Topic followed successfully
Go to BHkuAS buat persiapan operasi darat di Iran; Houthi serang Israel, sertai perang
AS buat persiapan operasi darat di Iran; Houthi serang Israel, sertai perang
Kapal perang USS Tripoli tiba di Timur Tengah, bawa 3,500 kelasi, marin, pesawat pejuang
AS buat persiapan operasi darat di Iran; Houthi serang Israel, sertai perang
KAHIRAH: Menggunakan peluru berpandu dan dron, kumpulan Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran telah melancarkan serangan kedua ke atas Israel, kurang 24 jam selepas serangan pertama pada 28 Mac.
Israel, pada 29 Mac pula berkata ia telah menyerang pusat komand dan tempat pembikinan dan simpanan senjata di Teheran.
Pada masa yang sama, kapal perang Amerika Syarikat, USS Tripoli telah tiba di Timur Tengah menurut kenyataan tentera Amerika. Kapal itu difahami membawa 3,500 kelasi, marin dan pesawat pejuang.
Akhbar Washington Post melaporkan Pentagon sedang membuat persiapan mengadakan operasi darat di Iran yang dijangka berlarutan beberapa minggu.
Namun, laporan itu juga menyatakan adalah belum pasti sama ada Presiden Amerika, Encik Donald Trump, akan meluluskan pelan pengerahan tentera darat itu.
Memberi respons melalui pesanan yang diedarkan agensi berita Iran, Irna pada 29 Mac, Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf berkata angkatan tentera Iran sedang menantikan ketibaan askar Amerika yang akan dihujani peluru.
Felo penyelidik di Chatham House, Encik Farea Al-Muslimi, berkata penyertaan Houthi dalam konflik tersebut “menandakan peningkatan yang serius dan amat membimbangkan”.
Serangan Houthi ke atas Israel menunjukkan potensi ancaman baru terhadap perkapalan global, yang telah terjejas akibat penutupan Selat Hormuz, yang sebelum ini merupakan saluran untuk kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair global.
Pihak Houthi telah menunjukkan keupayaan menyerang sasaran jauh di luar Yaman dan mengganggu laluan perkapalan di sekitar Semenanjung Arab dan Laut Merah, seperti yang mereka lakukan untuk menyokong Hamas dalam perang Gaza.
Penglibatan Houthi berisiko “melebarkan perang yang sedia tidak menentu, dengan implikasi yang ketara”, terutama untuk kestabilan serantau dan perdagangan global, kata Encik Farea kepada AFP.
Jurucakap Houthi, Encik Yahya Saree, dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, berkata kumpulan itu berikrar untuk meneruskan operasi ketenteraan dalam beberapa hari akan datang.
Sementara itu, Encik Trump terus mengugut untuk menyerang stesen jana kuasa Iran dan infrastruktur tenaga lain jika Iran tidak membuka Selat Hormuz.
Tetapi beliau telah melanjutkan tarikh akhir untuk Iran berbuat demikian kepada 6 April.
Ancaman Iran untuk menyerang kapal-kapal di selat itu telah menghalang kebanyakan kapal tangki minyak daripada cuba memasuki laluan air.
Iran bersetuju untuk membenarkan tambahan 20 kapal berbendera Pakistan melalui selat itu, dengan dua kapal dibenarkan secara transit setiap hari, kata Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar.
Perang terkini di Timur Tengah itu tercetus pada 28 Februari, apabila Amerika dan Israel menyerang Iran, mengundang tindak balas negara itu ke atas negara-negara lain di Timur Tengah.
Terkini, Arab Saudi, Kuwait dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) masing-masing melaporkan ia telah mematahkan beberapa serangan dron dan peluru berpandu pada 28 Mac.
Dalam pada itu, Israel terus membedil Lebanon, serangan yang dilakukannya untuk menentang kumpulan Hezbollah, yang disokong Iran.
Tiga wartawan Lebanon terbunuh dalam serangan ke atas kenderaan media baru-baru ini, lapor Al Manar TV. Seorang pekerja penyelamat yang dikerah ke tempat kejadian juga maut akibat serangan susulan.
Israel mendakwa salah seorang wartawan itu bekerja dalam unit perisikan Hezbollah dan telah melaporkan lokasi tentera Israel.
Di Iraq, sistem pertahanan udara berjaya menembak sebuah dron berhampiran kediaman pemimpin parti pemerintah Kurdish Iraq, Encik Masoud Barzani, di Erbil, lapor Reuters pada awal 29 Mac. Ia berlaku sehari selepas serangan dron yang menyasarkan rumah presiden wilayah Kurdistan Iraq.
Pada 29 Mac, Pakistan menganjurkan rundingan di Islamabad yang bertujuan membincangkan cara-cara meredakan ketegangan di Timur Tengah.
Menteri Luar Pakistan, Arab Saudi, Mesir dan Turkey difahami menyertai rundingan tersebut.
Sekurang-kurangnya 1,900 orang telah terbunuh dan 20,000 yang lain cedera di Iran sejak 28 Februari, lapor Persatuan Bulan Sabit Merah Iran pada 27 Mac.
Serangan Israel ke atas Lubnan telah membunuh 1,142 orang dan mencederakan 3,315 yang lain sejak 2 Mac. Ini termasuk sekurang-kurangnya 122 kanak-kanak dan 42 petugas kesihatan, kata Kementerian Kesihatan Lubnan pada 27 Mac.
Di Israel pula, sekurang-kurangnya 19 orang awam telah terbunuh sejak peningkatan terbaru itu, kata tentera Israel pada hari yang sama.

