Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarisan agama, keilmuan Islam di S’pura
Warisan agama, keilmuan Islam di S’pura
S’pura jadi pusat utama terbit kitab, buku agama di Nusantara pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20
Warisan agama, keilmuan Islam di S’pura
Dalam sejarah percetakan Melayu, Singapura pernah menjadi pusat utama menerbitkan kitab-kitab agama Islam, yang kemudian tersebar di merata Nusantara.
Al-Quran pernah dicetak di Singapura dan masyhur digunakan di rantau ini.
Ia dimulai daripada usaha Munshi Abdullah yang membantu para mubaligh Kristian dalam menerbit beberapa karya Melayu dalam bentuk cetak batu (lithograf).
Akhirnya kepandaian ini tersebar.
Suratkhabar Melayu yang pertama Jawi Peranakan diterbitkan pada 1876.
Pada akhir abad ke-19, percetakan buku-buku Melayu semakin pesat, mentelah apabila Singapura menjadi pusat keberangkatan jemaah haji ke Tanah Suci.
Pada 1906 majalah Al-Imam, yang diasaskan Syed Sheikh Al-Hady memperlihatkan kemasukan idea pembaharuan dalam masyarakat Melayu, selain tampilnya pemuka agama yang bergiat untuk memajukan pendidikan Islam di Singapura.
Antaranya ialah Abas Taha, yang pernah menjadi Kadi Besar Singapura dan pengelola majalah Neraca dan Tunas Baru, yang semuanya diterbitkan di Singapura.
Pada abad ke-20, menyaksikan pula beberapa tokoh agama kelahiran Singapura mahupun yang bermastautin di sini.
Tampilnya tokoh-tokoh ini bukan sahaja memberikan kepimpinan kepada pertubuhan agama setempat, tetapi juga menyumbang kepada pendidikan dan keilmuan Islam.
Hari ini kalau kita himpunkan inventori kitab dan buku agama yang pernah dihasil atau diterbitkan di Singapura, maka bilangannya mungkin berjumlah ratusan.
Sehingga hari ini, penerbitan daripada pertubuhan keagamaan dan masjid-masjid masih berjalan dengan aktif.
Masjid Ba’alwi sahaja memiliki senarai penerbitan yang panjang dan beraneka judulnya.
Ini semua akan menjadi warisan masyarakat kita di hari muka.
Maka wajar kita mencermati dan menyusun karya-karya keagamaan ini sebagai warisan Melayu Islam Singapura.
Ikhtiar ini perlu dimulakan oleh pihak yang berkuasa.
Mungkin sahaja karya agama terbitan abad ke-19 sudah jarang dapat ditemukan, walaupun tersimpan di perpustakaan tertentu.
Usaha mengumpulkannya dalam bentuk digital seyogia dirancang.
Karya agama terbitan 1950-an sehingga 1980-an mungkin masih lagi disimpan sesetengah keluarga Melayu walaupun tidak dirujuk lagi.
Pemerhatian kita kepada hal-hal bahan keagamaan wajar direncanakan, kerana ini adalah sebahagian daripada tuntutan memulihara warisan.
Seringkali kita hanya melihat kita-kitab agama ini sebagai himpunan keilmuan Islam, dan bagaimana usaha menyampaikan ajaran Islam kepada awam.
Jelas, yang jarang atau gagal kita melihatnya adalah dari sudut warisan, yang harus kita ulet, simpan, hargai dan menilainya dari semasa ke semasa.
Ertinya, celik warisan dan celik sejarah patut dipandang sebagai usaha memastikan jalan kemajuan kita tidak terputus dan tidak tersasar.
Buku Agama sebagai Warisan
Sebenarnya peranan dan sumbangan tokoh agamawan yang banyak berbakti sudah pun dibukukan atas usaha Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dalam siri penerbitan buku Obor Ummah.
Usaha pendokumentasian ini patut dipuji.
Namun ia masih berbentuk biografi ringkas tentang tokoh-tokoh yang ditampilkan.
Tingkat selanjutnya yang diperlukan adalah menilai sejarah pemikiran serta peranan dan gagasan pemikiran tokoh-tokoh tersebut.
Di Singapura, beberapa tokoh agama telah menghasilkan sejumlah kitab dan buku.
Antaranya ialah Ustaz Daud Ali, Ustaz Osman Jantan, Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri, Ustaz Yacob Elias dan ramai lagi.
Ada sesetengah penerbit setempat yang juga sangat aktif menghasilkan buku-buku bertemakan agama, dan antaranya ialah Encik Ahmad Lutfi dari Qalam Press, dan Syed Ahmad Semait dari Pustaka Nasional.
Pendek kata, karya-karya keagamaan ini telah menyumbang pada zaman masing-masing.
Kini wajar pula kita apresiasi karya-karya tersebut secara ilmiah.
Antara yang boleh dinilaikan ialah paradigma ilmu, atau orientasi keagamaan yang dipegang seseorang tokoh atau penulis itu.
Juga, boleh kita menilai sejauh mana pemerhatian seseorang tokoh agama, kepada hal yang terkait dengan realiti dan keperluan masyarakat.
Malah boleh kita persoalkan juga, apakah yang dianjurkan dan dikritik oleh tokoh itu.
Ertinya, adakah tantangan dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat, mendapat respons sewajarnya oleh tokoh tersebut, atau sebaliknya?
Apapun, umat Melayu Islam Singapura wajar berbangga bahawa kita pernah ada sejarah penghasilan dan pengukuhan ilmu-ilmu keagamaan dan kemasyarakatan, yang berkembang sejak dwiabad lalu.
Malah tradisi ilmu keagamaan ini masih berterusan walaupun dengan skala yang berbeza.
Kitab Agama yang Kita Warisi
Sebuah kitab yang wajar kita cermati ialah Suluhan Falsafah Pada Mentafsirkan Surah Al-Fatihah, karangan Kiyai Ahmad Zuhri Mutammim.
Ia pernah diterbitkan Matbah Al Ahmadiah di Singapura.
Tahun penerbitannya tidak diketahui.
Kini kitab ini telah diterbit ulang oleh Akademi Jawi Malaysia pada 2023.
Kitab ini terkandung tiga bahagian atau penggal.
Menurut catatan, terdapat lima penggal kesemuanya, namun hanya tiga yang dapat dikesan sejauh ini.
Ia asalnya ditulis dalam aksara Jawi.
Karya ini mengemukakan judul dan isi kandungannya sebagai falsafah, dan bukan berkenaan tauhid semata-mata, atau berkaitan hukum-hakam.
Namun, falsafah yang dimaksudkan juga bukan ilmu spekulatif yang menyentuh persoalan epistemologi.
Falsafah yang dimaksudkan bukan pula ilmu yang spekulatif, yakni menyentuh hal epistemik.
Berdasarkan inti yang dibicarakan, ia merujuk kepada falsafah hidup, yang bersangkutan dengan martabat manusia, kepentingan akal dan ilmu, dan manusia yang memikirkan kehidupan di dunia dan akhirat nanti.
Inilah yang menampakkan keistimewaan pada pendekatan yang dipakai Kiyai Zuhri, jika dibandingkan dengan karya-karya agama sezamannya dalam bahasa Melayu.
Dalam kitab ini, huraian kepada pesanan yang terdapat pada Surah Al-Fatihah tidak diberikan dalam formula tradisional yang menjelaskan makna satu perkataan ke satu perkataan dalam sebaris ayat.
Kitab ini mencerahkan maksud Tauhid, dan ia membekalkan panduan nilai yang harus dipakai oleh umat Islam.
Pastinya yang diutamakan adalah persoalan akidah agar manusia tunduk kepada Tuhan yang Satu, dan bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw sebagai pesuruh-Nya.
Juga diperingatkan bahawa akhirat itu adalah hari perkiraan atas segala kebaikan dan kejahatan yang manusia telah lakukan sepanjang hidupnya.
Karya ini adalah antara sejumlah buku agama yang ditulis dan diterbitkan.
Judul-judul kitab hasil karya Kiyai Zuhri adalah:
1. Falsafah Perangai.
2. Geliga Perangai.
3. Hidayah al-Tahdhīb.
4. Jawahir al-Aqā’id.
5. Al-Tasrif wa al-Ilāl.
6. Al-Amin fi al-Arba’in min Ahādīth Sayyid al-Mursalin.
7. Al-Manzūmāt al-Zahriyyah fi Ma’rifat Awā’il al-Ashhar al- Arabiyyah.
8. Sharh al-Manzūmāt al-Zahriyyah fi Ma’rifat Awā’il al- Ashhar al-Arabiyyah.
9. Tāmūsiā pada Mentafsirkan Sūrah Kejadian Manusia.
10. Suluhan Falsafah pada Mentafsirkan Sürah al-Fatihah, Lima Penggal.
11. Sinar Budi
12. Fiqh al-Madaris
13. Risalah Ilmu Falak
Warisan Ilmu, Umat Tambah Maju
Menarik jika kita perhatikan beberapa cetusan tentang pentingnya ilmu yang terdapat dalam kitab karangan Kiyai Zuhri ini.
Manusia itu dituntut agar menyedari nikmat besar yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.
Dunia ini tempat manusia mencari kemuliaan, rezeki dan kebajikan.
Setiap nikmat yang tersedia perlu dikejar dan diusahakan nikmat yang ada, mesti dikejar dan diusahakan kerana ia tidak datang dengan sendirinya.
Tuhan juga tidak akan merubah nasib kehidupan manusia, sekiranya ia sendiri tidak mahu merubahnya.
Kiyai Zuhri memilih percontohan daripada adanya lautan yang terbentang luas di bumi, yang manusia wajar mengenali dan menguasainya.
Namun betapa ia sebuah nikmat yang besar, tiada pula anak bangsa kita yang mahu menguasai bidang kelautan, termasuk tentang ilmu yang menjelaskan bagaimana perkapalan berfungsi.
Syarat kemajuan itu adalah ilmu yang dikuasai.
Kemudian diingatkan betapa ilmu kejuruteraan sebagai sesuatu yang belum lagi dikuasai oleh anak bangsa.
“Akan diingat bahawasanya pelajaran-pelajaran engineering (kejuruteraan) itu masih sedikit sangat dipelajari oleh pemuda-pemuda kita, manakala akan dikatakan elok sangat bagi sesuatu tubuh yang memerintah itu mengetahui akan kehendak-kehendak yang diperintah serta memberi kehendak-kehendak mereka itu dengan diajarkannya sebagaimana pelajaran ketuanan.
“Dan kepujian yang bercucuran bagi negeri yang telah terbina padanya tempat-tempat pelajaran yang padanya dapat dicedok beberapa air ilmunya yang menjadi siraman bagi sekalian anak buminya, yang mana secedok daripada ilmu-ilmu itu, maka ia ilmu engineering yang dengan sebabnya akan terzahir kebesaran faedah nikmat-nikmat Tuhan seperti beberapa anggota, akal dan pancaindera itu akan sebagai kezahiran-kezahiran yang menduga beberapa dalam kandungan ayat Al-Quran.”
Bangun ilmu usaha maju umat, negara
Usaha mengangkat dan memartabatkan ilmu, adalah sebahagian daripada mensyukuri nikmat dan kebesaran Tuhan.
Jelas, Kiyai Zuhri menyeru pihak berkuasa (merujuk kepada penjajah sewaktu beliau menulis) agar memberikan ilmu pengetahuan seperti ilmu kejuruteraan, agar anak bangsa peribumi cergas masuk ke dalam gelanggang kemajuan.
Kalau tidak ada ilmu, bukan sahaja kebesaran Tuhan tidak boleh disyukuri, tetapi juga manusia tidak memanfaatkan cara-cara untuk membaiki dan memajukan kehidupannya.
Dalam penggal kedua kitab ini, ‘Tarbiyah Tuhan kepada Manusia’, dihuraikan betapa manusia itu adalah ciptaan terbaik yang Tuhan ciptakan.
“Alam yang mulia itu sekalian yang tiada bernyawa dan alam yang yang terlebih mulia itu sekalian yang bernyawa dengan tiada berakal, manakala alam yang sangat mulia itu sekalian yang bernyawa dan berakal. Dan yang paling mulia daripada semuanya iaitu manusia.”
Ungkapan klasik seperti ini jelas terkandung unsur-unsur kemanusiaan yang dianjurkan Islam.
Seperti Taj ul-Salatin, sebuah kitab ketatanegaraan yang kuat mengangkat martabat manusia, kitab Kiyai Zuhri ini juga bernada sama.
Lebih menarik apabila disebutnya akan kemuliaan manusia itu, dan saling terikatnya kehidupan, dan itulah semua daripada kebesaran Tuhan.
“Bukan sahaja manusia dengan manusia itu jua bersaudara, bahkan sekalian manusia, sekalian haiwan-haiwan, sekalian pokok-pokok yang mana di atas bumi, dan sekalian pokok-pokok yang mana di atas bumi, dan sekalian khazanah-khazanah yang mana ada padanya dapat diketahui semuanya itu bersaudara belaka yang dizahirkan oleh sesuatu ibu, dan dengan perkataan yang lain dikatakan manusia itu hidup di atas manusia, bekerja bagi mendapatkan manusia, tidur di atas manusia, duduk di dalam manusia, berhias dengan manusia, dan berjalan di atas manusia… bahawa semua perkara itu hanya dua warna; manusia dan Yang Menjadikan dia.”
Inilah yang boleh disebut sebagai kemanusiaan yang menjadi salah satu teras utama dalam tradisi keilmuan dan keagamaan yang terdapat di Nusantara.
Dalam huraian falsafah ini, dirangkul perbincangan tentang persoalan kehidupan, panduan keimanan, kupasan nilai yang dianjurkan ilmu-ilmu keagamaan dan ilmu dunia yang wajar dikuasai, ataupun diketahui.
Menariknya, dalam penggal ketiga kitab ini, dibicarakan tentang ‘Sahabat Manusia’ serta perkara-perkara yang wajar dipegang oleh manusia, sama ada sebagai individu mahupun anggota masyarakat.
Perkara itu adalah seperti berikut:
Pertama adalah kekeluargaan.
Kedua, harta benda.
Ketiga, keselamatan dan keamanan.
Keempat, ilmu pengetahuan.
Pada perkara yang terakhir ini beliau menganjurkan:
“Sahabat yang keempat terjadi daripada ilmu pengetahuan yang terkutip daripada dada ulama-ulama dan profesor-profesor atau terdapat jejak tarikh-tarikh yang purbakala yang mana dapat meluaskan pemandangan dengan mengambil iktibar daripadanya bagi menzahirkan peta-peta perjalanan yang dapat dipersetujukan dengan keadaan masa dan tempat…”
Jelasnya, penulisan seperti ini sudah berpandangan jauh.
Gaya penulisan dalam buku ini bernada mengundang, tidak bergema sisi amaran yang keras-keras, atau lari daripada kenyataan dunia yang sebenar.
Jadi, apabila disebut kekata ‘Suluhan Falsafah’ kita dapat kesan percubaan sang Kiyai untuk menghuraikan pemahaman agama yang lebih segar, lebih terbuka dan lebih relevan untuk kehidupan semasa.
Walaupun bahasanya kuat dengan langgam kitab, ia mengandung anjuran yang punya unsur yang akrab memeluk kemajuan, tanpa pula meninggalkan tradisi agama dengan semudahnya.
Ilmuan Tokoh Teladan
Kiyai Zuhri, kelahiran Lamongan, Jawa Timur, Indonesia pada 1905.
Beliau mendapat pendidikan Islam di Surabaya.
Pada 1930, beliau berhijrah ke Singapura dan menetap di sini sehingga beliau meninggal dunia pada 1985.
Selepas Perang Dunia Kedua, beliau berkhidmat sebagai guru di Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, sehingga menjadi pengetua di madrasah tersebut.
Beliau banyak menabur bakti berdakwah di merata Singapura, dan pada 1957 dilantik sebagai Yang Dipertua Pergas yang pertama.
Beliau pernah menyandang jawatan Kadi, selain dihormati kerana ilmu falak yang dikuasainya.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menganugerahkan gelaran ‘Ilmiawan’ kepada beliau pada 1979.
Demi mengabadikan jasa besar beliau, Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiyah ditambahkan namanya menjadi Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiyah.
Kitab Agama Warisan Mulia
Di merata Nusantara, proses Islamisasi tidak akan berjalan baik sekiranya kitab tidak dihasilkan, disampai dan ditulis kembali atau dicetak.
Ilmu-ilmu keagamaan bukan sahaja memperkuat tradisi Islam dalam kehidupan umat Islam di rantau ini, tetapi juga ia menjadi saluran agar ilmu-ilmu baru yang berguna dapat dikuasai umat Islam.
Karya-karya sebegini memberi sekelumit imbasan tentang pemikiran Islam yang sedang berlangsung dalam masyarakat Melayu dan umat Islam.
Di satu sisi ada tuntutan untuk agama menjadi nilai pedoman dan anjuran untuk mengejar kemajuan, yakni pemodenan kehidupan, dengan meningkat kualiti hidup, tinggi pelajaran dan terjamin ekonomi.
Di satu sisi yang lain adalah bagaimana mengekalkan dan patuh kepada tradisi keagamaan Islam.
Semoga warisan kitab dan buku agama yang pernah dihasilkan terdahulu dari negeri dan rantau kita menjadi ilham dan semangat agar kita juga membangun terus tradisi penulisan kitab dan buku-buku agama, yang khas untuk menjawab tuntutan zaman ini.
Sebagaimana para tuan guru kita telah menyumbang segigihnya, begitu juga amanah yang harus kita usahakan agar generasi hadapan dapat mewarisi dari kita yang hidup di zaman ini yang penuh dengan cabaran dan potensi.
Menghidup dan melestarikan warisan ilmu adalah amanah dan tuntutan.
Warisan kitab dan buku agama wajar mendapat perhatian kita sebagai sumber ilmu dan dokumen pemikiran.
Carilah kita teladan dari warisan ilmu dan keagamaan dari tokoh agamawan, baik setempat atau serantau.
Tetap yakinlah kita akan warisan ini sebagaimana pernah dipesankan oleh lelehur kita:
“Elok ilmu kerana guru
Elok kaji kerana budi
Elok amanah kerana sunnah
Elok petuah kerana akidah
Elok nasihat kerana beradat
Elok pesan kerana beradab
Elok pengajar kerana benar.”
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.
“
Apapun, umat Melayu Islam Singapura wajar berbangga bahawa kita pernah ada sejarah penghasilan dan pengukuhan ilmu-ilmu keagamaan dan kemasyarakatan yang berkembang sejak dwiabad lalu. Malah tradisi ilmu keagamaan ini masih berterusan walaupun dengan skala yang berbeza... Semoga warisan kitab dan buku agama yang pernah dihasilkan terdahulu dari negeri dan rantau kita menjadi ilham dan semangat agar kita juga membangun terus tradisi penulisan kitab dan buku-buku agama, yang khas untuk menjawab tuntutan zaman ini.