Topik diikuti
Pergi ke BHku6,600 anggota jemaah Palestin tiba di Saudi tunai haji
6,600 anggota jemaah Palestin tiba di Saudi tunai haji
6,600 anggota jemaah Palestin tiba di Saudi tunai haji
RAMALLAH: Seramai 6,600 anggota jemaah Palestin telah tiba di Arab Saudi sejak beberapa hari lalu bagi menunaikan ibadah haji yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 29 Mei di Makkah.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin berkata jemaah terbabit terdiri daripada penduduk Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur yang memasuki Arab Saudi melalui Jordan, manakala kira-kira 700 anggota jemaah dari Gaza memasuki negara itu melalui Mesir.
Menurut kementerian itu, semua jemaah kini ditempatkan di enam hotel di Arab Saudi sebaik sahaja tiba di negara berkenaan.
Agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan perjalanan jemaah berjalan lancar hasil kerjasama pihak berkuasa Jordan, Mesir dan Arab Saudi.
Sementara itu, pihak berkuasa Arab Saudi di wilayah Khaybar, Madinah, menerima ribuan anggota jemaah pelbagai negara termasuk Palestin, Jordan dan Mesir yang memasuki negara itu melalui pintu sempadan utara sejak akhir April lalu.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan operasi penerimaan jemaah terus dipertingkat bagi memastikan kelancaran perjalanan menuju ke Makkah dan Madinah.
Bagaimanapun, rakyat Palestin di Gaza terus berdepan cabaran besar untuk menunaikan haji apabila ramai daripada mereka tidak dapat berangkat akibat sekatan berterusan Israel dan keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di wilayah itu.
Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut sebahagian besar penduduk Gaza gagal menunaikan haji akibat penutupan sempadan dan sekatan perjalanan.
Kementerian Wakaf Palestin sebelum ini memaklumkan baki kuota jemaah Gaza bagi 2026 dipindahkan sementara kepada jemaah dari Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.
Menurut kementerian itu, keputusan tersebut dibuat kerana tempoh yang singkat dalam protokol haji yang ditandatangani bersama Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang menetapkan 20 Mac 2026 sebagai tarikh akhir pengeluaran visa haji.
“Langkah ini bersifat sementara dan luar biasa untuk musim haji tahun ini (2026),” jelas kementerian tersebut.
Penduduk Gaza kini berdepan keadaan hidup yang amat sukar selepas perang berpanjangan serta sekatan perjalanan yang berterusan.
Kemusnahan besar akibat perang turut menyebabkan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bahan api selain memaksa ratusan ribu penduduk berpindah-randah ke kawasan sesak yang kekurangan kemudahan asas.
Israel menutup lintasan Rafah, satu-satunya laluan utama rakyat Palestin keluar dari Gaza, selepas tenteranya menguasai kawasan itu pada Mei 2024.
Lintasan tersebut hanya dibuka semula pada 2 Februari lalu secara terhad untuk pesakit dan individu yang cedera, manakala kawalan ketat keluar masuk masih diteruskan.
Pada 2025, seramai 1,673,230 anggota jemaah menunaikan haji, berdasarkan data Penguasa Am Statistik Arab Saudi.
Daripada jumlah itu, 166,654 merupakan rakyat atau penduduk Arab Saudi manakala selebihnya datang dari luar negara.
Selain Palestin, kira-kira 21,000 anggota jemaah dari Syria dan 8,000 anggota jemaah dari Jordan dijangka menunaikan haji 2026. – Agensi berita.
