera Amerika kemudian melancarkan serangan udara ke atas sebuah pusat kawalan dron di Bandar Abbas sebelum Iran sempat melancarkan dron kelima.

Serangan terkini itu berlaku hanya dua hari selepas tentera Amerika menyerang tapak peluru berpandu dan bot Iran yang didakwa cuba meletakkan periuk api di Selat Hormuz.

Jurucakap Pentadbiran Pusat Amerika (Centcom), Kapten Tim Hawkins, berkata tindakan ketenteraan itu dibuat selepas perisikan Amerika mengesan beberapa kegiatan tentera Iran yang dianggap mengancam dalam tempoh 24 jam sebelum serangan dilakukan.

“Amerika melaksanakan serangan pertahanan diri terhadap sasaran di selatan Iran bagi melindungi anggota tentera kami daripada ancaman pasukan Iran,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut pegawai Amerika, pesawat perang Amerika turut menenggelamkan dua bot laju milik Pasukan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) yang didakwa cuba menempatkan periuk api di Selat Hormuz.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik dunia yang sebelum perang mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak harian sejagat.

Namun, sejak konflik tercetus, Iran didakwa melaksanakan sekatan de facto terhadap laluan itu.

Pegawai tentera Amerika berkata Iran turut menerbangkan dron berhampiran pesawat perang dan hampir dua dozen kapal perang Amerika yang kini dikerahkan di sekitar Teluk Oman dan Laut Arab bagi menguatkuasakan sekatan maritim terhadap kapal yang keluar masuk pelabuhan Iran.

Selain itu, penganalisis tentera Amerika turut mengesan peningkatan kegiatan di beberapa sistem peluru berpandu permukaan ke udara Iran berhampiran Selat Hormuz yang dikatakan mampu mengancam operasi pesawat tempur Amerika.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai Amerika turut percaya IRGC mungkin sedang menguji sejauh manakah ruang operasi baru yang boleh mereka manfaatkan susulan rundingan gencatan senjata yang masih rapuh.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebelum ini menyatakan satu perjanjian berpotensi dicapai bagi menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz, namun, perkembangan terkini menunjukkan rundingan itu kembali tergendala.

Ketegangan semakin memuncak selepas Encik Trump dilihat mengeluarkan ancaman keras terhadap Oman ketika ditanya mengenai kemungkinan negara Teluk itu bekerjasama dengan Iran dalam isu pembukaan semula Selat Hormuz.

“Tidak, selat itu akan dibuka kepada semua pihak.

“Ia adalah perairan antarabangsa dan Oman akan berkelakuan seperti negara lain, atau kami akan meletupkan mereka,” kata Encik Trump, ketika mesyuarat Kabinet di Rumah Putih.

Kenyataan itu mencetuskan kekeliruan kerana Oman selama ini dianggap sekutu penting Amerika di Asia Barat dan memainkan peranan sebagai pengantara dalam konflik serantau.

Rumah Putih bagaimanapun tidak segera menjelaskan sama ada Encik Trump tersalah menyebut Oman dan sebenarnya merujuk kepada Iran.

Malah, Jabatan Negara Amerika kemudian memuat naik semula rakaman dan transkrip kenyataan Encik Trump tanpa sebarang pembetulan atau penjelasan lanjut.

Oman sebelum ini memainkan peranan penting dalam usaha diplomatik antara Washington dengan Teheran, selain menjadi tuan rumah beberapa rundingan tidak rasmi antara kedua-dua pihak.

Negara itu juga pernah menjadi sasaran serangan berkaitan konflik Iran-Amerika sebelum ini.

Encik Trump sebelum ini turut menimbulkan kekeliruan lain apabila beliau dilihat tersilap menyebut Venezuela ketika membincangkan Iran.

Beliau berkata Venezuela “tidak lagi mempunyai tentera laut dan tentera udara”, sedangkan ungkapan sedemikian sebelum ini sering digunakan Encik Trump terhadap Iran selepas serangan Amerika dan Israel pada 28 Februari lalu.

Dalam masa sama, Iran memberi bayangan mahu mewujudkan ‘realiti baru’ di Selat Hormuz dengan mengenakan bayaran terhadap kapal yang melalui laluan itu dan berkongsi hasil pendapatan bersama Oman.

Cadangan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pasaran tenaga sejagat memandangkan Selat Hormuz merupakan nadi utama perdagangan minyak dunia.

Encik Trump dilaporkan semakin kecewa kerana rundingan untuk menamatkan perang Asia Barat dan membuka semula Selat Hormuz kembali menemui jalan buntu hanya beberapa hari selepas beliau mendakwa perjanjian damai hampir dicapai.

Keadaan itu sekali lagi meningkatkan kebimbangan dunia terhadap kemungkinan konflik lebih besar tercetus di rantau Asia Barat ketika pasaran minyak dan perdagangan sejagat masih bergantung kepada kestabilan Selat Hormuz. – Agensi berita.