RAMALLAH: Anak Presiden Palestin Encik Mahmoud Abbas, dilantik ke badan kepimpinan tertinggi parti Fatah ketika gerakan itu berdepan tekanan politik dan krisis keyakinan rakyat di tengah-tengah perang berterusan di Gaza.

Encik Yasser Abbas, 64 tahun, memperoleh kerusi dalam Jawatankuasa Pusat Fatah, badan pentadbiran tertinggi parti itu, menerusi Kongres Agung Kelapan Fatah yang berlangsung 14-17 Mei di Ramallah, Tebing Barat.

Kongres itu merupakan persidangan pertama Fatah dalam tempoh hampir sedekad.

Keputusan itu sekali gus mencetuskan spekulasi Encik Mahmoud mungkin sedang membuka laluan kepada anaknya untuk memainkan peranan lebih besar dalam era pasca kepimpinannya.

Encik Mahmoud, 90 tahun, turut dikekalkan sebagai ketua Fatah dalam pemilihan tersebut.

Encik Yasser ialah ahli perniagaan yang banyak menghabiskan masanya di Canada dan sebelum ini dilantik sebagai “wakil khas” bapanya kira-kira lima tahun lalu.

Walaupun pelantikannya tidak secara automatik menjadikannya pengganti presiden Palestin, beberapa penganalisis melihat perkembangan itu sebagai langkah penting dalam perebutan pengaruh dalam Fatah.

Profesor Sains Politik, Universiti Birzeit, Encik Ali Jarbawi, berkata kemunculan Encik Yasser dalam kepimpinan tertinggi parti boleh dilihat sebagai permulaan kepada fasa baharu dalam politik Palestin.

“Ini mungkin dilihat sebagai permulaan satu fasa, jika bukan pewarisan kuasa secara langsung, sekurang-kurangnya usaha mengukuhkan kedudukan untuk masa depan,” katanya.

Namun, beliau berkata Encik Mahmoud masih menguasai sepenuhnya gerakan Fatah dan kongres itu gagal memberi gambaran jelas mengenai siapakah yang bakal memimpin parti selepas beliau.

Keputusan kongres itu turut menerima kritikan daripada beberapa pihak dalam Fatah sendiri yang mempersoalkan kemampuan Encik Yasser menyatukan rakyat Palestin selepas bertahun-tahun tanpa pilihan raya dan tanpa kemajuan dalam usaha penubuhan sebuah negara Palestin.

Selain Encik Yasser, beberapa tokoh kanan lain turut mengekalkan pengaruh mereka dalam parti.

Encik Marwan Barghouti, pemimpin Palestin yang dipenjarakan Israel sejak 2002, memperoleh jumlah undi tertinggi untuk kekal dalam Jawatankuasa Pusat.

Encik Jibril Rajoub pula dipilih semula sebagai setiausaha agung jawatankuasa itu manakala Naib Presiden Palestin, Encik Hussein Al Sheikh, turut mengekalkan kedudukannya.

Turut memenangi kerusi ialah Ketua Perisikan Palestin, Encik Majed Faraj, serta bekas anggota bersenjata Encik Zakaria Zubeidi, yang dibebaskan dalam pertukaran tahanan antara Hamas dengan Israel semasa gencatan senjata Gaza pada 2025.

Penganjur berkata kongres itu melibatkan 2,507 pengundi dengan kadar penyertaan mencecah 94.6 peratus.

Sebanyak 59 calon bertanding bagi merebut 18 kerusi Jawatankuasa Pusat, manakala 450 calon bersaing untuk 80 kerusi Majlis Revolusi Fatah.

Dalam ucapan pembukaan kongres pada 14 Mei, Encik Mahmoud berjanji melaksanakan pembaharuan terhadap Penguasa Palestin (PA) serta mengadakan pilihan raya presiden dan parlimen yang telah lama tertangguh.

PA kini berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk melaksanakan reformasi dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi politik Palestin.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sebelum ini turut menuntut reformasi besar sebagai syarat bagi membolehkan PA memainkan peranan penting di Gaza selepas perang.

Fatah sebelum ini merupakan kuasa dominan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), badan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai wakil rasmi rakyat Palestin.

Namun, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, pengaruh Fatah semakin merosot akibat perpecahan dalaman dan kegagalan proses damai Palestin-Israel.

Keadaan itu menyebabkan sokongan terhadap Hamas meningkat sehingga kumpulan itu memenangi pilihan raya legislatif Palestin pada 2006 sebelum mengambil alih Gaza setahun kemudian selepas pertempuran dengan Fatah.

Sejak rundingan damai dengan Israel runtuh pada 2014, usaha menubuhkan negara Palestin semakin sukar dengan peluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat.

Dalam masa sama, Penguasa Palestin turut berdepan krisis kewangan yang semakin membebankan pentadbiran mereka.

Encik Mahmoud Abbas pula terus mentadbir melalui dekri sejak penggal pemerintahannya tamat pada 2009, walaupun beliau menafikan dakwaan bahawa Penguasa Palestin tidak berkesan dan dibelenggu rasuah.

Encik Yasser sebelum ini tidak pernah memegang jawatan rasmi dalam Fatah atau Penguasa Palestin, tetapi mengendalikan syarikat pembinaan dan tembakau di Tebing Barat.

Beliau dan adiknya, Encik Tareq Abbas, sejak sekian lama berdepan tuduhan menggunakan dana awam untuk mengembangkan perniagaan mereka, namun kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut. – Agensi berita.