Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 10,000 penduduk Gaza gagal tunai haji akibat perang, penutupan sempadan
Lebih 10,000 penduduk Gaza gagal tunai haji akibat perang, penutupan sempadan
Lebih 10,000 penduduk Gaza gagal tunai haji akibat perang, penutupan sempadan
GAZA: Lebih 10,000 rakyat Palestin di Gaza dilaporkan gagal menunaikan ibadah haji sepanjang tiga tahun kebelakangan ini susulan perang Israel di wilayah itu serta penutupan berterusan pintu sempadan, lapor Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza.
Kementerian itu turut memaklumkan sekurang-kurangnya 71 individu meninggal dunia ketika menunggu peluang untuk berangkat ke Tanah Suci.
Perkara itu diumumkan dalam sidang media diadakan di bandar Deir Al Balah, tengah Gaza, oleh Pengarah Perhubungan Awam kementerian berkenaan, Encik Amir Abu Al Amrain.
Beliau berkata rakyat Palestin di Gaza terus dinafikan peluang menunaikan ibadah haji untuk tahun ketiga berturut-turut akibat perang, sekatan dan penutupan lintasan sempadan.
“Jumlah rakyat Palestin yang gagal menunaikan haji dalam tempoh tiga tahun lalu melebihi 10,000 orang, sedangkan kuota tahunan Gaza hanya sekitar 2,508 anggota jemaah,” katanya.
Menurut beliau, ibadah haji bukan sekadar kewajipan agama, malah hak asasi yang dinantikan umat Islam dengan penuh harapan.
Namun, katanya, penduduk Gaza terus dinafikan hak itu akibat keadaan perang yang berlarutan.
“Haji adalah hak agama dan kemanusiaan yang asas, tetapi rakyat Gaza terus dinafikan peluang ini akibat perang, kepungan dan penutupan sempadan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa ribuan rakyat Palestin sebelum ini telah melengkapkan semua prosedur haji dan membayar kos yang diperlukan, namun, masih gagal keluar dari Gaza untuk menunaikan ibadah tersebut, lapor Pusat Maklumat Palestin pada 14 Mei lalu.
Encik Amir turut menyifatkan sekatan terhadap jemaah Gaza sebagai pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa yang menjamin kebebasan beribadah dan hak bergerak.
“Larangan ini merupakan pelanggaran terhadap konvensyen antarabangsa yang menjamin kebebasan beribadah, kebebasan bergerak dan akses ke tempat suci,” katanya.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk Arab Saudi dan Mesir, supaya campur tangan segera bagi membolehkan jemaah Gaza menunaikan haji.
“Kami menyeru supaya lintasan sempadan dibuka atas tujuan kemanusiaan dan keagamaan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut meminta agar sumbangan khas Penjaga Dua Masjid Suci diperluaskan kepada lebih ramai keluarga rakyat Palestin yang terkorban di Gaza.
Sementara itu, pemilik syarikat haji dan umrah, Encik Saleh Jabr, berkata ribuan rakyat Palestin telah kehilangan hak semula jadi mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima dalam keadaan kemanusiaan yang kian meruncing.
“Ramai bakal jemaah meninggal dunia ketika menunggu peluang untuk menunaikan haji,” katanya.
Beliau menggesa supaya diwujudkan mekanisme khas dan segera bagi memastikan rakyat Gaza tidak terus kehilangan peluang bersejarah untuk menunaikan ibadah tersebut.
“Perlu ada langkah luar biasa dan segera supaya jemaah tidak terus kehilangan peluang menunaikan haji,” katanya.
Untuk tahun ketiga berturut-turut, rakyat Palestin di Gaza terus gagal menunaikan haji berikutan penutupan lintasan sempadan oleh Israel dan kemerosotan keadaan keselamatan akibat perang yang berterusan.
Pada 3 Mac lalu, Kementerian Wakaf Palestin di Ramallah mengumumkan baki kuota haji Gaza bagi 2026 ini dipindahkan sementara ke wilayah Tebing Barat dan Baitulmakdis.
Menurut kementerian itu, langkah tersebut dibuat kerana tempoh pengeluaran visa haji yang ditetapkan Arab Saudi terlalu singkat, dengan tarikh akhir ditetapkan pada 20 Mac.
Penduduk Gaza kini berdepan keadaan kemanusiaan yang amat sukar akibat peperangan, kemusnahan besar-besaran serta sekatan terhadap pergerakan keluar masuk wilayah itu.
Keadaan bertambah buruk apabila bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api semakin berkurangan, manakala ratusan ribu penduduk pula hidup dalam keadaan perpindahan berulang di kawasan sesak yang kekurangan perkhidmatan asas.
Israel turut menutup lintasan Rafah, satu-satunya laluan utama keluar bagi penduduk Gaza, selepas tenteranya menguasai kawasan itu pada Mei 2024.
Lintasan itu hanya dibuka semula pada 2 Februari 2026 secara amat terhad bagi pesakit dan mangsa cedera, dengan kawalan ketat terus dikenakan terhadap pergerakan keluar masuk penduduk Gaza. – Agensi berita.
