Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahasiswa NUS jelajah cakerawala gabung tari Melayu, India
Mahasiswa NUS jelajah cakerawala gabung tari Melayu, India
Tarian bukan sekadar warisan, beri ruang kreatif kepada anak muda berekspresi, perkukuh jati diri budaya
Mahasiswa NUS jelajah cakerawala gabung tari Melayu, India
Bagi mahasiswi Universiti Nasional Singapura (NUS), Nursyafawati Norazhar, tarian Melayu melampaui seni persembahan yang sering dikaitkan dengan gerakan lembut yang gemalai.
Menurut Presiden NUS Ilsa Tari itu, tarian Melayu kini bukan sekadar wadah pelestarian warisan, malah menjadi ruang kreatif bagi anak muda berekspresi serta memperkukuh jati diri budaya.
Tekad meneroka sempadan seni itu dijelmakan menerusi ‘Maha Maya’, produksi gabungan NUS Ilsa Tari dan NUS Indian Instrumental Ensemble sempena Festival Seni NUS 2026 pada 31 Mac lalu.
Produksi berskala besar itu mencipta sejarah sebagai kerjasama pertama antara kedua-dua kumpulan dan mendapat sambutan hangat sehingga tiket habis dijual.
Bagi Nursyafawati, 21 tahun, kerjasama itu menyajikan cabaran baharu.
Ini kerana penari Melayu perlu menyesuaikan diri dengan irama dan tempo muzik India secara langsung yang jauh berbeza daripada kelaziman mereka.
“Untuk tarian Melayu, kiraannya biasanya lebih standard seperti empat atau lapan kiraan.
“Tetapi muzik India mempunyai corak kiraan yang berbeza dan tempo juga boleh berubah sepanjang lagu,” kata beliau.
Pengalaman itu, bagaimanapun, memantapkan lagi keyakinannya bahawa ruang eksplorasi tarian Melayu amatlah luas.
“Saya sedar bahawa tarian Melayu tidak semestinya hanya dipersembahkan dengan muzik Melayu. Apa yang menjadikan tarian Melayu itu tarian Melayu ialah cara gerakan itu dilaksanakan dan asas yang dibawa oleh penari,” katanya.
Membesar dalam keluarga penggiat seni tarian, Nursyafawati mula rasai rentak persembahan Melayu sejak usia dini.
Sejak usia sembilan tahun, beliau rancak menari, menghayati warisan Melayu dari bangku sekolah rendah, menengah, maktab rendah, hingga kini di menara gading.
Berbekalkan akar tradisi yang kukuh, eksplorasi seni membawanya kepada tarian moden dan kontemporari di maktab rendah, sebuah pengalaman yang merubah ufuk pandangannya terhadap seni tarian Melayu.
“Mempelajari pelbagai gaya tarian membantu saya melihat bahawa tarian Melayu juga boleh berkembang dan (melalui) eksperimentasi.
“Tetapi pada masa sama, kita tetap perlu memahami akar dan asas tradisi itu sendiri,” katanya.
Menurut Nursyafawati, pemahaman terhadap asas tarian Melayu amat penting bagi memastikan eksplorasi seni tidak menghilangkan identiti budaya yang dibawa.
“Dalam tarian Melayu, ada genre-genre asas yang menjadi asas penting kepada semua gerakan.
“Jadi walaupun kita mencuba gaya yang lebih kontemporari, kita masih boleh melihat dari mana datangnya gerakan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu juga menjadi antara tumpuan utama dalam kepimpinannya di Ilsa Tari.
Sebagai penari yang diasuh oleh pelbagai guru tempatan, Nursyafawati mahu setiap anggota kumpulan memahami bahawa gerak tari Melayu sarat dengan sejarah dan makna budaya.
“Saya mahu mereka sedar, gerakan ini bukan kosong semata. Ia dibentuk oleh budaya, sejarah, dan asas yang kukuh,” tegasnya.
Selain menjadi medan eksplorasi seni, Nursyafawati percaya tarian Melayu adalah wadah bagi generasi muda menyalurkan ekspresi dan emosi diri.
Namun, beliau mengakui arena tarian Melayu di Singapura masih bergelut dengan cabaran untuk menarik penyertaan lebih ramai belia.
Hal ini terbukti apabila penyertaan sekolah dalam pertandingan tarian Melayu di bawah Festival Belia Singapura (SYF) terus merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Dulu pertandingan boleh berlangsung hampir seminggu, tetapi sekarang jauh lebih singkat kerana jumlah penyertaan semakin berkurangan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tetap optimis melihat minat yang bersemi dalam kalangan mahasiswa universiti.
“Ada anggota Ilsa Tari yang langsung tidak pernah menari sebelum ini, tetapi apabila masuk universiti mereka mahu mencuba tarian Melayu.
“Malah ada yang akhirnya terus aktif bersama kumpulan tarian luar selepas itu,” katanya.
Nursyafawati menjelaskan, sebahagian anak muda terpikat menyertai tarian Melayu kerana pengaruh rakan-rakan, manakala yang lain ingin merapatkan diri dengan akar budaya sendiri.
Beliau juga yakin, keutuhan seni tari Melayu di Singapura berpunca daripada masyarakat penggiat yang akrab dan saling mendukung.
“Masyarakat tarian Melayu di Singapura sangat kecil dan semua orang saling mengenali. Tetapi walaupun komuniti ini rapat, ia juga sangat terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu belajar,” katanya.
Menyentuh tentang masa hadapan, Nursyafawati berharap dunia tarian Melayu di Singapura akan terus mekar, bukan sahaja dari segi pertambahan penggiat, malah melalui penerokaan dan inovasi seni yang lebih berani.
“Saya mahu melihat lebih ramai orang menyertai dunia tarian Melayu.
“Pada masa sama, saya juga mahu melihat sejauh mana kita boleh menolak sempadan seni ini dan meneroka cara-cara baharu untuk mengekspresikan tarian Melayu,” katanya.