Jika diberi pilihan, saya mungkin lebih selesa berada di belakang kamera berbanding di hadapannya.

Sejak kecil, saya bukanlah seorang yang begitu yakin apabila dijadikan tumpuan. 

Apabila kamera mula merakam, saya mudah berasa gugup. 

Ada kalanya saya tersasul, bercakap terlalu laju atau terlalu memikirkan penampilan saya di skrin.

Saya juga sering merasakan penyampaian saya kurang menarik dan ekspresi wajah saya tidak cukup menyerlah.

Namun, dunia hari ini semakin bergantung pada kandungan digital. 

Sama ada untuk video media sosial, siaran langsung atau mesyuarat dalam talian, kita semakin kerap berada di hadapan kamera.

Sebab itu, saya percaya kebolehan untuk tampil yakin di hadapan kamera bukanlah semata-mata bakat semula jadi, sebaliknya satu kemahiran yang boleh dipelajari dan dilatih.

Perkara ini lebih ketara dalam industri media. 

Cara orang ramai mendapatkan berita juga sudah berubah.

Ramai kini mengikuti perkembangan semasa menerusi video pendek dan media sosial.

Ini bermakna wartawan bukan sahaja perlu menghasilkan laporan yang baik, tetapi juga perlu tahu cara menyampaikannya dalam bentuk yang mudah difahami dan menarik perhatian penonton.

Ada kalanya, wartawan perlu berdiri di hadapan kamera untuk menerangkan sesuatu isu, membuat laporan dari lokasi kejadian atau menemu bual seseorang secara langsung. 

Dahulu, saya sering beranggapan bahawa mereka petah dan selesa berada di hadapan kamera mempunyai bakat semula jadi.

Namun, semakin lama saya berkecimpung dalam bidang media, saya sedar bahawa kemahiran itu sebenarnya boleh diasah.

Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai program ‘on-screen’ yang dikendalikan pengacara yang tidak asing lagi dalam industri hiburan, Denise Keller.

Program selama enam minggu itu memberi saya peluang mempelajari lima asas komunikasi, iaitu kadar percakapan, kelantangan suara, nada dan melodi, ton suara serta penggunaan jeda.

Daripada situ, saya mula memahami bahawa perkara yang kelihatan kecil sekalipun boleh memberi kesan besar terhadap cara seseorang menyampaikan sesuatu.

Bercakap terlalu laju boleh menyebabkan mesej yang ingin disampaikan sukar difahami.

Nada suara yang mendatar pula boleh membuatkan penyampaian kedengaran kurang bertenaga. 

Jeda yang digunakan pada waktu yang sesuai pula boleh membantu menekankan sesuatu perkara.

Selain teknik vokal, saya turut belajar bahawa bahasa badan dan ekspresi wajah memainkan peranan penting.

Cara kita memandang kamera, duduk atau berdiri serta menggunakan ekspresi wajah juga boleh mempengaruhi cara mesej diterima oleh penonton.

Semua itu ialah teknik yang boleh dilatih dan dibaiki melalui latihan. 

Dalam bidang kewartawanan, kemahiran ini amat berguna kerana wartawan perlu menyampaikan maklumat yang kompleks dalam tempoh yang singkat.

Penyampaian yang jelas dan teratur boleh membantu penonton memahami sesuatu isu tanpa rasa keliru atau bosan.

Sudah tentu, saya masih mempunyai banyak ruang untuk membaiki diri. 

Ada masanya saya masih bercakap terlalu cepat atau kurang menggunakan ekspresi wajah yang sesuai.

Namun, saya kini lebih memahami bahawa kemahiran ini memerlukan masa dan latihan yang berterusan. 

Jika dahulu saya mudah berasa kecewa jika tersasul atau tidak berpuas hati dengan rakaman sendiri, kini saya melihatnya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran. 

Setiap rakaman memberi peluang untuk saya mengenal pasti perkara yang boleh dibaiki untuk percubaan seterusnya.

Semakin kerap kita berlatih, semakin selesa kita berhadapan dengan kamera.

Bagi saya, tampil yakin di hadapan kamera bukanlah bakat yang hanya dimiliki segelintir orang.

Ia boleh dipelajari, asalkan kita sanggup mencuba.

Saya belajar untuk terus melakukannya walaupun masih ada rasa takut dan ragu-ragu.

Jika dahulu saya mudah berasa kecewa jika tersasul atau tidak berpuas hati dengan rakaman sendiri, kini saya melihatnya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran... Bagi saya, tampil yakin di hadapan kamera bukanlah bakat yang hanya dimiliki segelintir orang. Ia boleh dipelajari, asalkan kita sanggup mencuba.
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti