Tanpa gagal, isteri dan ibu bapa mentua saya akan saling bertanya khabar melalui panggilan video beberapa kali seminggu.

Kadangkala, ia semata-mata buat isteri saya menyapa kucing kesayangannya atau mendengar bunyi ‘meow’ haiwan itu.

Jika ada lebih masa, mereka juga melakukan kegiatan sekeluarga, sekurang-kurangnya dengan makan malam.

Saya terharu melihat mereka mengekalkan rutin ini sejak kami berkahwin pada Jun 2025, terutama selepas isteri saya berpindah untuk tinggal bersama saya dan keluarga saya.

Namun, pengalaman tinggal bersama mereka sepanjang tahun lalu sebagai seorang lelaki bekerja dan sudah berumah tangga, benar-benar mengubah pemahaman saya tentang masa bermutu bersama keluarga.

Sekadar berkongsi rumah ternyata tidak mencukupi; kita harus mempunyai niat jelas dan berikhtiar untuk meluangkan masa demi menjalin hubungan secara bermakna.

Dalam pertemuan itu, beliau berkongsi matlamat FFL untuk membina keluarga lebih utuh, di samping membentuk masyarakat lebih kohesif dan mesra keluarga.

Antara intipati perkongsian beliau yang paling berkesan di hati saya adalah bagaimana tindakan seharian yang mudah, termasuk sekadar membuat panggilan telefon untuk bertanya khabar, mampu membawa kesan besar sekiranya dilakukan secara konsisten.

Kata-katanya terpahat di minda saya, lalu mencabar diri ini: Sudahkah saya mengambil langkah pertama untuk mencetuskan interaksi harian sedemikian?

Saya berfikir bahawa interaksi harian akan timbul secara semula jadi kerana saya masih menginap bersama keluarga kandung.

Ironinya, walaupun saya bertuah kerana masih tinggal sebumbung dengan keluarga sendiri, saya secara jujur mendapati agak mencabar untuk memulakan interaksi bermakna dengan keluarga kandung secara konsisten.

Sejak saya berkahwin, lebih banyak masa lapang diketepikan untuk urusan membina rumah tangga, seperti keluar mencari flat kami sendiri.

Selain jadual harian kami sangat berbeza, kami juga mempunyai cara tersendiri untuk menikmati hujung minggu.

Pada hari biasa, saya sering pulang ke rumah selepas ahli keluarga selesai makan malam.

Apabila saya akhirnya mempunyai masa lapang pada lewat malam, mereka biasanya sudah berehat di bilik masing-masing.

Ini perkara biasa memandangkan jadual pekerjaan saya yang selalu tidak menentu.

Pada hujung minggu pula, ibu bapa saya lebih gemar berehat di rumah, selain menjalankan rutin pergi ke pasar, bersarapan bersama pada waktu pagi, serta melawat kededua nenek saya.

Adik perempuan saya pula, semakin sibuk menjalankan aktiviti lain sebagai belia.

Harus saya akui, selama ini tumpuan saya terlalu terarah kepada penganjuran aktiviti besar dan gah, seperti merancang perkelahan atau meluangkan masa ke Johor Bahru pada hujung minggu.

Strategi itu sering gagal, lantas saya mengubah pendekatan.

Tiba hujung minggu, saya cuba mengajak ibu bapa untuk bersama-sama menemani saya menyelesaikan urusan harian.

Pada masa sama, saya pula cuba meluangkan masa mengikut mereka ke pasar dan bersarapan.

Ada kalanya, saya memilih untuk meluangkan masa dengan ahli keluarga secara individu, memandangkan setiap mereka mempunyai komitmen jadual, tahap tenaga, dan minat yang berbeza.

Saya mendapati mereka sangat menghargai usaha dan amalan sedemikian, biarpun perkara itu pada awalnya dianggap ‘kecil atau remeh’ di mata saya.

Malah, pilihan untuk sekadar duduk di rumah bersama keluarga sambil melakukan aktiviti masing-masing di ruang tamu juga terasa begitu bermakna.

Ia menjadi ruang kebersamaan yang saya hargai memandangkan kami jarang dapat bertemu pada hari biasa dan kerana saya bakal berpindah ke rumah sendiri nanti.

Walaupun dapat melakukan kegiatan lebih menarik ternyata rasa manis, sekadar berada di sisi mereka dan menikmati kehadiran satu sama lain sudah pun memadai.

Segala interaksi ‘kecil dan remeh’ ini tidak boleh dinikmati dengan mudah apabila kami sudah keluar daripada rumah keluarga.

Ini seperti mendengar ibu saya menonton TikTok dengan bunyi paling lantang, ‘bersaing’ dengan adik untuk menggunakan tandas, atau pergi ke masjid bersama bapa untuk menunaikan solat Jumaat.

Saya pasti akan merindui interaksi harian yang kini diambil mudah.