TEHERAN: Tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap tapak peluru berpandu di selatan Iran serta bot yang didakwa cuba memasang periuk api di perairan Teluk pada 25 Mei.

Ia berlaku ketika pegawai kanan Iran tiba di Doha untuk rundingan penting bagi menamatkan perang yang telah menggoncang ekonomi dunia.

Komand Pusat Amerika (Centcom) berkata serangan itu dilakukan sebagai tindakan mempertahankan diri bagi melindungi tentera Amerika daripada ancaman pasukan Iran.

“Pasukan Amerika menjalankan serangan mempertahankan diri di selatan Iran hari ini (25 Mei) untuk melindungi anggota kami daripada ancaman yang ditimbulkan oleh pasukan Iran,” kata jurucakap Centcom, Encik Tim Hawkins, dalam satu kenyataan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi tepat serangan atau jumlah sasaran yang terlibat.

Menurut Centcom, sasaran itu termasuk tapak pelancaran peluru berpandu dan bot yang cuba “meletakkan periuk api” di laluan strategik perkapalan.

Serangan terkini itu menimbulkan kebimbangan terhadap gencatan senjata rapuh yang bermula pada 8 April lalu ketika Washington dan Teheran masih bergelut mencari formula menamatkan konflik yang mengganggu aliran tenaga sejagat serta menjejas pasaran minyak dunia.

Keadaan menjadi kian rumit selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berikrar untuk “menghancurkan” kumpulan Hezbollah di Lebanon.

Iran sebelum ini menegaskan sebarang perjanjian damai mesti turut melibatkan konflik di Lebanon dan bukan hanya tertumpu kepada program nuklearnya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata beliau mahu uranium diperkaya milik Iran diserahkan kepada Washington untuk dimusnahkan atau dihancurkan di Iran sendiri dengan pemantauan antarabangsa.

“Uranium diperkaya itu sama ada perlu diserahkan segera kepada Amerika untuk dibawa pulang dan dimusnahkan, atau dimusnahkan di lokasi sedia ada dengan pemantauan pihak berkuasa antarabangsa,” katanya dalam hantaran di Truth Social.

Namun, Encik Trump tidak menjelaskan sama ada syarat itu telah dipersetujui dalam rundingan semasa dengan Iran.

Sebelum ini, Encik Trump turut mencetuskan kontroversi apabila menggesa beberapa negara majoriti Islam menyertai Perjanjian Abraham sebagai sebahagian daripada perjanjian damai dengan Iran.

Beliau berkata Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Pakistan, Mesir, Turkey, Bahrain dan Jordan seharusnya memulihkan hubungan dengan Israel.

Perjanjian Abraham diperkenalkan pada 2020 bagi membuka hubungan diplomatik antara Israel dengan beberapa negara Arab.

Namun, cadangan itu terus mendapat tentangan kuat di Asia Barat kerana ramai melihat ia gagal menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

Arab Saudi dan Qatar secara tekal menegaskan mereka tidak akan mengiktiraf Israel tanpa penubuhan negara Palestin yang merdeka.

Penganalisis dari Institut Negara-Negara Teluk Arab di Washington, Cik Anna Jacobs, berkata tuntutan terkini Encik Trump hanya menambah tekanan ke atas negara Teluk yang kini berdepan risiko keselamatan semakin serius akibat perang tersebut.

“Keselamatan negara-negara Teluk kini lebih terancam berbanding sebelum ini akibat keputusan terburu-buru Presiden Trump,” katanya.

“Namun dalam masa sama, beliau menjangkakan negara-negara Arab akan menghargai peranan Amerika dan bersedia menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, sedangkan perkara itu masih sukar diterima banyak negara di rantau ini ketika ini.”

Menurut Cik Jacobs, pendekatan Washington menunjukkan pentadbiran Amerika masih belum memahami sensitiviti politik serta sentimen rakyat di Asia Barat, khususnya berkaitan isu Palestin dan hubungan dengan Israel.

Kenyataan keras Encik Trump muncul ketika Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, memberi bayangan bahawa satu perjanjian mungkin boleh dicapai dalam tempoh terdekat.

“Kami fikir mungkin ada perkembangan malam tadi atau hari ini,” katanya kepada wartawan ketika lawatan ke India.

Kenyataan Encik Rubio sebelum itu menyebabkan harga minyak dunia jatuh susulan harapan baharu bahawa konflik itu mungkin dapat ditamatkan.

Namun, jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, menafikan dakwaan bahawa perjanjian akhir hampir dimeterai.

“Memang benar banyak isu utama sudah mencapai kesimpulan,” katanya dalam sidang media mingguan.

“Tetapi untuk mengatakan perjanjian akan ditandatangani dalam masa terdekat, tiada siapa boleh membuat dakwaan sedemikian,” tambah beliau.

Iran juga menegaskan isu pengayaan uranium masih belum dibincangkan secara terperinci dan hanya akan disentuh selepas persetujuan awal dicapai. – Agensi berita.