Topik diikuti
Pergi ke BHkuBusana Melayu, gaya bangsa berperibadi
Busana Melayu, gaya bangsa berperibadi
Pakaian tradisional Melayu cerminan adab, identiti dan warisan budaya yang perlu terus dipelihara
Busana Melayu, gaya bangsa berperibadi
“Baik dijaga adab senonoh,
Petuah dipegang bersungguh-sungguh;
Mewariskannya tidak bertangguh,
Menunjuk mengajar tidak mengeluh.
Pakaian badan cari contohan,
Segera tampil seri budiman;
Busana ranggi terpakai warisan,
Agar peninggalan berpanjang zaman.”
Setiap Hari Raya Puasa, akan kelihatan pemakaian baju Melayu, baik daripada yang muda dan tua, lelaki dan perempuan.
Selain Hari Raya, majlis perkahwinan juga memperlihatkan beberapa undangan dan keluarga pengantin yang berpakaian baju tradisional Melayu.
Baju tradisional Melayu umumnya boleh dipecahkan kepada baju kurung, baju kebaya panjang atau baju belah.
Di samping itu juga, ada jenis yang dipanggil baju Kedah dan baju Pahang.
Dalam majlis dan perjumpaan rasmi, baju tradisional turut dipakai.
Langgam busananya berbagai, dan inilah yang boleh disebut sebagai estetika busana Melayu.
Pada hari ini, pemakaian baju tradisional Melayu sangat dicermati pemakaiannya, khas dalam kalangan golongan istana.
Malah, istana dapat dilihat sebagai cultural paragon, yakni institusi yang menjadi lambang teladan dalam usaha memelihara keaslian dan martabat baju tradisional Melayu.
Gaya Negeri, Kemas Berdiri
Pada zaman Sultan Abu Bakar, sultan yang memerintah Johor dari 1862 hingga 1895, dikeluarkan pekeliling agar rakyatnya berpakaian elok, kemas dan bersih.
Perempuan yang terbiasa berkemban mesti memakai baju kurung, dan baju kurung Teluk Belanga menjadi pilihan di Johor.
Malah golongan elit di Johor memakai baju kurung Teluk Belanga dengan gaya anggun dan penuh bangga.
Di Johor, pernah diterbit buku, Pakai Patut Melayu, pada 1931, ditulis oleh Mejar Datuk Mohd Said Sulaiman, salah seorang pembesar negeri.
Dalam buku itu, hal berkaitan pemakaian sangat dititikberatkan.
Sekiranya dilihat dari segi pemakaian busana pembesar-pembesar Johor, jelas terserlah ketelitian serta cita rasa tinggi dalam menampilkan imej yang kemas dan segak.
Pakaian rasmi Sultan Johor pula memperlihat kombinasi Melayu tradisional dan Barat yang moden.
Estetika dalam kalangan bangsawan Johor sangat menyerlah, bukan sahaja dari segi pakaian, bahkan juga pada tatahias istana, mahligai dan mahkota.
Perhatikan sahaja seni bina Masjid Sultan Abu Bakar yang terletak di Johor Bahru.
Seni binanya adalah antara yang terunik di Semenanjung Malaysia.
Apa yang jelas, busana diraja Johor memperlihatkan kecenderungan terhadap gaya yang elegan, warna yang lembut serta potongan yang cantik.
Kualiti penampilan yang moden, tetapi masih berakar pada budaya Melayu, menjadikan keseluruhan gaya itu cukup mengagumkan.
Ini dapat dilihat pada majlis perkahwinan Tunku Tun Aminah Maimunah Sultan Ibrahim dengan Datuk Dennis Muhammad Abdullah, yang mana kedua-dua mempelai memakai baju kurung Teluk Belanga, dengan potongan yang bersih, dibuat dari kain tenun Pahang Diraja berwarna putih.
Keluarga Diraja Johor terkenal dengan kerabat perempuannya tampil berpakaian anggun berseri dengan potongan yang elegan, berserta jenis kain yang terpilih coraknya.
Pernah Sultanah Zanariah mengenakan baju berlian, yang indah bercahaya, sewaktu menjadi Raja Permaisuri Agong.
Hari ini, Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah sering kelihatan memperagakan baju kurung kain benang Johor.
Kini dengan naungan diraja, jenis kain ini kembali popular.
Baju kurung Teluk Belanga, yang nama asalnya sebuah tempat di selatan Singapura, adalah daerah di mana keluarga Temenggung pernah bersemayam memerintah Johor, sebelum pentadbiran kerajaan ini berpindah ke Johor Bahru pada 1866.
Ada ungkapan cantik tentang pakaian ini, sehingga terlantun:
“Baju kurung Teluk Belanga
Merah kesumba bertabur bunga
Berdagang luar kain di pinggang
Songket hitam diikat kembang
Bunga digubah awan setangkai
Kain mantul di bahu dilampai
Selendang lemas
Kelingkan emas
Rambut didandan bersanggul lintang
Di dalam kelongsong bersunting kembang
Tanjung Puteri
Pakaiannya ranggi.”
Pewaris Gaya Tradisional
Pada dekad 70-an hingga 80-an, tokoh budayawan, Puan Azah Aziz menulis dalam beberapa majalah perihal busana Melayu tradisional.
Puan Azah atau nama penuhnya Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff, lahir pada 1928 dan dibesarkan dalam kalangan keluarga ternama Johor.
Beliau ialah isteri kepada Profesor Diraja Ungku Aziz.
Minat pada busana Melayu tercermin daripada beberapa artikel yang beliau tulis, selain buku gah yang berjudul Rupa dan Gaya Busana Melayu (2006), terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Puan Azah pernah menjadi Setiausaha di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya di Singapura, sewaktu Pendeta Za’ba menjadi Ketua Jabatannya.
Sewaktu berkhidmat di situ, beliau didedahkan dengan lebih mendalam kepada kebudayaan Melayu, khususnya sastera Melayu klasik.
Keprihatinan beliau terhadap busana Melayu merupakan sebahagian daripada usaha beliau untuk mendokumentasikan, menjelaskan serta memartabatkan warisan Melayu.
Pandangan beliau tentang gaya busana yang berubah sepanjang zaman, antara yang tuntas ditulis seperti berikut:
“Fesyen sentiasa berubah dan beredar. Yang lama diganti oleh yang baru dan yang lebih baru lagi, dengan sokongan, dukungan dan kerjasama kuat dan erat daripada media massa dan pihak komersial yang biasanya mengaut keuntungan besar…”.
Beliau turut menjelaskan terdapat perbezaan antara pakaian tradisional dengan apa yang dianggap ‘fesyen’.
Ini kerana bagi Puan Azah, busana tradisional:
“... tidak berubah, dan di dalamnya terkandung intisari seni budaya dan peradaban (sesuatu) bangsa itu.
“Ia boleh berkekalan sehingga menjadi klasik dengan mengabadikan segala keindahannya, jikalau yang empunya pakaian itu menyayangi, menghargai dan memeliharanya.”
Tambah beliau, sayang sekali terjadi pengabaian kepada busana tradisional, dan ini ditulis beliau pada 1989.
Menurut Puan Azah, antara yang hilang, dan tidak dipakai lagi ialah memakai baju kurung dengan kain dagang luar.
Catatan beliau seperti berikut ditukil sebagai peringatan:
“Sehingga kira-kira 40 tahun dahulu, pakaian yang disebut ‘kain dagang luar’ menjadi kebanggaan wanita Johor, yang tua mahupun yang muda.
“Kain dagang luar itu dipakai dengan baju kurung Teluk Belanga, biasanya daripada songket sedondon, untuk menghadiri majlis upacara atau temasya yang dianggap formal.
“Biasanya, kain yang digunakan sebagai dagang luar ialah kain gerus, iaitu kain benang kapas atau sutera halus yang telah dikanji sedikit, kemudian digilap dengan kulit siput besar hingga berkilat – satu seni tua Melayu yang kini menghilang.”
Cik Zubaidah Shawal, seorang pengkaji asal Johor juga menyebut baju kurung yang dipakai di Johor dipadankan dengan kain sarung berikatan ‘ombak mengalun’.
Ikatan ombak beralun dibuat di sebelah kanan kain dan kepala kain diletakkan di sebelah belakang.
Sama juga diperhatikan adalah cara memakainya, selain mutu jahitan yang ada pada sesuatu pakaian.
Kini, pemakaian seperti ini sudah semakin hilang atau ditinggalkan.
Sama juga dengan hilangnya pemakaian aksesori seperti cucuk sanggul, kerongsang, gelang kaki, rantai dokoh, pending dan banyak lagi.
Sampaikan songket tenun diganti dengan songket buatan mesin.
Ada yang diimport dari luar negara, dengan corak bunga tidak selari dengan corak Nusantara yang kita kenali.
Ternyata fesyen pada hari ini semakin rencam.
Jubah abaya, kurta dan kaftan kian popular, malah, menjadi pilihan pada hari-hari kebesaran dalam masyarakat Melayu.
Sedangkan berpakaian Melayu tradisional mengecil sambutannya.
Namun, dalam kalangan lelaki, baju Melayu masih dipakai secara lengkap dengan samping, songkok dan capal.
Baru-baru ini, trend memakai tanjak kembali, dan ini merupakan sesuatu perubahan yang sangat menarik, mungkin daripada seruan untuk mengembalikan kemelayuan yang autentik.
Kita semua wajar menyambut perubahan, asalkan ia menjadi lebih baik, serta tidak pula bermaksud membuang budaya masa lalu secara mentah-mentah.
Masalahnya sekarang bukan pemilihan antara yang lama dengan baru, tetapi sikap sembarangan atau sikap asal boleh adalah disebabkan literasi budaya yang rendah.
Puan Azah menegur ini:
“Sikap orang Melayu yang ghairah meniru dan mudah terpengaruh, mencelarukan suasana. Pencemaran pada busana yang berupa perubahan atas potongan dan pemakaiannya, jikalau dilakukan oleh pihak yang tidak tahu-menahu tentang budaya dan sejarah busana Melayu, tidak ubah dari apa yang dikatakan ‘tikus membaiki labu’! Kesannya tentulah membawa kerosakan yang kronik.”
Lantas dipantunkan beliau:
“Kain ini kain sutera,
Kalau mandi disesah jangan;
Pakaian ini pakaian lama,
Kalau sayang diubah jangan.”
Adat Berpakai
Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang sangat memberatkan cara berpakaian kemas, bersih dan tertib, serta kepentingan berpakaian mengikut tempat dan sebab.
Dalam konteks yang lazim dahulu, apabila menghadiri sesuatu acara, majlis atau keramaian, ada suatu peringatan agar kita berpakaian ‘jangan sampai menjolok mata’.
Yakni apabila kita memakai sesuatu, haruslah akur pada kesesuaian tempat dan majlisnya.
Contohnya baju berlengan pendek, atau berseluar pendek, atau mengenakan pakaian berwarna-warni pastilah tidak sesuai sewaktu menziarahi rumah yang baru kematian anggota keluarga.
Di rumah, pakaian seharian disebut sebagai baju atau kain basahan.
Baju atau kain basahan ini tidak boleh pula dipakai sewaktu menerima tetamu, atau apabila keluar dari rumah.
Apatah lagi jika dibawa sembahyang.
Maka ia menjadi kelaziman dalam keluarga Melayu, apabila sembahyang, kain dan baju perlu diganti.
Bagi perempuan, mereka akan memakai telekung putih dan bagi lelaki pula, mereka akan memakai kain sarung, dengan baju Melayu.
Memakai kemeja-T yang mempunyai logo juga dianggap tidak sesuai.
Malah sewaktu pergi mengaji pun, anak-anak sering berpakaian baju Melayu, siap dengan sarung kepala dan tudungnya.
Apabila menziarahi rumah orang yang ada kematian, sebaiknya berbaju Melayu berwarna putih.
Namun kini, melayat ke rumah si mati sudah bergantian dengan baju berwarna hitam, dan sering kali dengan pakaian jenis jubah atau gamis.
Menariknya, pemakaian warna putih masih dikekalkan dalam kalangan golongan istana, sekiranya ada kemangkatan kerabatnya.
Apabila ke perkuburan, pakaian pun mesti tertib dan tidak boleh memakai seluar pendek kerana ini dianggap tidak menghormati.
Begitu juga apabila ke masjid.
Pakaian mesti bersih, selain dituntut untuk menutup aurat serta berwangian dan ranggi apabila tiba hari Jumaat.
Pada Hari Raya, yang dianggap hari baik bulan baik, orang Melayu harus memakai baju yang bersih dan baharu, dan pastinya baju tradisional Melayu menjadi pilihan.
Jika ada tetamu datang, ia lebih manis jika tuan rumah memakai kain sarung, baik untuk lelaki atau perempuan, dan tidak pula berseluar pendek atau memakai baju tidur.
Malah jika ke pasar pun jangan sesekali berbaju tidur atau berkain basahan.
Apa lagi apabila menghadiri jemputan kahwin, bajunya mesti ranggi, wangi dan rapi.
Pilihan warna pada pakaian mesti sesuai mengikut usia iaitu perlu ada rasa segan dan jangan terlalu berpakaian gah, sampai pengantin pun kalah.
Itulah yang dimaksudkan berpakaian berpada-pada.
Pada yang tersalah memilih warna, akan ditegur warnanya, ‘kilat-barat’.
Malah bagi yang memakai dengan gaya yang salah atau tidak sesuai, akan disebut ‘macam orang darat’, selain ungkapan ‘tahu tempat, pakai pun tepat’, ataupun ‘pakai berpatut, adat diturut’.
Ini semua adalah sebahagian daripada norma sosial yang dituntut ataupun dianjurkan sangat.
Di samping itu terdapat juga ungkapan, ‘gaya bersantun, cantik ditonton’.
Kita sering diingatkan orang-orang tua, jangan ‘pakai selekeh, kelak orang memperlekeh’.
Apabila ada anak yang salah pakai, sang ibu akan berleter, “Jangan kasi emak malu!”
Berpakaian baik adalah menjadi ukuran bagaimana seseorang itu dipandang dalam masyarakatnya.
Malah ada gurauan menyebut, ‘gaya mesti ada, walau hidup papa’.
Ini satu standard sosial yang ditetapkan dalam masyarakat Melayu secara tidak sedar.
Di Brunei, pemakaian baju Melayu sangat diperhatikan dalam semua acara rasmi negara.
Malah adat istiadat masuk ke istana di sana, harus akur pada warna yang ditetapkan bergantung pada upacara yang dilangsungkan.
Dalam kalangan Melayu Sarawak, apabila ada majlis perkahwinan, rata-rata jemputan lelaki dan perempuan memakai baju Melayu, siap dengan samping dan tudung.
Di Selatan Thailand, gerakan memakai baju tradisional Melayu semakin bersemarak kerana ia memberi semangat kemelayuan kepada penduduk Melayu di sana.
Pada satu ketika, memakai baju Melayu tradisional mendapat sambutan dalam kalangan beberapa artis Thailand di sana.
Tata busana orang Melayu, bukan sahaja bersendi anjuran adat, tetapi pastinya tuntutan daripada ajaran agama Islam, di mana aurat wajib ditutup, bersederhana dalam berpakaian, tanpa menunjuk-nunjuk kemewahan.
Ada syair yang menyebutkan sebegini:
“Wahai segala handai dan taulan
Jagalah diri dalam berpakaian
Ketentuan Syarak kita ikutkan
Ketentuan adat kita jalankan
Bila memakai lupakan Syarak
Adat Lembaga tidak disemak
Aib terdedah maruah tercampak
Ke mana pergi orangkan muak
Apabila memakai yang tidak sopan
Syarak dan adat sengaja diabaikan
Tanda dirinya diperbudak syaitan
Sengsaralah hidup di hari kemudian.”
Busana yang berseri adalah busana yang melambangkan jati diri si pemakai, sama ada pada budaya bangsanya ataupun peribadinya sendiri.
Maka wajarlah disimpulkan Puan Azah bahawa “pakaian adalah salah suatu sifat yang boleh menimbulkan peribadi dan identiti sesuatu bangsa”.
Celik sejarah warisan budaya pastinya akan menyampaikan cita tersebut.
Izinkan saya menyematkan sebegini:
“Adat berhias manis berseri
Adat bersolek cantik menjadi
Adat berdandan bertambah ranggi
Adat bergaya terserlah peribadi
Adat berpakai bangsa berjati.”
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.
“
Tata busana orang Melayu, bukan sahaja bersendi anjuran adat, tetapi pastinya tuntutan daripada ajaran agama Islam, di mana aurat wajib ditutup, bersederhana dalam berpakaian, tanpa menunjuk-nunjuk kemewahan... Busana yang berseri adalah busana yang melambangkan jati diri si pemakai, sama ada pada budaya bangsanya ataupun peribadinya sendiri. Maka wajarlah disimpulkan Puan Azah bahawa “pakaian adalah salah suatu sifat yang boleh menimbulkan peribadi dan identiti sesuatu bangsa”.