Topik diikuti
Pergi ke BHkuJemaah Palestin dari Tebing Barat mula berlepas tunai haji
Jemaah Palestin dari Tebing Barat mula berlepas tunai haji
Penduduk Gaza terus terhalang tahun ketiga berturut-turut
Jemaah Palestin dari Tebing Barat mula berlepas tunai haji
RAMALLAH: Kumpulan pertama anggota jemaah Palestin dari Tebing Barat yang diduduki Israel mula berlepas ke Arab Saudi pada 11 Mei bagi menunaikan ibadah haji.
Ini ketika penduduk Gaza terus dinafikan peluang mengerjakan rukun Islam kelima itu untuk tahun ketiga berturut-turut akibat sekatan.
Bas yang membawa anggota jemaah mula tiba di lintasan Karama di Ramallah pada awal pagi bagi menjalani urusan perjalanan sebelum berangkat ke Arab Saudi.
Pengarah polis di lintasan Karama, Encik Waleed Ghannam, berkata kumpulan pertama membabitkan 2,230 anggota jemaah, manakala 1,730 lagi dijadualkan berlepas pada 12 Mei.
“Kebanyakan anggota jemaah akan berlepas pada Isnin dan Selasa (11 Mei dan 12 Mei), sementara proses penghantaran akan diteruskan sehingga 20 Mei dengan maksimum 500 anggota jemaah sehari,” katanya kepada agensi berita, Anadolu.
Menurut angka rasmi Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin, kira-kira 6,600 rakyat Palestin dari Tebing Barat dijadual menunaikan haji 2026.
Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammed Mustafa, turut meninjau persiapan dan urusan perjalanan anggota jemaah ke Arab Saudi termasuk aspek pengangkutan dan penginapan.
Pejabat beliau dalam satu kenyataan menyatakan Encik Mustafa menerima taklimat daripada Ketua Penguasa Am Lintasan dan Sempadan, Encik Amin Qandil, serta Menteri Wakaf, Encik Mohammed Najm, mengenai langkah memudahkan perjalanan anggota jemaah.
Namun bagi penduduk Gaza, ibadah itu kini semakin sukar dicapai selepas Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap pintu keluar masuk wilayah tersebut.
Penduduk Gaza tidak dapat menunaikan haji sejak tiga tahun lalu, susulan sekatan sempadan yang berterusan serta keadaan kemanusiaan dan keselamatan yang semakin meruncing.
Kementerian Wakaf Palestin sebelum ini memaklumkan kuota anggota jemaah dari Gaza bagi musim haji 2026 ini dipindahkan sementara kepada anggota jemaah dari Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.
Menurut kementerian itu, langkah luar biasa tersebut diambil berikutan tempoh terhad dalam protokol haji yang ditandatangani bersama Kementerian haji dan Umrah Arab Saudi, yang menetapkan 20 Mac 2026 sebagai tarikh akhir pengeluaran visa haji.
Penduduk Gaza kini berdepan keadaan hidup yang amat sukar selepas perang selama dua tahun serta sekatan perjalanan yang berpanjangan.
Keadaan itu semakin buruk dengan kemusnahan meluas, kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bahan api, selain ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah berkali-kali ke kawasan sesak yang kekurangan kemudahan asas.
Israel menutup lintasan Rafah, satu-satunya laluan keluar utama bagi penduduk Gaza, selepas tenteranya menguasai kawasan itu pada Mei 2024.
Lintasan tersebut dibuka semula pada 2 Februari 2026, namun hanya secara terhad bagi pesakit dan individu cedera, dengan kawalan ketat terus dikenakan terhadap pergerakan keluar masuk.
Sementara itu, Timbalan Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin, Encik Issam Abdel Halim, berkata semua urusan pentadbiran dan penyelarasan musim haji pada 2026 sudah dimuktamadkan.
Beliau berkata kementerian sudah menyelesaikan semua urusan laluan bas dan penerbangan selain menyediakan pelan pergerakan di Arab Saudi bagi memastikan keselamatan dan keselesaan anggota jemaah.
“Kementerian juga sudah melengkapkan semua kontrak berkaitan penginapan anggota jemaah di hotel-hotel di Makkah,” katanya.
Menurut beliau, nama hotel dan maklumat penginapan akan diumumkan dalam masa terdekat dengan kerjasama syarikat haji dan umrah yang menjadi rakan utama kementerian dalam urusan logistik dan penyelarasan.
Encik Issam berkata kuota Palestin tahun ini ditetapkan sebanyak 6,600 anggota jemaah dan diagihkan antara wilayah utara dengan selatan, berdasarkan protokol yang dipersetujui bersama Arab Saudi.
Katanya, kadar bayaran yang ditetapkan kementerian adalah berdasarkan “kos sebenar” membabitkan pengangkutan darat, penerbangan dan penginapan, tanpa sebarang kenaikan atau pengurangan demi memastikan ketelusan kepada anggota jemaah.
Encik Issam turut memaklumkan beberapa perkhidmatan baharu diperkenalkan pada 2026, termasuk kontrak perkhidmatan perubatan dan urusan korban.
“Semua kontrak ini diuruskan melalui sistem ‘Jejak Elektronik’ yang dikongsi antara Kementerian Wakaf Palestin dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi memastikan pelaksanaan yang tepat,” katanya. – Agensi berita.
