Topik diikuti
Pergi ke BHkuKongres Fatah pilih semula Mahmoud Abbas sebagai pemimpin gerakan
Kongres Fatah pilih semula Mahmoud Abbas sebagai pemimpin gerakan
Kongres Fatah pilih semula Mahmoud Abbas sebagai pemimpin gerakan
RAMALLAH: Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, dipilih semula secara sebulat suara sebagai pemimpin gerakan Fatah pada 14 Mei.
Ia berlaku tatkala Palestin berdepan tekanan politik, perang di Gaza dan cabaran besar terhadap masa depan perjuangan negara itu.
Agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan para delegasi Persidangan Agung Kelapan Fatah memberi sokongan penuh kepada Encik Abbas untuk terus mengetuai gerakan berkenaan sebagai ketua dan pemimpin tertinggi gerakan.
Pemilihan semula itu turut memastikan Encik Abbas kekal memimpin jawatankuasa pusat Fatah, badan kepimpinan tertinggi parti tersebut.
Persidangan selama tiga hari itu diadakan bagi memilih pemimpin baharu Fatah buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun, ketika gerakan tersebut berdepan cabaran yang dianggap antara paling serius dalam sejarah perjuangan Palestin.
Dalam ucapan pembukaannya, Encik Abbas berkata persidangan itu berlangsung pada saat yang amat kritikal bagi rakyat Palestin.
“Kita sedang berdepan ancaman kewujudan negara Palestin, kesan perang di Gaza, pelanggaran undang-undang antarabangsa di Tebing Barat termasuk Baitulmakdis Timur, serta cabaran serantau yang semakin berubah,” katanya.
Encik Abbas, yang kini berusia 90 tahun, turut menegaskan bahawa pembaharuan dalam Fatah dan institusi Palestin perlu diteruskan bagi memperkukuh gerakan nasional Palestin.
“Kami memperbaharui komitmen penuh untuk meneruskan semua langkah reformasi yang telah dijanjikan,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan pilihan raya presiden dan Parlimen Palestin yang sudah lama tertangguh, namun tidak memberikan sebarang garis masa.
“Kami tetap komited terhadap prinsip demokrasi, kepelbagaian politik dan peralihan kuasa secara aman,” tambahnya.
Encik Abbas turut menegaskan bahawa Gaza adalah sebahagian dari negara Palestin dan tidak terpisah.
Sebarang pentadbiran sementara di wilayah itu tidak boleh menjejas perpaduan nasional Palestin.
Menurutnya, keadaan kemanusiaan di Gaza memerlukan pemerintah Palestin memainkan peranan lebih besar melalui institusi rasmi negara, dengan kerjasama badan eksekutif Lembaga Keamanan dan Jawatankuasa Pentadbiran Palestin sepanjang tempoh peralihan.
“Kita perlu memastikan institusi di Gaza dan Tebing Barat terus disatukan tanpa pemisahan,” katanya.
Dalam ucapannya, Encik Abbas turut mengecam tindakan Israel yang disifatkannya sebagai “keganasan sistematik” di Tebing Barat, termasuk peluasan penempatan haram Yahudi di Baitulmakdis Timur.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Kami menuntut tindakan segera masyarakat antarabangsa untuk melindungi rakyat Palestin dan mempertanggungjawabkan pemerintah Israel,” katanya.
Encik Abbas juga menyeru dunia agar mempertahankan status sejarah dan undang-undang Baitulmakdis Timur, serta menghormati penjagaan tapak suci Islam oleh Jordan di bawah pemerintahan keturunan Bani Hashim.
Persidangan itu berlangsung ketika Penguasa Palestin (PA) semakin menerima tekanan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan negara Arab agar melaksanakan reformasi politik dan mengadakan pilihan raya.
PA turut berdepan tuduhan rasuah, kelembapan pentadbiran serta kehilangan sokongan rakyat Palestin yang semakin kecewa dengan kegagalan proses damai Israel-Palestin.
Jawatankuasa pusat Fatah, yang bakal dipilih dalam persidangan kali ini, dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan kepimpinan Palestin selepas era Encik Abbas.
Antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon pengganti beliau ialah Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Fatah, Encik Jibril Rajoub; dan Timbalan Presiden PA, Encik Hussein al-Sheikh.
Sebelum persidangan bermula, Encik Rajoub berkata gerakan Palestin kini menghadapi antara cabaran paling berat dalam sejarah perjuangan mereka.
“Kami berharap persidangan ini dapat membantu memastikan penubuhan negara Palestin terus berada dalam agenda dunia serta melindungi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai satu-satunya wakil sah rakyat Palestin,” katanya kepada agensi berita, AFP.
Fatah sejak sekian lama menjadi komponen utama dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin yang merangkumi kebanyakan kumpulan Palestin, namun tidak termasuk Hamas dan Jihad Islam.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, pengaruh dan populariti Fatah kian merosot akibat perpecahan dalaman dan kemarahan rakyat terhadap kegagalan rundingan damai dengan Israel.
Walaupun begitu, pemilihan semula Encik Abbas menunjukkan kepimpinan lama Fatah masih menguasai hala tuju politik Palestin ketika wilayah itu terus bergolak akibat perang, krisis kemanusiaan dan ketidakpastian masa depan negara Palestin. – Agensi berita.
