SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Nahas kenderaan punca utama kematian di tempat kerja, pekerja penghantaran antara mangsa

Nahas kenderaan punca utama kematian di tempat kerja, pekerja penghantaran antara mangsa

S’pura saksikan 36 kematian di tempat kerja, 2 libatkan penunggang penghantaran yang maut akibat kemalangan jalan raya, pada 2025
Mar 25, 2026 | 4:34 PM

Nahas kenderaan punca utama kematian di tempat kerja, pekerja penghantaran antara mangsa

Secara keseluruhan, bilangan kematian di tempat kerja menurun daripada 43 kes pada 2024, menjadikan kadar kematian di tempat kerja kepada 0.96 bagi setiap 100,000 pekerja.
Secara keseluruhan, bilangan kematian di tempat kerja menurun daripada 43 kes pada 2024, menjadikan kadar kematian di tempat kerja kepada 0.96 bagi setiap 100,000 pekerja. - Foto ST

Insiden melibatkan kenderaan kekal menjadi punca utama 36 kematian di tempat kerja pada 2025 – tahun kedua berturut-turut.

Dua daripadanya melibatkan penunggang penghantaran yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Namun angka tersebut sebenarnya mencatatkan kemerosotan berbanding 43 kematian pada 2024.

Ini menjadikan kadar kematian di tempat kerja susut kepada 0.96 bagi setiap 100,000 pekerja, paras terendah sejak 2020, ketika aktiviti binaan tumbuh perlahan semasa pandemik Covid-19.

Menurut laporan tahunan keselamatan dan kesihatan tempat kerja oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada 25 Mac, seramai 74 lagi pekerja platform mengalami kecederaan serius pada 2025.

Ini termasuk kecederaan yang tidak menyebabkan kematian dalam kalangan pekerja sedemikian buat kali pertama.

Data kecederaan yang dialami pekerja platform disertakan berikutan pelaksanaan Akta Pekerja Platform pada 1 Januari 2025, yang memerlukan pengendali platform melaporkan kecederaan berkaitan kerja dan penyakit pekerjaan.

Kecederaan utama termasuk amputasi dan lumpuh.

Daripada 74 kecederaan utama dalam kalangan pekerja platform, 60 berlaku dalam insiden lalu lintas, dan 12 berpunca daripada tergelincir, tersandung dan terjatuh.

Majoriti kes, iaitu 62, melibatkan pekerja platform yang membuat penghantaran. Selebihnya adalah pemandu kereta sewa tempahan.

Berucap di acara Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 25 Mac bagi mengiktiraf usaha meningkatkan keselamatan dan kesihatan tempat kerja, Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, menyatakan bahawa penunggang penghantaran yang menaiki kenderaan dua roda menyumbang sebahagian besar kecederaan di tempat kerja.

MOM berkata kadar kematian dan kecederaan yang meningkat, iaitu 84.6 bagi setiap 100,000 pekerja platform, mencerminkan risiko ketara dalam pekerjaan tersebut.

Secara menyeluruh, insiden melibatkan kenderaan menjadi punca kepada 15 kematian, atau 42 peratus daripada kematian di tempat kerja pada 2025, meningkat berbanding 11 kes pada 2024.

Dalam kalangan kes kematian, tujuh kes akibat jatuh daripada tempat tinggi, enam akibat runtuhan atau kegagalan struktur dan peralatan, dan empat akibat pekerja ditimpa objek jatuh atau bergerak.

Walaupun trend penurunan kelihatan merentasi sektor, industri berisiko tinggi masih menyumbang hampir 70 peratus daripada kematian di tempat kerja.

Sektor binaan, misalnya, mencatatkan 13 kematian pada 2025, berkurang berbanding 20 pada 2024.

Antara tragedi pada 2025 termasuk seorang lelaki berusia 52 tahun terperangkap selepas dinding runtuh menimpanya di tapak binaan Upper Changi pada September.

Bagi memperkukuh keselamatan pekerja dalam sektor ini, Encik Dinesh berkata pihak berkuasa kini menguji penggunaan analitik video dan kecerdasan buatan (AI).

Kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan AI sedang diuji di 14 tapak pembinaan sehingga Jun, sebagai langkah terkini.

Beliau berkata MOM akan bekerjasama dengan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) serta agensi sektor awam untuk menjadikan analitik video sebagai keperluan wajib bagi projek pembinaan sektor awam selepas projek perintis tamat.

Sektor pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan tujuh kematian pada 2025, menurun berbanding sembilan pada 2024. Sektor marin, yang mencatat lima kematian pada 2024, hanya mencatat satu kes pada 2025.

Namun, sektor perkilangan menyaksikan jumlah kematian di tempat kerja meningkat seganda berbanding dua kes pada 2024 kepada empat kes pada 2025.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg