Baru-baru ini, saya menghadiri majlis konvokesyen saya di universiti.

Di sebalik rasa syukur dan kegembiraan, satu ungkapan yang sering saya dengar sepanjang perjalanan sebagai seorang pelajar, dan terus bermain di fikiran saya adalah – pendidikan itu adalah satu keistimewaan.

Saya faham mengapa ungkapan itu muncul kerana tidak semua orang mempunyai peluang dan akses yang sama kepada sumber.

Ada yang terpaksa mengorbankan masa dan cita-cita untuk bantu membina kewangan keluarga pada usia lebih muda.

Ada juga yang mungkin terbelenggu dengan konflik atau kekangan lain sehingga peluang menuntut ilmu itu menjadi sukar.

Dalam keadaan seperti ini, sesiapa yang berjaya melanjutkan pelajaran dianggap bertuah kerana mempunyai peluang dan akses kepada sumber yang tidak dinikmati semua orang.

Lebih-lebih lagi dalam konteks pendidikan Singapura hari ini, prestasi pendidikan juga bergantung pada sumber.

Seperti yang dikongsikan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, pada September 2025, masih terdapat “jurang peluang” dalam sistem pendidikan, apabila pelajar daripada keluarga yang mempunyai lebih banyak sumber mempunyai kelebihan berbanding mereka yang kurang berkemampuan, suatu jurang yang mahu dirapatkan pemerintah.

Kajian Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) pada Mei lalu pula menunjukkan bahawa walaupun masyarakat Melayu telah mencapai kemajuan dalam pendidikan, kekurangan modal sosial seperti akses kepada sumber masih menyekat kemajuan masyarakat.

Justeru, kejayaan dari segi kerjaya atau pendidikan bergantung kepada pelbagai faktor, yang bukan sahaja tertakluk pada kebolehan akademik.

Namun, semakin saya fikirkan ungkapan itu, semakin saya tertanya sama ada kita sudah menerima ketidaksamaan sebagai satu lumrah dalam sistem pendidikan kita.

Pendidikan tidak boleh dianggap sebagai satu ukur tara kemampuan dan keadaan hidup seseorang.

Seperti yang pernah ditulis ahli falsafah, Paolo Freire, pendidikan mempunyai peranan yang lebih penting seperti mengasah pemikiran yang kritis dan bukan sekadar penghafalan maklumat.

Bagi saya, pendidikan yang berkesan mengajak kita merenung tentang isu masyarakat seperti ketidakadilan atau ketidaksamaan agar dapat membina satu masyarakat yang lebih terangkum.

Ini yang menghairankan saya.

Mengapakah sesuatu yang begitu transformatif dianggap sebagai keistimewaan buat mereka yang bernasib baik?

Jika ilmu yang diraih membolehkan seseorang untuk membina kehidupan yang lebih baik, keluar daripada belenggu kemiskinan dan menyumbang kepada masyarakat, bukankah pendidikan lebih wajar dianggap sebagai satu keperluan berbanding satu keistimewaan?

Dengan pemikiran semula ini, kita akan memahami kepentingan bagi setiap anak itu mendapat pendidikan yang terbaik dan menghapuskan alasan bahawa mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran atas sebab kemampuan.

Apabila direnungkan semula, kita juga sering menggelar universiti dengan istilah menara gading.

Namun, tanpa disedari, istilah itu menggambarkan pendidikan lanjutan sebagai menara eksklusif yang hanya dapat didaki oleh segelintir.

Renungan ini bukan bertujuan menafikan usaha lulusan universiti yang berusaha gigih memperoleh ijazah, tetapi mengajak kita memikirkan semula cara kita melihat pendidikan.

Dengan potensi pendidikan untuk mengubah kehidupan, kita perlu melihatnya sebagai satu jambatan yang menghubungkan kita kepada pemikiran yang lebih kritis, peluang yang lebih luas, dan kehidupan yang lebih bermakna.

Walaupun pendidikan masih dilihat sebagai satu keistimewaan kerana ketidaksamaan masih wujud, mungkin kita boleh memikirkan semula tentang cara kita melihat pendidikan.

Ramai lagi akan menyusuli dan menghadiri majlis konvokesyen di institut pendidikan mereka dalam bulan mendatang.

Bagi mereka yang akan atau sudah pun mencapai genggaman ijazah, ijazah tersebut bukanlah satu kayu ukur atau pembezaan antara diri kita dengan masyarakat.

Sebaliknya, ia melambangkan satu tanggungjawab untuk membantu membangunkan masyarakat.

Pembangunan masyarakat hanya benar-benar berlaku apabila semua dapat maju bersama, bukan apabila segelintir berada di atas menara sementara yang lain terus melihat dari bawah.

Harapan saya bukanlah agar lebih ramai berjaya mendaki menara itu, tetapi agar pendidikan tidak lagi menjadi menara yang hanya dapat dicapai oleh segelintir.

Sebaliknya, biarlah ia menjadi jambatan buat semua, bukan kerana mereka bernasib baik, tetapi kerana itulah hak mereka.