SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Perkukuh kebajikan pekerja platform

Perkukuh kebajikan pekerja platform

Mar 29, 2026 | 5:30 AM

Perkukuh kebajikan pekerja platform

lidah pengarang
Foto fail - Foto fail

Agak membimbangkan apabila membaca laporan berkaitan kes kematian dan kecederaan di tempat kerja, khususnya yang melibatkan pekerja penghantaran.

Pada 2025, berlaku 36 kes kematian di tempat kerja, dengan dua melibatkan golongan pekerja penghantaran itu.

Walaupun angka itu dilihat rendah, ia tetap ‘satu kes kematian terlalu banyak’.

Ini terutama laporan itu turut menunjukkan seramai 74 lagi pekerja platform mengalami kecederaan serius pada 2025, menurut satu laporan tahunan keselamatan dan kesihatan tempat kerja oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada 25 Mac.

Kecederaan utama termasuk amputasi dan lumpuh.

Daripada 74 kecederaan utama dalam kalangan pekerja platform itu, sebanyak 60 kes berlaku dalam insiden lalu lintas, dan 12 berpunca daripada tergelincir, tersandung dan terjatuh.

Majoriti kes, iaitu 62, melibatkan pekerja platform yang membuat penghantaran.

Selebihnya adalah pemandu kereta sewa tempahan.

Memberi butiran, Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, menyatakan penunggang penghantaran yang menaiki kenderaan dua roda menyumbang sebahagian besar kecederaan di tempat kerja.

Beliau menambah bahawa kadar kematian dan kecederaan yang meningkat, iaitu 84.6 bagi setiap 100,000 pekerja platform, mencerminkan risiko ketara dalam pekerjaan tersebut.

Sememangnya kebajikan pekerja platform perlu dipelihara dan dipertingkatkan memandangkan mereka memainkan peranan penting dalam kehidupan warga Singapura.

Ini termasuk dalam penghantaran barangan dan makanan, selain membawa penduduk ke serata tempat negara melalui khidmat ‘e-hailing’ atau tempahan kenderaan sewa.

Perangkaan menunjukkan jumlah pekerja platform di Singapura telah meningkat kepada 71,600 pada 2025 berbanding 67,200 pada 2024.

Pada 2019 sebelum penularan Covid-19, terdapat sekitar 69,500 pekerja platform di sini.

Demi memelihara kebajikan mereka, mulai 1 Januari 2025, undang-undang yang memastikan pekerja platform mendapat perlindungan dan perwakilan sewajarnya telah berkuat kuasa.

Ini termasuk memastikan golongan pekerja itu mempunyai simpanan yang mencukupi bagi perumahan dan persaraan melalui caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan mendapat pampasan kewangan sekiranya mengalami kecederaan semasa bekerja.

Langkah itu sememangnya baik dan amat dialu-alukan.

Namun lebih banyak boleh dilakukan.

Ini termasuk dari segi perlindungan insurans kemalangan lebih baik, melaksanakan kenaikan berkala pendapatan mereka agar pekerja platform juga dapat menikmati kenaikan pendapatan dari tahun ke tahun, sama seperti pekerja lain.

Kadar pendapatan lebih baik dapat mengelakkan mereka supaya tidak kelam-kabut mengejar ‘tugasan’, yang hanya meningkat risiko terlibat dalam kemalangan.

Pekerja platform juga wajar diberi latihan secara berkala mengenai keselamatan jalan raya agar mereka lebih berpengetahuan dan mempunyai kesedaran lebih tinggi berkaitan keadaan jalan raya.

Sementara itu, pelanggan juga usahlah bersikap kasar kepada golongan pekerja ini, semasa penghantaran barangan/makanan ke rumah, atau pun menaiki kenderaan sewa mereka.

Demi masa, kita telah melihat mutu khidmat platform di sini semakin meningkat dan lebih teratur dengan syarikat pengendali juga memberi respons cepat kepada maklum balas pengguna.

Sektor pekerja platform ini telah membuktikan ia adalah khidmat penting kepada ramai penduduk setempat, dan seharusnya mereka lebih diiktiraf dan dihargai sebagai satu kerjaya yang wajar dihormati.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg