Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahasiswa NUS angkat dikir barat sebagai jambatan budaya, komentar sosial
Mahasiswa NUS angkat dikir barat sebagai jambatan budaya, komentar sosial
Adakan pementasan budaya bersama kumpulan tarian India universiti itu
Mahasiswa NUS angkat dikir barat sebagai jambatan budaya, komentar sosial
Bagi dua mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), dikir barat bukan sekadar seni warisan Melayu, malah, ia jiwa yang melangkaui gelanggang pertandingan dan pentas hiburan.
Bagi mereka, dikir barat adalah ruang untuk merungkai isu masyarakat, menjalin tali silang budaya, menyemai nilai kepimpinan serta menyemarakkan semula kecintaan generasi muda terhadap seni tradisi Melayu.
Iltizam itu baru-baru ini diterjemahkan ke dalam sebuah persembahan budaya yang memukau bersama kumpulan tarian India universiti itu.
Pementasan pada 3 April 2026 itu bertajuk, Antara Dua: Between Two Choices, A Destiny Prevails, mempertemukan Dikir Barat NUS (NUSDK) dan kumpulan Tarian India NUS di satu pentas.
Kerjasama yang bersejarah itu menerima pujian gemilang, dengan semua tiket laris terjual.
Zikri Hakimi Abdul Wahid, mahasiswa tahun kelima Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan NUS, melihat projek itu sebagai bukti bahawa dikir barat boleh melangkaui batas tradisi dan gelanggang pertandingan.
“Kami gabungkan pelbagai elemen seperti rentak dikir barat dengan tarian India,” katanya.
“Ada juga anggota dikir barat yang menari bersama penari India. Semua itu menunjukkan seni ini sangat terbuka untuk eksperimen.”
Sementara itu, bagi Adilah Mohamed Nur Azli, mahasiswi tahun ketiga, Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan NUS, sinergi bersama kumpulan tarian India merupakan satu kembara dalam menyelami jati diri budaya yang lebih bermakna.
“Ia bukan sekadar meletakkan dikir barat dan tarian India di atas pentas yang sama,” katanya.
“Kami perlu memahami budaya masing-masing dan mencari cara untuk benar-benar menyatukan kedua-duanya.”
Bagi kedua-dua mahasiswa itu, dikir barat bukan sahaja menjadi jambatan penyepaduan antara kaum, malah kekal sebagai medium ampuh yang relevan dalam mendepani arus zaman.
Adilah menyifatkan keunikan dikir barat terletak pada sifatnya yang dinamik dan sentiasa berkembang selari dengan perubahan sosial masyarakat.
“Kalau kita lihat penggiat lama sejak 1970-an dan 1980-an, mereka sudah pun menulis tentang isu masyarakat dan perkara-perkara yang dianggap peka atau menimbulkan kontroversi ketika itu,” katanya.
Pengalaman menggarap seni kata mengajar beliau bahawa dikir barat bukan sekadar hiburan yang beritma rancak atau jenaka ringan, malah, merupakan wadah komentar sosial yang dekat di hati masyarakat.
“Dikir barat ialah seni untuk rakyat. Ia memang berasal daripada masyarakat biasa dan sebab itu isu yang dibawakan juga dekat dengan kehidupan harian,” katanya.
“Bagi saya, seni ini menjadi cara untuk menjadikan sesuatu perbincangan lebih mudah difahami dan dirasai semua orang.”
Beliau turut menekankan bahawa semangat kekeluargaan yang utuh dalam NUSDK menjadi tunjang utama yang mengikat komitmennya terhadap seni ini.
“Budaya dalam NUSDK sangat rapat dan saling mempercayai. Bagi saya, perkara itu jauh lebih penting daripada piala atau pingat,” katanya.
Sentimen itu turut disokong oleh Zikri, mantan presiden bahagian lelaki NUSDK, Adisiswa, yang mengimpikan agar masyarakat mula menghargai dikir barat sebagai satu cabang seni dengan potensi yang tidak terbatas.
“Ada lebih banyak lagi tentang seni ini selain pertandingan,” katanya.
“Pertandingan memang penting kerana ia membantu perkembangan seni dan mencabar kreativiti penggiat, tetapi kita juga perlu meneroka pementasan, kerjasama dan ruang perbincangan lain.”
Selain pementasan Antara Dua, mereka juga merupakan penggerak utama di sebalik Ketipak Ketipung Raya, sebuah konsert ‘pop-up’ yang menyatukan kumpulan NUSDK, Ilsa Tari NUS dan Silat NUS.
Adilah menyifatkan daya usaha sedemikian sebagai langkah kritikal dalam memartabatkan warisan Melayu bagi khalayak majmuk, termasuk pelajar daripada latar belakang berbeza.
“Kami dapat pamerkan budaya Melayu di kampus,” katanya.
“Ada pelancong dan pelajar daripada pelbagai kaum datang menonton.
“Ramai mungkin pernah dengar bunyi tepukan dikir barat, tetapi sebelum itu belum benar-benar kenal apa itu NUSDK.”
Di samping persembahan, kedua-duanya turut menyuarakan aspirasi agar usaha mendokumentasikan sejarah dikir barat di Singapura diperkasa.
Sebagai penuntut bidang Sejarah dan Pengajian Melayu, Adilah melihat terdapat kelompangan yang besar dalam aspek merekodkan sejarah seni itu.
“Seni ini sudah berkembang di Singapura sejak 1970-an, tetapi masih banyak sejarah dan perjalanan penggiat lama yang belum direkodkan dengan baik,” katanya.
“Saya harap lebih ramai penggiat muda akan mula melihat kepentingan mendokumentasikan warisan ini supaya ia tidak hilang.”
Harapan mereka agar anak muda terus menjadikan dikir barat sebagai medan pembelajaran, pengukuhan sahsiah, serta jambatan kebudayaan yang teguh.
“Ada banyak nilai yang dipelajari melalui dikir barat seperti ketahanan diri, disiplin dan kemampuan menyesuaikan diri,” kata Adilah.
“Bagi saya, itu semua lebih besar daripada kemenangan dalam pertandingan.”
Zikri pula yakin lebih banyak pementasan dan dialog intelektual mengenai dikir barat dapat dizahirkan kelak.
“Dikir barat membolehkan kita berbicara tentang identiti, kemasyarakatan, dan falsafah hidup.
“Seni ini menawarkan semesta yang sangat luas untuk diterokai, melangkaui sekadar mengejar gelaran juara,” rumus beliau.
