TEHERAN: Iran dilaporkan berbincang dengan Oman untuk mewujudkan sistem bayaran bagi kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan paling penting di dunia bagi minyak dan gas asli.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kestabilan ekonomi sejagat selepas konflik antara Iran dengan gabungan Amerika Syarikat dan Israel sejak Februari lalu mengganggu perdagangan antarabangsa serta melonjakkan harga tenaga dunia.

Menurut beberapa pegawai Iran yang mengetahui rundingan itu, Teheran dan Muscat sedang meneliti cadangan mengenakan bayaran tertentu ke atas kapal yang menggunakan laluan strategik berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua negara menegaskan sistem itu bukan “tol perjalanan”, sebaliknya caj bagi perkhidmatan tertentu yang disediakan kepada kapal.

Washington bagaimanapun menolak keras cadangan itu.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata Selat Hormuz ialah laluan perairan antarabangsa yang tidak sepatutnya dikenakan sebarang bayaran.

“Kami mahu ia kekal bebas. Kami tidak mahu tol dikenakan. Ia laluan antarabangsa,” katanya ketika bercakap di Pejabat Oval pada 21 Mei.

Setiausaha Negara, Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, turut menolak usulan itu.

“Ia tidak boleh berlaku. Ia tidak boleh diterima. Jika Iran terus mengejar idea ini, ia akan menyukarkan sebarang penyelesaian diplomatik,” katanya.

Selat Hormuz merupakan laluan sempit yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab dan Teluk Oman.

Kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli dunia melalui kawasan itu setiap hari.

Selepas diserang tentera Amerika dan Israel pada akhir Februari lalu, Iran hampir melumpuhkan sepenuhnya trafik komersial di laluan itu.

Tindakan tersebut menyebabkan kapal dagang tertangguh, kos penghantaran melonjak dan harga minyak dunia meningkat mendadak.

Keadaan itu membuktikan pengaruh besar Iran terhadap ekonomi sejagat walaupun negara itu terus berdepan sekatan dan tekanan Barat.

Kini, Teheran dilihat mahu mengekalkan pengaruh tersebut melalui pendekatan ekonomi dan pentadbiran maritim.

Pada 20 Mei lalu, pihak berkuasa baharu Iran yang dikenali sebagai Penguasa Selat Teluk Parsi memaklumkan bahawa kawasan penyeliaan pengurusan Selat Hormuz telah ditetapkan dan semua kapal perlu mendapatkan permit bagi melalui kawasan tersebut.

Media milik pemerintah Iran, Press TV, pula melaporkan negara itu telah membentuk mekanisme baharu untuk mengawal trafik maritim melalui laluan tertentu serta mengenakan bayaran bagi “perkhidmatan khusus”.

Dua sumber yang mengetahui rundingan tersebut berkata Iran sebenarnya tidak bercadang mengenakan tol perjalanan secara langsung.

Sebaliknya, kapal mungkin dikenakan caj bagi perkhidmatan seperti pengurusan trafik, keselamatan maritim atau urusan alam sekitar.

Pada peringkat awal, Oman dilaporkan menolak cadangan kerjasama bersama Iran.

Namun menurut dua pegawai Iran, Muscat kini mula mempertimbangkan perkongsian itu selepas melihat potensi pendapatan yang boleh dijana.

Malah Oman dikatakan bersedia menggunakan pengaruhnya dengan negara Teluk lain seperti Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menyokong pelaksanaan sistem tersebut.

Langkah Oman itu menarik perhatian kerana negara berkenaan selama ini dikenali sebagai sekutu rapat Amerika dan sering memainkan peranan sebagai pengantara diplomatik di Asia Barat.

Pemerhati melihat penglibatan Oman menunjukkan negara Teluk mula mengambil pendekatan lebih pragmatik selepas perang terbaru di rantau itu memberi kesan besar terhadap ekonomi dan perdagangan mereka.

Isu paling besar dalam cadangan Iran itu ialah persoalan undang-undang antarabangsa.

Di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos) 1982, kapal mempunyai hak untuk melalui selat antarabangsa tanpa gangguan selagi mematuhi peraturan keselamatan dan kawalan pencemaran.

Walaupun Iran bukan negara penandatangan konvensyen itu, ramai pakar berkata prinsip tersebut kini dianggap sebahagian daripada undang-undang antarabangsa yang diterima secara universal.

Profesor undang-undang maritim dari Kolej Perang Tentera Laut Amerika James Kraska berkata hak laluan bebas di selat antarabangsa telah diterima hampir semua negara selama beberapa dekad.

“Iran sendiri telah mematuhinya selama bertahun-tahun,” katanya.

Beliau menjelaskan bayaran tertentu masih dibenarkan jika ia benar-benar berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikan kepada kapal.

Namun menurutnya, cabaran terbesar Iran ialah membuktikan bahawa caj yang dikenakan itu munasabah dan benar-benar berkaitan dengan perkhidmatan sebenar.

“Mereka cuba menyesuaikan cadangan ini dengan kerangka undang-undang sedia ada,” katanya.

Namun, beliau memberi amaran jika bayaran itu sekadar “tol dengan nama lain”, masyarakat antarabangsa mungkin melihatnya sebagai cubaan memeras pengguna laluan perdagangan sejagat.

Beliau malah menyamakan keadaan itu seperti “wang perlindungan mafia” jika kapal dipaksa membayar untuk menggunakan laluan yang selama ini bebas.

Perkembangan terbaru ini turut menunjukkan hubungan antara Washington dengan Tehran masih tegang walaupun kedua-dua pihak mencapai gencatan senjata rapuh sebelum ini.

Walaupun Encik Trump berulang kali mendakwa perang hampir tamat dan rundingan damai sedang berjalan, tindakan Iran meneruskan rancangan di Selat Hormuz menunjukkan Teheran masih mahu menggunakan laluan itu sebagai alat tekanan strategik.

Penganalisis berkata Iran kini melihat Selat Hormuz bukan sekadar laluan perdagangan, sebaliknya aset geopolitik yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengaruh politik dan ekonomi negara itu.

Dalam masa sama, Amerika pula dilihat tidak mahu membenarkan Iran membentuk sistem baharu yang boleh memberi Teheran kuasa lebih besar terhadap perdagangan tenaga dunia.

Dengan kedua-dua pihak masih enggan bertolak ansur, ketegangan di Selat Hormuz dijangka terus menjadi antara titik paling sensitif dalam politik sejagat ketika dunia masih bergelut dengan kesan ekonomi perang di Asia Barat. – Agensi berita.