Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiga aktivis budaya SG bawa warisan Melayu ke London Craft Week
Tiga aktivis budaya SG bawa warisan Melayu ke London Craft Week
Tiga aktivis budaya SG bawa warisan Melayu ke London Craft Week
Tiga penggiat dan aktivis warisan Melayu mewakili Singapura di London baru-baru ini untuk mempersembahkan karya serta amalan budaya mereka di acara antarabangsa, London Craft Week 2026.
Encik Muhammad Hairul Ab Latiff, Encik Muhammad Dhiya Rahman dan Cik Oniatta Effendi adalah antara 15 pengamal seni warisan dan reka bentuk tempatan, yang dipilih untuk mewakili Singapura di London baru-baru ini menerusi Pavilion Singapura sempena London Craft Week 2026.
Berlangsung di Battersea Power Station hingga 17 Mei, acara itu menandakan penyertaan terbesar pengamal warisan Singapura secara bersama di pentas antarabangsa setakat ini, berdasarkan kenyataan Lembaga Warisan Negara (NHB).
Pavilion tersebut menampilkan pameran Future Craft yang menonjolkan kepelbagaian tradisi dan inovasi tempatan, daripada seni logam dan pembuatan sangkar burung hinggalah seni kebaya, rangoli dan tarian singa.
Bagi tiga peserta Melayu tersebut, penyertaan itu bukan sekadar peluang memperkenalkan karya masing-masing kepada penonton antarabangsa, malah menjadi ruang mengetengahkan warisan budaya Melayu yang boleh berkembang melalui pendekatan kontemporari.
Encik Hairul, pereka pelbagai disiplin, penyelidik dan pengamal budaya, terkenal dengan usahanya menggabungkan teknologi kreatif dengan tradisi Melayu.
Beliau merupakan pengasas bersama B.RU Collective yang aktif meneroka hubungan antara budaya, identiti dengan teknologi.
Kajian beliau banyak tertumpu kepada seni persembahan Dikir Barat, satu bentuk seni yang menggabungkan ritma, puisi dan ekspresi masyarakat.
Melalui penyelidikan di lapangan, bengkel dan prototaip interaktif, Encik Hairul membangunkan kaedah pembelajaran bagi memastikan pemindahan ilmu antara generasi dapat diteruskan.
Antara ciptaannya termasuk ‘Rabana Rhythm Board’ dan pemasangan audio visual masa nyata, yang menterjemahkan corak paluan rebana tradisional kepada pengalaman digital interaktif.
Seorang lagi peserta, Encik Muhammad Dhiya, pula membawa perspektif unik menerusi seni pembuatan papan luncur ombak yang diinspirasikan daripada teknik pembinaan perahu tradisional masyarakat pesisir.
Artis, pereka dan pendidik itu dikenali kerana menggabungkan proses pertukangan tradisional dengan metodologi reka bentuk moden.
Melalui jenama Happy Poison Gang, beliau menghasilkan papan luncur khas dan produk kreatif yang dipasarkan di rantau ini.
Sebagai sebahagian daripada program awam London Craft Week, Encik Dhiya mengendalikan sesi interaktif yang membolehkan pengunjung menghasilkan aksesori kecil berinspirasikan struktur papan luncur ombak.
Turut mewakili masyarakat Melayu Singapura ialah Cik Oniatta, usahawan budaya dan pengasas jenama warisan fesyen batik Baju by Oniatta.
Beliau dikenali dengan usahanya mengangkat tradisi tekstil Asia Tenggara, khususnya batik dan kebaya, melalui pendekatan fesyen kontemporari.
Karyanya merentasi bidang reka bentuk, pendidikan dan projek kuratorial, dengan tumpuan kepada cara warisan tekstil boleh terus relevan dalam landskap moden.
Future Craft juga merupakan kesinambungan inisiatif Craft X Design yang dilancarkan NHB pada 2021, yang mempertemukan pengamal seni warisan dengan pereka tempatan bagi mengolah semula hasil pertukangan tradisional kepada produk moden dan inovatif.
Pengarah Kumpulan Muzium NHB, Encik Low Sze Wee, berkata kepelbagaian seni dan warisan yang diketengahkan mencerminkan identiti budaya Singapura yang kaya.
“Kami bangga dapat berkongsi warisan ini dengan dunia dan membolehkan pengamal kami menjadi duta identiti Singapura kepada audiens antarabangsa,” katanya.
Selain pameran utama, 11 pengamal turut mengendalikan program awam dan bengkel interaktif, memberi peluang kepada pengunjung mendekati sendiri proses kreatif dan kisah di sebalik karya mereka.
Melalui Future Craft, NHB berharap warisan Singapura bukan sahaja terus dipelihara, malah kekal relevan dan berkembang mengikut zaman.
Pameran itu juga dijangka dibawa pulang dan dipentaskan di Singapura pada masa akan datang.
