“Mengapa memiliki rumah dianggap satu keistimewaan dan bukan keperluan asas?

“Mengapa saya seolah-olah rasa ‘dihukum’ hanya kerana memilih untuk berkahwin dengan seseorang yang bukan warga negara ini?”

Persoalan ini sering bermain di fikiran saya setiap kali melihat pelancaran flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di estet yang saya impikan.

Ada rasa teruja dan berharap, tetapi pada masa yang sama, saya kecewa dan terkilan.

Bukan kerana saya tidak mampu untuk bermimpi, tetapi kerana saya tidak diberi peluang untuk mencuba.

Singapura sejak sekian lama berbangga dengan kejayaannya menjadikan pemilikan rumah sesuatu yang mampu dicapai, dengan 91.2 peratus isi rumah penduduk memiliki kediaman sendiri.

Namun, di sebalik kejayaan itu, terdapat warga Singapura yang keadaan hidup mereka tidak begitu mudah disesuaikan dengan dasar perumahan sedia ada.

Saya salah seorang daripada mereka.

Sebagai warga Singapura yang bertunang dengan warga asing, pilihan perumahan saya berbeza.

Di bawah skim pasangan bukan warga negara, warga Singapura yang berkahwin dengan warga asing boleh membeli flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mulai usia 21 tahun, dengan warga Singapura menjadi pemilik tunggal, manakala pasangan asing disenaraikan sebagai penghuni penting.

Namun, laluan untuk mendapatkan flat BTO jauh lebih terbatas.

Di bawah skim itu, saya perlu menunggu sehingga berusia 35 tahun dan hanya layak memohon flat Fleksi dua bilik, bergantung kepada had pendapatan kasar isi rumah sebanyak $7,000 sebulan.

Baru-baru ini, saya melihat pelancaran BTO di Bayshore, sebuah kawasan yang saya benar-benar idamkan. Namun, daripada berasa teruja, saya berasa amat kecewa.

Mengapa pilihan hanya terhad kepada flat Fleksi dua bilik?

Bagi pasangan suami isteri yang kedua-duanya bekerja sebagai golongan profesional, sejauh mana had pendapatan isi rumah $7,000 itu realistik?

Kekecewaan ini bukan hanya dirasakan warga Singapura yang berkahwin dengan warga asing.

Seorang rakan sekerja saya yang bujang dan bakal berusia 35 tahun juga mahu memohon flat BTO sendiri.

Namun, pilihannya turut terbatas oleh syarat kelayakan seperti jenis flat dan had pendapatan.

Bagi individu seperti kami, pasaran jualan semula akhirnya mungkin menjadi pilihan yang lebih realistik, tetapi pada harga yang lebih tinggi.

Saya memahami perumahan awam adalah sumber yang terhad dan pemerintah perlu mengimbangi pelbagai keperluan serta memberi keutamaan kepada keluarga.

Namun, sebagai warga Singapura yang berdepan sendiri dengan dasar ini, saya tetap berasa kecewa.

Singapura sudah berubah. Ramai berkahwin pada usia lebih lewat atau memilih untuk menjadi bujang.

Perkahwinan rentas negara juga bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

Menurut laporan trend keluarga yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 10 Julai, sekitar 27.3 peratus perkahwinan warga Singapura tahun lalu melibatkan seorang warga Singapura dan pasangan bukan warga negara.

Pada masa yang sama, ada warga Singapura yang berhijrah ke luar negara untuk mengejar peluang kerjaya sebelum kembali ke tanah air.

Bentuk dan perjalanan sesebuah keluarga hari ini tidak semestinya mengikut laluan tradisional seperti dahulu.

Justeru, tidakkah dasar perumahan kita juga perlu berubah mengikut perkembangan masyarakat?

Rumah lebih daripada ruang fizikal. Di situlah pasangan memulakan kehidupan berumah tangga, anak-anak dibesarkan dan keluarga membina masa depan.

Apabila akses kepada rumah tertangguh, keputusan untuk berkahwin dan mempunyai anak juga boleh tertangguh.

Kadar kesuburan keseluruhan Singapura merosot ke paras terendah 0.87 pada 2025, jauh di bawah kadar penggantian 2.1.

Kita sering menggalakkan golongan muda supaya berkahwin dan mempunyai anak.

Namun, bolehkah kita berbuat demikian tanpa menilai sama ada dasar perumahan benar-benar membantu mereka membina keluarga?

Saya tidak meminta layanan istimewa hanya kerana memilih untuk berkahwin dengan warga asing.

Saya ingin tahu jika dasar perumahan kita mencerminkan pilihan dan realiti warga Singapura hari ini.

Patutkah peluang saya memiliki rumah menjadi lebih terbatas hanya kerana insan yang saya cintai memegang pasport negara lain?

Patutkah seorang warga Singapura yang bujang perlu menunggu sehingga usia 35 tahun untuk membina kehidupan sendiri?

Jika Singapura mahu mengukuhkan institusi keluarga dan menggalakkan kelahiran, perumahan seharusnya membantu rakyat membuat pilihan tersebut, bukan menjadi satu lagi hambatan yang menyebabkan mereka terpaksa menangguhkannya.

Rumah lebih daripada ruang fizikal. Di situlah pasangan memulakan kehidupan berumah tangga, anak-anak dibesarkan dan keluarga membina masa depan. Apabila akses kepada rumah tertangguh, keputusan untuk berkahwin dan mempunyai anak juga boleh tertangguh.
Penulis.